Sekiranya anda seorang pengguna media sosial, besar kemungkinan anda pernah melihat video-video mangsa kemalangan di China yang hanya dibiarkan menderita seorang diri tanpa dibantu oleh orang sekeliling yang melihat kemalangan tersebut.
Pernah bukan? Pastinya anda akan berasa geram kerana orang awam di sekeliling mangsa hanya melihat dan langsung tidak berusaha untuk menyelamatkannya. Jangan pelik kerana perkara sebegini sudah menjadi kebiasaan di China kerana terdapat ketirisan dari aspek undang-undang yang menyebabkan orang awam takut untuk menghulur bantuan.
BESARKAN TEKS A- A+
Benar, di China sekiranya anda menyelamatkan seseorang mangsa kemalangan ataupun orang lemas, sekiranya terdapat perkara buruk terjadi kepada mangsa yang cuba diselamatkan itu contohnya kematian atau kecacatan pada mangsa, anda dipaksa untuk menanggung segala liabiliti termasuklah besar kemungkinan disaman oleh keluarga mangsa.
Kedengaran pelik? Namun, itulah realitinya. Ramai yang mengatakan bahawa masalah rakyat China bukanlah moral yang buruk, melainkan sistem yang menjadikan "melakukan perkara yang betul" sebagai satu liabiliti kepada pelaku.
Orang baik diambil kesempatan
Antara kes yang popular apabila melihat lebih mendalam tentang perkara ini adalah kes tahun 2006 mengenai seorang wanita tua berumur 65 tahu di Nanjing. Xu Shuolan ketika itu terjatuh ketika cuba turun dari bas. Setelah jatuh ke tanah, dia dibantu oleh Peng Yu, 26 tahun, yang juga kebetulan sedang turun dari bas.
Ketika orang lain bergegas turrun daripada bas tanpa langsung menawarkan bantuan untuk mengangkat wanita malang itu, Pen Yu bergegas menolong Xu Shuolan bangun, termasuklah membawa wanita malang itu ke hospital dan bahkan membayar bil hospitalnya.
Anda pastinya menyangka bahawa wanita tua itu akan berterima kasih kepada Peng Yu. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya dan sangat memeranjatkan apabila wanita tu pula yang bertindak menyaman pemuda itu sekitar 45,000 yuan dan tuntutan bayaran perubatan dan pampasan kerana wanita itu mendakwa lelaki itu yang menyebabkannya terjatuh.
Daripada kes ini, ianya menjadi tular dan menjadi permulaan kepada sebab ramai rakyat China enggan untuk menawarkan bantuan kepada mangsa kemalangan. Tidak kiralah mangsa adalah orang tua mahupun bayi, rakyat China hanya akan melihat sahaja daripada jauh kerana takut dipertanggungjawabkan.
Gambar Wang Yue (bayi)
Inilah yang menyebabkan satu kes viral di seluruh dunia pada tahun 2011 apabila seorang bayi berusia 2 tahun Wang Yue dibiarkan dilanggar 2 kali sehingga mati di jalan raya. Bayi malang itu dipercayai sedang berjalan seorang diri di sebuah jalan di Foshan, Guandong dan tidak disedari ibunya.
Bayi tersebut telah dilanggar oleh sebuah van. Namun untuk 7 minit berikutnya, puluhan manusia yang berada berhampiran langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan bayi tersebut. Mereka hanya lalu-lalang disitu tidak mempedulikan kecederaan yang dialami bayi malang tersebut.
Tidak lama kemudian, sebuah lagi kenderaan yang tidak perasan kelibat bayi tersebut terus melanggarnya lagi. Selepas itu, barulah seorang wanita menarik tubuh bayi tersebut ke bahu jalan kepada ibunya yang baru tersedar bahawa bayi malang tersebut adalah bayi perempuannya.
Anak berusia 2 tahun itu bertahan selama lebih dari seminggu di hospital, tetapi akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan otak. Rakaman kamera keselamatan berhampiran kejadian itu berjaya merakam kejadian tersebut yang secara jelas menunjukkan puluhan pejalan kaki, penunggang basikal dan orang lain di dalam kenderaan dan hanya berjalan melihat tubuh bayi tersebut.
Perubahan yang mahu diambil kerajaan
2 kes yang dinyatakan di atas hanyalah kes popular dan sebenarnya terdapat banyak lagi kes seumpama itu. Kerajaan sedar akan perkara ini dan ada khabar angin bahawa satu undang-undang baru akan digubal untuk memastikan orang awam yang membantu mangsa kemalangan akan dilindungi oleh undang-undang dan tidak akan dipertanggungjawabkan sekiranya kejadian buruk berlaku pada mangsa.
Walaupun buat masa ini tiada undang-undang peringkat nasional mengenai perkara ini, beberapa buah bandar contohnya Shenzhen telah memperkenalkan undang-undang setempat yang melindungi orang awam yang menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan.
Undang-undang baru ini yang secara rasminya dikenali sebagai "Peraturan Perlindungan Hak Samaritan Baik Zon Ekonomi Khusus Shenzhen" walaupun tidak komprehensif, cukup dianggap permulaan yang baik ke arah melindungi orang awam yang menghulurkan bantuan.
Undang-undang ini menetapkan bagaimana mereka yang ingin menolong akan dilindungi oleh kerajaan dari pelbagai bentuk tanggungjawab dalam senarai 10 poin yang dinyatakan. Namun, ia juga tidak terlepas daripada sebarang kritikan.
Ramai orang dalam talian telah mengkritik undang-undang baru itu, mengatakan bahasa yang kabur dan kurang jelas memungkinkan terlalu banyak fleksibiliti dalam pengadilan dan mungkin mendedahkannya dimanipulasi oleh mangsa atau keluarga mangsa untuk menyalahkan orang awam yang membantu.
Kredit: