Sistem pengesanan lokasi global atau GPS sudah menjadi satu perkara biasa yang kita gunakan setiap hari, dalam membantu kita memandu atau ke mana-mana.

Memendekkan masa perjalanan, membantu kita mencari arah dan yang paling penting - mengelakkan kita daripada sesat, sistem GPS merupakan satu alternatif alat bantu pemandu yang memang banyak faedahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita pengguna biasa diberikan pilihan sama ada mahu atau tidak menggunakannya. Di China pula, semua kenderaan perdagangan mereka sudah lama diwajibkan menggunakan sistem tersebut dan siapa yang tak menggunakannya akan dikenakan denda.

Namun satu kes kematian yang baru berlaku pada awal bulan April tahun 2021 memulakan perbincangan hangat berkenaan kewajipannya.

Sistem satelit ciptaan China - BDS

rangkuman gps satelit rangkaian beidou

Di seluruh dunia, hanya terdapat (setakat ini) empat sistem navigasi satelit yang ada, iaitu GPS kendalian Amerika Syarikat, GLONASS oleh Russia, Galileo di Eropah dan yang terakhir Beidou yang dibangunkan kerajaan China.

Kerajaan China mula membangunkan Sistem Navigasi Satelit Beidou atau BDS sejak tahun 1994 ekoran kebimbangan mereka menghadapi sekatan akses kepada GPS yang diselia kerajaan Amerika Syarikat

China melancarkannya pada tahun 2000 melalui satelit pertama yang diangkat sebagai salah satu tunjang utama usaha kemodenan negara mereka, dengan rancangan melibatkan 3 fasa.

Fasa ketiga baru saja selesai selepas pelancaran satelit terakhir mereka yang ke 55 kesemuanya, pada bulan Jun tahun 2020.

Dengan ini sistem BDS sudah dianggap lengkap, mampu mengesan kedudukan pada ruang lingkungan yang tepat serta diharapkan dapat menjadi pilihan utama masyarakat dunia berbanding 3 pencabar mereka yang lain.

Sistem BDS menjadi salah satu rangka utama kerajaan China dalam rancangan lima tahun mereka, menjadi sebahagian daripada kaedah utama kerajaan China melaksanakan pengumpulan data dan kawalan.

Jadi tidak menghairankan apabila kerajaan China mula mewajibkan penggunaan sistem GPS khas pada semua kenderaan perdagangan mereka; melibatkan kenderaan berat seperti bas, lori, dan kenderaan lautan seperti bot.

Wajib on BDS setiap masa bagi pemantauan

gambaran satelit beidou

Kemampuan sistem BDS yang dibangunkan China membolehkan kerajaan China memantau satu per satu kesemua kenderaan perdagangan yang ada atas jalan raya dan jalan air.

Sehingga tahun 2017, sudah lebih 22 juta kenderaan berat dan 50,000 ribu bot selamat dipasang peranti khas bagi membolehkan hubungan antara kenderaan dan BDS diwujudkan.

Untuk memastikan undang-undang ini diikuti, kesemua kenderaan perdagangan yang tidak memasang peranti ini dianggap tidak lulus untuk dipandu semasa ujian pemeriksaan dijalankan.

Bagi pihak pemandu dan syarikat pula, mereka haruslah memastikan sistem BDS diselia dengan baik, berfungsi setiap masa dan tidak melakukan sebarang perubahan ke atas peranti.

Sesiapa saja pemandu yang didapati sengaja memadamkan atau memutuskan hubungan peranti BDS mereka dengan sistem, boleh dikenakan denda maksima sebanyak RM3,150 sementara bagi pemandu yang gagal memastikan sistem BDS mereka berfungsi akan dikenakan denda RM505.

Namun tidak ada angka tetap diberikan, kerana denda yang dikenakan kepada pemandu boleh mengikut budi bicara pegawai penyaman.

Di atas kertas, tujuan peraturan dan undang-undang ini diperkenalkan bagus. BDS digunakan bagi mengawal aktiviti perikanan secara haram yang berleluasa di perairan mereka. Kerajaan China juga mampu menyelia pergerakan bot ke kawasan-kawasan yang dilindungi.

Atas darat pula, BDS digunakan bukan saja untuk memantau pergerakan malahan digunakan sebagai sistem notifikasi pemandu.

Semua pemandu kenderaan perdagangan darat akan diwajibkan berehat selama 20 minit untuk setiap 4 jam pemanduan dengan nada penggera akan dibunyikan apabila tiba waktunya. Pemantauan ke atas pergerakan dan kelajuan juga diharapkan dapat mengurangkan masalah kemalangan jalan raya daripada berlaku.

Namun disebalik semua usaha baik itu, tidak dapat kita nafikan isu dan masalah lain yang akan timbul akibat pelaksanaannya.

Pemandu bunuh diri kerana BDS tak berfungsi

petani menyembur racun makhluk perosak

Dalam satu insiden yang tidak dijangkakan boleh berlaku, seorang pemandu trak dari wilayah Hebei di China bernama Jin Deqiang bertindak nekad meminum racun makhluk perosak selepas diberitahu bakal berdepan saman akibat kegagalan fungsi BDS traknya.

Kes ini menggemparkan seluruh China disebabkan tindakan pemandu itu sendiri yang tidak teragak-agak membunuh diri. Selepas berdepan sekatan jalan, trak yang dipandu beliau diarahkan berhenti di tepi jalan untuk urusan seterusnya.

Jin yang gementar, beredar sebentar ke kedai berdekatan bagi membeli sebotol racun sebagai persediaan.

Selepas dia diberitahu tentang masalah sistem BDS trak yang dipandunya boleh membawa kepada saman sebanyak 2,000 yuan (RM1250), Jin menunggu detik sesuai lalu meminum racun tersebut - disaksikan sendiri pegawai penguatkuasa undang-undang yang sedang menyoalnya.

Lebih menyayat hati - pada ketika itu, saman belum dikeluarkan.

Usaha untuk menyelamatkan pemandu malang itu yang terus dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans gagal dan pemandu itu mati pada malam tersebut. Siasatan menunjukkan sistem peranti BDS trak yang dipandu mangsa telah pun terputus hubungannya dengan satelit, sejak bulan Disember tahun 2020.

Syarikat yang menguruskan trak yang dipandu Jin Deqiang pula mengeluarkan kenyataan pemandu bertanggungjawab menguruskan peranti yang dipasang; kerana syarikat hanya memantau pergerakan pemandu melalui telefon pintar yang ada.

Adakah kes seumpama ini boleh berlaku di Malaysia?

kenderaan perdagangan malaysia

Kita tahu tekanan kerja yang dihadapi oleh pemandu khasnya pemandu kenderaan perdagangan adalah tinggi. Di seluruh dunia, pemandu trak mempunyai kadar bunuh diri antara yang tertinggi jika dibandingkan profesion yang ada.

Sudahlah waktu kerja panjang, gaji mereka juga dikatakan rendah berbanding usaha yang dicurahkan.

Bagi pemandu seperti Jin, risiko dikenakan saman sebanyak 2,000 yuan adalah besar - kerana secara puratanya pemandu seperti beliau menerima pendapatan sekitar 6,000 yuan sebulan (RM3,700).

Angka ini jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan gaji purata pemandu kenderaan seperti trak di negara kita yang berada pada paras RM1,880.

Pada tahun 2017, Kementerian Pengangkutan negara kita mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan undang-undang (PDF) mewajibkan pemasangan CCTV dan sistem GPS dalam semua unit kenderaan perdagangan dikuatkuasa pada tahun 2020, diharap dapat mengurangkan jumlah kemalangan di negara kita. 

Namun setakat ini hanya bas ekspres, bas persiaran dan bas catar diwajibkan melakukan pemasangan sistem GPS sebelum dilesenkan.

Adakah kes bunuh diri melibatkan pemandu kenderaan boleh berlaku di negara kita? Mungkin boleh - sekiranya langkah pelaksanaannya yang terlalu ketat seperti di China, diperkenalkan di negara kita. 

Kerja sebagai pemandu memang memberi tekanan besar kepada pekerja apatah lagi di China, yang mengamalkan dasar mewajibkan penggunaan GPS bagi tujuan mengawal dan menyelia pemandu sepanjang perjalanan mereka. 

Ada beberapa idea baik mereka seperti pelaksanaan sistem amaran bagi memastikan pemandu tidak terus memandu tanpa rehat yang boleh kita tiru. Bab pelaksanaannya pula? Haruslah lebih manusiawi.

Teknologi sepatutnya membantu kita, bukannya direka agar mencipta tekanan kepada orang ramai dalam bentuk baru sehingga mampu menyebabkan nyawa manusia terkorban apabila teknologi terlalu jadi keutamaan, hingga kita hilang nilai kemanusiaan.

Rujukan

Truck driver ‘commits suicide’ over fine, triggering debate over management practices




Hakcipta iluminasi.com (2017)