Ketika kita terbang dengan menggunakan pesawat, satu isu yang dapat kita rasai sendiri adalah perbezaan rasa makanan yang disajikan dalam pesawat.
Ramai orang merasakan makanan ketika berada di dalam pesawat dirasakan kurang enak, jika dibandingkan dengan makanan biasa walaupun sebenarnya semua makanannya sama saja.
Pernahkah anda berhadapan masalah ini dan tertanya, kenapa rasa makanan berubah dalam pesawat menjadi kurang sedap?
BESARKAN TEKS A- A+
Tekanan udara yang mempengaruhi kelembapan
Satu faktor utama yang mempengaruhi rasa makanan dalam pesawat adalah perubahan tekanan udara dan kelembapan ketika penerbangan.
Semasa pesawat terbang pada ketinggian yang tinggi, tekanan udara dan kelembapan di dalam kabin menurun seterusnya mampu mempengaruhi rasa makanan.
Fenomena yang terjadi ini turut mempengaruhi kemampuan lidah manusia dalam merasai rasa sebenar sesuatu jenis makanan.
Kemampuan kita untuk menghidu juga menurun sehingga mengakibatkan deria kita 'lemah' untuk mengesan keenakan sesuatu jenis menu yang dihidangkan, menyebabkan kita mengandaikan makanan yang kita jamah kurang enak berbanding biasa.
Secara saintifiknya, dianggarkan deria kita untuk merasa menurun sebanyak 30% berbanding biasa apabila kita berada di lokasi tinggi. Ini adalah angka yang diperolehi syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa selepas mereka menjalankan kajian bagi mengenalpasti solusi kepada masalah ini.
Tekanan udara yang berbeza menyebabkan membran dalam hidung kita yang menghasilkan mukus kering menyebabkan deria rasa kita berkurangan walaupun tukang masaknya sudah mengadunkan resipi terbaik untuk kita.
Proses hidangan yang lebih ringkas
Menu yang disajikan di dalam pesawat juga akan dipanaskan terlebih dahulu sebelum disajikan menggunakan ketuhar khas dan proses pemanasan ini memberi kesan besar kepada rasa dan tekstur makanan.
Proses pemanasan yang dilakukan untuk memastikan makanan tetap hangat sepanjang tempoh penerbangan, namun pemanasan yang terlalu lama atau terlalu panas dapat mengubah rasa dan tekstur makanan.
Menu yang bakal dihidang biasanya akan disiapkan di fasiliti atau kilang yang dilantik, kira-kira 10 jam sebelum penerbangan, dimasak separa dan seterusnya disejuk bekukan sebelum dibawa ke dalam pesawat.
Ketuhar khas dalam setiap penerbangan pula bertanggungjawab memasak atau memanaskan menu 20 minit sebelum tempoh hidangan hadir. Proses yang terpaksa dibuat bagi mengekalkan kesegaran menu pasti memberi kesan kepada rasa makanan yang ada.
Ramai individu menyimpan salah tanggapan terhadap kaedah memasak di atas pesawat yang dikatakan menggunakan ketuhar gelombang mikro. Tidak, peralatan memasak dalam pesawat adalah dilakukan sepenuhnya menggunakan ketuhar perolakan haba atau convection oven.
Kita tak selesa makan dengan enjin berdesing di telinga
Walau bagaimanapun ada satu kajian yang menarik harus kami petik di sini, apabila satu kajian kumpulan penyelidik dari Belanda mendapati bunyi hingar enjin pesawat yang menderam setiap masa turut sama menjadi faktor penting kenapa kita merasa makanan dalam pesawat kurang enak.
Sudah wujud bermacam cara yang diperkenalkan syarikat penerbangan dalam menangani masalah ini. Kebanyakan syarikat mengambil langkah mudah - menambah perencah dan bahan perasa kepada hidangan agar deria kita yang lebih lemah, mampu merasai lebihan perasa yang diadun.
Langkah ini perlu dibuat bagi mengelakkan masalah makanan tawar yang pasti akan berlaku di dalam pesawat.
Sekiranya anda berpeluang merasai makanan dalam pesawat di luar pesawat, pasti anda akan aneh kenapa semua hidangan yang ada sama ada terlalu manis, terlalu masin atau terlalu kuat rasanya.
Kami harap artikel ini dapat memperjelaskan kepada anda kenapa makanan dalam pesawat selalunya tak sedap, walaupun dari segi rupanya tampak seperti biasa saja.