Ketika menaiki pesawat dan menggunakan tandas di dalamnya, pernahkah anda memeriksanya dengan teliti?

Jika tidak pernah, ia adalah sesuatu yang normal kerana kebiasaannya kita hanya menggunakan tandas sempit ini untuk melunaskan apa yang perlu dan keluar secepat mungkin.

Bagi yang tidak tahu, tandas pesawat sebenarnya terdapat ashtray atau bekas abu rokok, yang dipasang sama ada pada pintu atau berhampuran dengan sink.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan umum tahu bahawa hampir semua syarikat penerbangan komersial melarang perbuatan merokok di dalam kapal terbang semasa penerbangan.

Persoalannya, mengapa ashtray masih dipasang dalam tandas jika merokok di dalam pesawat adalah dilarang?

Keperluan undang-undang

mengapa ada bekas abu rokok dalam pesawat jika merokok dilarang

Sesebuah pesawat itu tidak boleh berlepas jika tidak mempunyai ashtray di dalam tandasnya. 

Di Amerika Syarikat, terdapat undang-undang yang menyatakan, "Tidak kira sama ada merokok dibenarkan di bahagian lain kapal terbang, tandas mesti mempunyai ashtray serba lengkap yang boleh ditanggalkan, terletak dengan jelas di atau dekat pintu masuk setiap pintu tandas".

Malah, ashtray dalam tandas yang rosak mestilah dibaiki dalam tempoh 72 jam.

Jadi persoalan "mengapa ada ashtray dalam tandas pesawat" telah terjawab dengan mudah.

Soalan kedua, mengapa ia merupakan satu keperluan undang-undang?

Bagaimana jika penumpang merokok dalam pesawat?

Banyak sistem dalam mesin sebesar kapal terbang dirancang dengan pelbagai sistem yang bertindih.

Ini bermakna bahawa jika satu sistem (atas pesawat) gagal, maka sistem sandaran akan mengambil alih dan memastikan bahawa pesawat terus terbang atau sekurang-kurangnya dapat mendarat dengan selamat.

bekas abu rokok dalam tandas pesawat

Sistem sandaran dan pertindihan ini adalah sebab mengapa pesawat dapat bertahan di udara walaupun terdapat kerosakan elektrik, kerosakan hidraulik, atau juga kerosakan enjin!

Memang pesawat tidak dapat terbang dengan normal dan kemungkinan besar terpaksa mendarat, tetapi lebihan ini mengurangkan risiko ke tahap minimum.

Kewujudan ashtray dalam pesawat adalah salah satu contoh kepada sistem ini.

Walaupun merokok di dalam kabin pesawat komersial adalah dilarang undang-undang, namun sesetengah penumpang masih merokok di dalam tandas.

Ashtray dipasang dalam tandas adalah supaya jika ada orang yang merokok, mereka boleh membuang puntung rokok dengan selamat.

Mungkin anda mempunyai soalan lain seperti, "Jika tidak dibenarkan merokok dalam pesawat, apa gunannya ashtray? Bukankah semua ashtray patut dibuang untuk kebaikan bersama?"

Jika syarikat penerbangan benar-benar mahu mengelakkan penumpang merokok dalam pesawat, mereka sepatutnya membuang ashtray dari pesawat, kan?

merokok dalam pesawat adalah dilarang

Soalan ini pernah diajukan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), dan ini adalah jawapan mereka:

"Keperluan bagi kehadiran ashtray di atau dekat pintu tandas menyediakan lokasi pelupusan rokok yang mudah digunakan (atau bahan merokok lain) dan dengan demikian memastikan bahawa ada tempat untuk membuang bahan tersebut sekiranya polisi "dilarang merokok" tidak dipatuhi."

“Pengalaman dan laporan sebelum ini menunjukkan bahawa ada kemungkinan besar bahawa mereka yang merokok dalam pesawat menyimpan bahan merokok yang masih menyala di dalam kertas tandas atau bekas linen kerana tidak ada tempat yang selamat dan mudah untuk membuangnya; tindakan sedemikian boleh mengakibatkan kebakaran dalam penerbangan di dalam pesawat."

Ashtray adalah salah satu daripada banyak kaedah untuk mencegah bahaya kebakaran di atas kapal terbang.

Jika ashtray dibuang, penumpang yang mana walaupun telah diberi peringatan, amaran dan peraturan, masih menyalakan rokok dalam tandas, kemungkinan besar akan membuang rokok dalam tong kertas tandas atau hanya "flush".

Jadi, kedua-dua cara ini adalah cara membuang rokok yang sangat membahayakan ketika berada dalam pesawat.

Sebab inilah mengapa terdapat peraturan yang mewajibkan semua syarikat penerbangan komersial mempunyai ashtray berfungsi dalam tandas mereka.

Rujukan:

1. Cornell University

2. Federal Aviation Administration

3. Science

4. Federal Register




Hakcipta iluminasi.com (2017)