Apabila lihat sahaja label "organik" pada makanan, pastinya 2 perkara akan muncul dalam kepala kebanyakan daripada kita - makanan tersebut lebih sihat dan makanan tersebut lebih mahal daripada makanan bukan organik.

Persoalannya, adakah dakwaan-dakwaan ini betul atau sekadar ayat-ayat yang sering digunakan dalam kempen pemasaran bagi membolehkan syarikat penjual menjual lebih banyak produk tersebut? Dakwaan tersebut adakalanya benar, namun tidaklah 100%.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Makanan organik adalah makanan yang dihasilkan dengan kaedah yang mematuhi standard pertanian organik. Piawaiannya berbeza-beza di seluruh dunia, tetapi pertanian organik menampilkan amalan yang mengitar sumber, mempromosikan keseimbangan ekologi dan memelihara biodiversiti.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 mitos yang biasa dikaitkan dengan makanan yang dihasilkan secara organik.

1. Semua makanan boleh menjadi organik

kerepek organik

Jika diteliti, terdapat beberapa dakwaan yang sebenarnya hanyalah teknik pemasaran untuk menjual produk pada harga lebih mahal dengan mendakwa ianya organik. Pernahkah anda melihat bungkusan produk kentang di mana ia diiklankan bebas gluten atau kolesterol?

Sudah tentulah ianya bagus, tapi tahukah anda bahawa kentang tidak pernah mengandung kolesterol atau gluten. Dengan meletakkan label tersebut, ianya membolehkan pihak penjual menaikkan harganya kerana dakwaan makanan tersebut lebih berkhasiat.

Contoh lain adalah "garam laut organik". Anda tidak boleh mempunyai produk organik yang sebenarnya tidak organik iaitu garam. Ia diperbuat dari mineral. Ia tidak pernah organik dan tidak boleh menjadi organik. Oleh itu, tidak ada garam organik dari laut atau tempat lain.

2. Semua makanan organik telah diperiksa

makanan organik

Ini adalah masalah besar dalam industri makanan organik dan kebanyakan kita mungkin tidak perasan. Sebagai pengguna, anda tahu bahawa epal yang anda beli adalah organik kerana pelekat di atasnya mengatakan demikian.

Hakikatnya, kita tidak memiliki pemeriksa makanan yang mencukupi di luar sana. Besar kemungkinan seseorang pemeriksa itu hanya mengesahkan makanan tersebut sebagai organik dengan hanya melihat kertas kerja ladang untuk memastikan ia organik dan bahkan tidak berjalan ke ladang untuk melihat dengan mata sendiri bagaimana tanaman terus diuruskan dan hasilnya dituai. 

Tugas melakukan pemeriksaan ini biasanya dilakukan pihak ketiga yang dibayar oleh pemilik ladang, jadi ada kemungkinan terdapat ketirisan. Jika sesebuah syarikat pengeluar itu dengan sengaja meletakkan label organik pada buah kerana mahu menaikkan harganya, adakah pembeli tahu? Mungkin tidak. Di Amerika Syarikat, sudah banyak pendedahan sebegini dibuat. 

3. Perladangan organik lebih bagus

mitos tanaman organik

Bila lihat sahaja perkataan "organik", sebahagian daripada kita mungkin akan mengaitkannya dengan sesuatu yang positif, mesra alam, lebih sihat dan seumpama dengannya. 

Ladang organik memerlukan tenaga kerja sehingga 35% lebih banyak daripada ladang biasa untuk mengekalkan tahap pengeluaran tanpa amalan organik. Kerja tambahan itu menyebabkan pekerja perlu membuat lebih banyak kerja, masih terdedah kepada racun perosak yang berpotensi berbahaya.

Kajian menunjukkan bahawa ini keadaan ini cenderung menyebabkan eksploitasi pekerja ladang lebih besar. Mereka perlu bekerja lebih keras dan lebih cepat, tetapi hasilnya mereka tidak benar-benar dibayar atau diperlakukan lebih baik.

4. Lebih sihat daripada makanan tidak organik

nutrien buah

Ini merupakan antara dakwaan popular yang sering dibuat oleh segelintir penjual bagi melakukan produk mereka. Adakah dakwaan ini benar? Epal organik dan epal bukan organik tetap adalah kedua-duanya epal.

Kedua-dua jenis epal adalah perkara yang sama melainkan sekiranya anda meletakkan sesuatu pada epal tersebut untuk menjadikannya lebih baik. Oleh itu dari segi nutrien, organik atau tidak keduanya mempunyai tahap nutrien yang sama. Pertanian organik tidak menjadikan makanan lebih berkhasiat.

5. Bebas racun perosak

ladang tanaman organik

Ini mungkin merupakan mitos paling popular bagi makanan orgainik. Ini adalah mitos yang paling meluas dan tidak betul sama sekali. Ladang organik boleh dan menggunakan racun perosak, mereka hanya perlu memenuhi standard organik.

Itu bermaksud racun perosak tersebut mestilah dihasilkan dari sumber organik seperti dari tanaman. Secara umumnya pula, racun perosak organik tidak bermakna ianya lebih selamat malah ada kalanya boleh jadi lebih merbahaya daripada racun sintetik.

Kajian menunjukkan bahawa anda mungkin kurang mendapat sisa racun perosak pada tanaman organik daripada bukan organik. Namun, racun perosak organik sering memerlukan dos yang lebih besar daripada racun sintetik dan ini menyebabkan lebih banyak daripadanya berakhir di tanah menyebabkn kesan pencemaran lebih besar.

6. Makanan organik adalah 100% organik

penipuan label makanan

Apabila anda memakan lobak merah organik, anda mungkin berfikir bahawa ia ditanam di ladang bebas racun perosak, ia bukan GMO dan tidak ada baja kimia yang digunakan untuk menanamnya. Betulkah sangkaan ini? Ya dan tidak.

Sebarang bahan organik sebenarnya boleh menjadi 95% organik dan masih boleh dikatakan organik pada label. Jadi itu bermakna jika mungkin ada racun perosak atau baja di suatu tempat di ladang, tidak mengapa dengan melabelkannya dengan standard "organik" selagi masih 95% organik.

Anda boleh mendapatkan 100% makanan organik tetapi labelnya mesti disebut "100% organik" dan disahkan. Sudah tentu, ianya akan jadi lebih mahal. 

7. Tanaman organik lebih baik untuk alam sekitar

ladang organik

Selama bertahun-tahun lamanya, pihak media sering mencanangkan bahawa makanan yang dihasilkan secara GMO tidak bagus. Hakikatnya, tanaman GMO tidak hanya menyelamatkan nyawa dengan menyelesaikan masalah kelaparan, tetapi menyelamatkan alam sekitar dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh ladang organik.

Tanaman GMO dirancang khusus untuk tiga tujuan utama - hasil tanaman yang lebih besar, ketahanan penyakit daripada seragga perosak dan daya tahan terhadap kemarau. Dengan itu, ianya mampu menghasilkan makanan untuk lebih ramai manusia menggunakan lebih sedikit tanah, kurang air dan lebih sedikit racun perosak.

Pertanian organik memerlukan lebih banyak ruang dan setiap tahun lebih banyak kawasan seperti tanah hutan tepaksa dimusnahkan untuk memberi ruang bagi pertanian. Lebih banyak air diperlukan untuk menjaga agar tanah itu diairi dan tanaman disiram dan lebih banyak racun perosak dan racun rumpai diperlukan untuk membunuh rumpai dan serangga perosak, walaupun ia adalah bahan kimia organik.

Kredit:

  1. FDA
  2. Salon
  3. American Agriculturist



Hakcipta iluminasi.com (2017)