Oleh pada 01 Jun 2019 kategori

Bagi semua orang yang pernah menaiki kapal terbang pastinya anda pernah merasai “turbulence”. Definisi "turbulence" adalah pergolakan atau gegaran yang dirasai ketika berada dalam pesawat semasa berada di udara.

Sememangnya gegaran ini memberikan perasaan ngeri seolah-olah pesawat tersebut mungkin akan terhempas.

Apabila gegaran berlaku, juruterbang akan meminta anda untuk kembali ke tempat duduk dan lampu amaran pemakaian tali pinggang keselamatan juga dipasang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, ramai yang tidak tahu bahawa risiko gegaran adalah sangat rendah berbanding risiko anda memandu kenderaan untuk pergi ke lapangan kapal terbang sekalipun. Artikel kali ini Iluminasi.com akan berkongsi mengenai faktor berlakunya “turbulence” dan sebab kenapa anda tidak perlu risau.

Apa itu turbulence?

kapal terbang pesawat bergoncang

Udara bukannya sentiasa berada dalam keadaan statik dan sentiasa bergerak. Oleh kerana udara sentiasa dalam pergerakan, jadi turbulence berlaku apabila kapal terbang menghadapi pergerakan atmosfera yang tidak teratur.

Inilah yang menyebabkan anda merasakan gegaran dan perjalanan yang bergelora ketika berada dalam kapal terbang.

Dalam dunia pernebangan, ianya sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi juruterbang untuk menempuh keadaan udara yang berbeza setiap masa. Bagi juruterbang, turbulence adalah perkara yang normal dan sudah pun dijangkakan.

Clear-Air Turbulence

apa itu turbulence

“CAT” atau juga dikenali sebagai Clear Air Turbulence adalah sejenis turbulence yang terjadi tanpa dikaitkan dengan kehadiran awan. Oleh itu, agak sukar bagi juruterbang untuk mengesan CAT secara visual mahupun menggunakan peralatan radar cuaca konvensional.

Pada umumnya, turbulensi CAT berlaku pada ketinggian 20000 kaki atau sekitar 6 kilometer, dan biasanya terjadi pada aliran angin yang sempit dan kencang atau biasanya ditafsir sebagai jet stream.

Selain itu, CAT juga lebih berisiko mengakibatkan keadaan berbahaya berbanding faktor yang lain kerana ia seringkali berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran kerana ia berlaku pada kawasan yang tidak berawan.

Bagaimana juruterbang mengawal turbulence

Juruterbang sentiasa berpandukan pelbagai sumber bagi menguruskan pemanduan kapal terbang. Bagi mengelakkan gegaran berlaku, juruterbang menerima ramalan serta laporan cuaca sebelum berlepas.

Juruterbang juga berkomunikasi dengan juruterbang lain dan pengawal trafik udara di saat penerbangan. Kapal terbang terbaru juga dilengkapi dengan senser yang dapat merasai gegaran secara automatik dan melaporkan gegaran tersebut kepada pengawal trafik udara.

Faktor berlakunya turbulence

1. Udara thermal/Ribut petir

kapal terbang pesawat di panah petir

Apabila udara panas yang meningkat melalui udara yang lebih sejuk, atau ketika aliran jet bertemu satu sama lain, ini mengakibatkan beberapa timbunan.

Hal ini adalah biasa untuk berlaku pada hari musim panas. Keadaan atmosfera ini menyebabkan ribut petir dan pembentukan awan kumulus. Ribut ini mengakibatkan turbulence dan hujan batu juga mampu merosakkan tingkap kokpit juruterbang.

2. Kawasan pergunungan

kapal terbang di atas udara

Sekiranya ada angin yang kuat, udara mungkin naik ke atas apabila ia menemui gunung yang lebih tinggi. Ini boleh menyebabkan gelombang yang boleh dirasakan pada ketinggian yang tinggi dan pada jarak yang jauh.

Akibatnya, kita kadang-kadang mengalami pergolakan apabila melepasi kawasan gunung.

3. Aliran ricih angin (Wind shear)

risiko mati atas pesawat

Ricih angin adalah kadar halaju dan arah angin yang berubah mengikut jarak. Ricih angin menegak adalah kadar perubahan angin mengikut altitud. Manakala ricih angin mendatar adalah kadar perubahan angin di atas permukaan mendatar. Arus menurun dan menaik dalam awan adalah berbahaya kepada pesawat ringan yang tidak dilengkapi dengan peralatan canggih untuk mengesannya.

4. Turbulence disebabkan oleh kapal terbang lain

pesawat hendak berlepas

“Wake turbulence” adalah gangguan di atmosfera yang terbentuk di belakang sebuah kapal terbang apabila ia berlepas. Ianya berlaku apabila udara berputar terhasil pada sayap kapal terbang semasa kapal terbang menghasilkan gaya angkat atau lift. Namun, ada cara untuk mengelakkan “wake turbulence” ini. Juruterbang selalunya akan mengelakkan daripada berlepas melalui lintasan penerbangan yang baru sahaja digunakan oleh kapal terbang lain.

Mengapa anda tidak perlu risau jika berlakunya turbulence

1. Juruterbang tidak begitu bimbang terhadap turbulence kerana ianya sangat umum berlaku

Untuk pengetahuan anda, menurut statistik gegaran tidak menyebabkan kapal terbang terhempas namun hanya membuatkan anda kurang selesa. Kecederaan yang berlaku disebabkan gegaran adalah kerana anda tidak mematuhi arahan juruterbang untuk kembali ke tempat duduk dan memakai tali keselamatan. Bagi juruterbang, turbulence adalah normal dan tidak terlalu merisaukan. 

2. Juruterbang melakukan latihan penerbangan setiap masa

pilot juruterbang hensem

Juruterbang diwajibkan untuk mengikuti latihan setiap 6 bulan. Mereka perlu melalui penilaian kebolehan dan sikap, ujian psikologi dan kecekapan, peperiksaan mengemudi dan situasi kecemasan dalam simulator.

Ini memastikan juruterbang sentiasa bersedia dan peka serta berkebolehan untuk memandu kapal dalam pelbagai keadaan yang berisiko.

3. Memandu kereta dan berjalan kaki lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding kapal terbang

kebarangkalian untuk mati ketika naik kapal terbang

Kita sentiasa beranggapan bahawa kapal terbang adalah satu medium pengangkutan yang paling membahayakan kerana kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau memandu kapal terbang.

Selain itu, faktor jarak antara langit dan darat juga mempengaruhi fikiran anda sebegitu.

Hakikatnya, kapal terbang merupakan medium pengangkutan paling selamat jika dinilai mengikut statistik kemalangan maut yang berpunca daripada pengangkutan lain.

Menurut Mohshin Aziz, penganalis penerbangan, kebarangkalian kemalangan kapal terbang adalah 1/7200. Kalau dibandingkan dengan kereta adalah 1/415. Jadi jika dibandingkan secara langsung, maknanya kapal terbang adalah 61 kali lebih selamat daripada menaiki kereta.

Manakala, kebarangkalian kemalangan ketika berjalan kaki adalah 1/750. Jika dibandingkan dengan menaiki kapal terbang, ia 60 kali lebih bahaya.

 “Akan tetapi MH370 adalah insiden pertama selama 37 tahun ini. Jadi berdasarkan perumpamaan ini, amat jelas bahawa kapal terbang jauh lebih selamat berbanding kereta atau mana-mana pengangkutan lain,”  ujarnya.

4. Juruterbang tahu bila turbulence akan berlaku

Dalam kebanyakan kes, juruterbang tahu tentang keadaan bergolak di hadapan dan boleh menghidupkan amaran pemakaian tali keselamatan serta membuat pengumuman mengenainya kepada penumpang dan anak kapal.

Juruterbang juga dibantu oleh laporan cuaca pra-penerbangan, radar kokpit, dan laporan dari pesawat lain di kawasan itu.

5. Teknologi terbaru bakal mengurangkan turbulence

kapal terbang pesawat

Syarikat Boeing kini sedang menguji teknologi penginderaan jauh bagi mengurangkan turbulence. Linar ini melibatkan laser yang dipasang di hadapan pesawat yang akan menembak dan memetakan sebarang pergolakan yang masuk. Hal ini akan membantu untuk mengurangkan gegaran agar para penumpang dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa.

Kesimpulannya, kemalangan boleh berlaku atas banyak faktor. Arus modenasi dan peralihan masa menghasilkan berbagai teknologi baru yang bertujuan untuk memudahkan serta melancarkan kehidupan seharian. Diharapkan, pembaca dapat memahami mengapa seringkali berlakunya gegaran atau turbulence dari segi saintifik dan dapat sedikit sebanyak mengurangkan kerisauan para pembaca semasa menaiki pesawat kelak! 

Rujukan:

1. astro awani

2. science behind turbulence

3. ilmu terbang




Hakcipta iluminasi.com (2017)