Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda adalah satu-satunya penumpang di dalam bas ekspres yang menuju ke satu-satu destinasi? Jarang sekali bukan?

Dan sudah tentu kebarangkalian untuk ini berlaku kepada penerbangan pesawat lebih rendah, akan tetapi ia pernah berlaku.

Jadi, apa yang akan berlaku jika anda adalah satu-satunya penumpang yang membeli tiket penerbangan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah penerbangan tersebut akan dibatalkan atau ditunda? 

Perkara seperti ini boleh berlaku dan kadang-kala syarikat penerbangan perlu mengendalikan penerbangan komersial dengan hanya seorang penumpang.

satu satunya penumpang dalam pesawat

Seperti yang anda boleh jangkakan, mereka yang bernasib baik ini boleh merasai pengalaman kelas pertama dengan hanya membayar tiket ekonomi.

Namun, mengapa syarikat penerbangan berbuat demikian? Bukankah ia akan merugikan mereka dan adalah lebih baik untuk membatalkan penerbangan?

Sebenarnya, ketika syarikat penerbangan membuat keputusan untuk meneruskan penerbangan walaupun dengan hanya seorang penumpang, mereka harus mengambil kira perkara-perkara lain selain daripada jumlah penumpang sahaja.

Yang pertama dan yang paling penting adalah logistik.

Syarikat penerbangan menjadualkan penerbangan mereka bebulan-bulan malah bertahun-tahun lebih awal.

Jadual waktu yang rumit ini memerlukan setiap pesawat berada di tempat-tempat tertentu pada waktu tertentu.

jadual penerbangan dihasilkan berbulan bulan lebih awal

Kebanyakan pesawat bukan hanya berulang-alik antara dua lapangan terbang sahja. Ia juga perlu terbang ke beberapa lokasi yang berlainan sepanjang laluan tertentu.

Sebagai contoh, pesawat dengan hanya seorang penumpang terpaksa terbang dari lapangan terbang A ke lapangan terbang B kerana pesawat tersebut telah ditempah penuh oleh penumpang yang sedang menunggu di lapangan terbang B untuk ke lapangan terbang C.

Selain itu, kru-kru syarikat penerbangan menggunakan pesawat kosong untuk menyusun semula para pekerja ke tempat yang diperlukan.

Juga, setiap pesawat perlu melalui penyelenggaraan yang biasanya berlangsung semalaman.

Dan oleh kerana penyelenggaraan dilakukan pada selang masa tertentu yang telah dijadualkan lebih awal, maka pesawat harus berada di tempat dan waktu yang tepat untuk diperiksa.

Jadi membatalkan penerbangan hanya kerana ia kurang penumpang boleh mengganggu jadual waktu rumit yang berbeza dan membuatkan sistem yang sempurna menjadi huru-hara.

pesawat perlu berada di tempat dan waktu yang tepat untuk diselenggarakan

Malah, semua syarikat penerbangan dikehendaki oleh undang-undang untuk terbang mengikut jadual.

Jika tidak, mereka boleh berhadapan dengan sekatan kerajaan. Pengecualian terhadap peraturan ini kebanyakannya hanyalah untuk penangguhan yang tidak dapat dielakkan, seperti kesalahan mekanikal atau cuaca buruk.

Dan kita juga perlu ingat bahawa pesawat biasanya bukan sahaja membawa penumpang tetapi juga muatan kargo.

Jadi, walaupun penerbangan tidak penumpang, muatan kargo yang mungkin penuh dan pendapatan dari kargo boleh menampung sebahagian besar perbelanjaan untuk penerbangan tertentu.

Persoalannya, mengapa syarikat penerbangan tidak melancarkan jualan diskaun besar-besaran ke atas pesawat yang kosong ini apabila hampir dengan hari penerbangan?

pesawat membawa muatan kargo

Biasanya, kebanyakan orang merancang berbulan-bulan lebih awal untuk membeli tiket kerana ia boleh menjimatkan wang. Syarikat penerbangan menawarkan harga murah hanya bagi mereka yang membeli tiket awal.

Mereka yang membeli tiket mendekati hari penerbangan biasanya perlu membayar lebih mahal. Dan inilah bagaimana syarikat penerbangan menjana pendapatan tambahan.

Jadi, jika mereka secara tiba-tiba menjual tiket murah betul-betul sebelum penerbangan berlepas hanya untuk memenuhkan pesawat yang kosong, ia akan menjejaskan sistem model harga yang telah terbukti berkesan.

Sudah tentu para pengguna tidak lagi mahu menempah tiket lebih awal dan menunggu untuk mendapatkan tiket diskaun.

Dengan ini, syarikat penerbangan akan kerugian wang yang biasanya diterima daripada penumpang yang membuat keputusan membeli tiket di saat-saat akhir.

Dan jika anda tertanya-tanya jika terdapat cara bijak untuk anda mendapatkan tiket yang mana penumpangnya sedikit, jawapannya adalah ia hampir mustahil.

kenapa syarikat penerbangan tidak lancarkan jualan diskaun tiket

Peluang anda untuk menempah pesawat yang kurang penumpang tersangat rendah. Anda perlu terbang 95 kali dan di antara penerbangan ke-96 dan ke-100, barulah anda mungkin berjaya.

Namun, terdapat tips bagaimana anda boleh terbang dengan selesa dengan menempah tiket yang mana di sebelah anda tiada penumpang lain yang membolehkan anda mendapatkan tidur yang lebih nyenyak dan meregangkan kaki dengan selesa.

Caranya adalah sentiasa memeriksa pelan tempat duduk pesawat di laman sesawang syarikat penerbangan.

Jika anda melihat barisan yang anda pilih ketika menempah kelihatan penuh sebelum daftar masuk dalam talian dibuka, buat pertukaran ke tempat duduk yang kelihatan seperti kosong.

Anda tidak 100% dijamin untuk mendapatkan ruang tambahan, tetapi peluangnya adalah lebih tinggi daripada tidak melakukan apa-apa.

apa akan berlaku jika anda satu satunya penumpang dalam pesawat

Jika anda mengembara dengan rakan-rakan dan pesawat tersebut mempunyai 3 tempat duduk bersebelahan, jangan menempah bersebelahan antara satu sama lain.

Pilih tempat duduk tepi tingkap dan tepi laluan, dengan ini membiarkan tempat duduk di tengah kosong dan berharap tiada siapa yang akan memilihnya.

Ini kerana tempat duduk di tengah antara dua penumpang tidak dikenali biasanya tidak akan dipilih, melainkan pesawat tersebut sangat penuh.

Cara lain untuk mendapatkan tempat duduk kosong adalah terbang ke laluan atau syarikat penerbangan yang baru. Biasanya anda akan menerima servis yang terbaik kerana syarikat baru ini cuba untuk membina reputasi dalam pasaran baru.

Dan laluan yang baru diperkenalkan biasanya mempunyai kurang penumpang dan memerlukan masa sebelum ia diketahui pengguna lain.

Rujukan:

1. The Points Guy

2. USA Today

3. Sides

4. Independent




Hakcipta iluminasi.com (2017)