Sekiranya anda berjalan di daerah Liberdade yang terletak di Sao Paulo, Brazil, anda mungkin menyangka anda sedang berada di Tokyo. Di mana-mana tempat di Brazil, pengaruh imigrasi Jepun tidak dapat dilihat lebih jelas berbanding bandar metropolis terbesar di Brazil ini.

Nama-nama di bahagian depan kedai adalah dalam bahasa Jepun dan mereka menjual semuanya dari makanan Jepun dan peralatan dapur hingga hiasan rumah tradisional. Pintu gerbang yang dicat dengan warna merah dan kewujudan taman Jepun menggembirakan pengunjung yang datang ke "perkampungan" orang Jepun di Brazil ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penghijrahan orang Jepun ke Brazil disambut setiap tahun pada ulang tahun pada 18 Jun 1908, tarikh kapal Jepun Kasato-Maru tiba di pelabuhan Santos, selatan Sao Paulo yang membawa 781 orang pertama yang memanfaatkan perjanjian dua hala yang mempromosikan penghijrahan orang Jepun ke sana.

Separuh dari mereka berasal dari bahagian selatan pulau Okinawa yang terletak kira-kira 640km di selatan Jepun yang mempunyai bahasa dan budaya tersendiri sejak sebelum pulau itu diletakkan di bawah penguasaan Tokyo pada tahun 1879. Hari ini, Brazil merupakan rumah bagi komuniti keturunan Jepun terbesar di dunia di luar Jepun, berjumlah kira-kira 1.5 juta orang.

Perdagangan biji kopi yang pesat

ladang kopi

Antara akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, kopi merupakan produk eksport utama Brazil. Pada mulanya, petani Brazil menggunakan buruh dari hamba abdi dari Afrika untuk bekerja di ladang-ladang kopi. Namun, pada tahun 1850, kerajaan telah manghapuskan amalan perhambaan di Brazil menyebabkan mereka kekurangan pekerja.

Untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja, golongan elit Brazil memutuskan untuk menarik imigran Eropah untuk bekerja di ladang kopi mereka. Kerajaan dan pemilik ladang kopi telah menawarkan untuk memmmbiayai kos kedatangan pendatang Eropah ke Brazil.

Rancangan itu mendorong berjuta-juta orang Eropah, kebanyakan mereka orang Itali untuk berhijrah ke Brazil. Namun begitu di Brazil, para pendatang ini mendakwa mereka menerima gaji yang sangat rendah dan bekerja dalam keadaan yang teruk termasuk waktu kerja yang panjang dan layanan buruk oleh majikan mereka.

Oleh sebab itu, pada tahun 1902, Itali memperkenalkan sebuah polisi dikenali sebagai Decree Prinetti yang melarang penghijrahan rakyatnya ke Brazil untuk bekerja di ladang-ladang kopi. Akibatnya, Brazil kembali mengalami kekurangan tenaga kerja untuk ladang-ladang kopi yang sedang pesat membangun ketika itu.

Penghapusan sistem feudal di Jepun

Pengakhiran sistem feudalisma di Jepun telah menimbulkan jurang kemiskinan yang besar di penduduk luar bandar sehingga ramai orang Jepun mulai berhijrah keluar negara mencari keadaan hidup yang lebih baik.

Menjelang tahun 1930-an, industri perindustrian Jepun telah meningkatkan populasi dengan ketara. Walau bagaimanapun, prospek orang Jepun untuk berhijrah ke negara lain adalah terhad. AS telah melarang imigrasi orang bukan kulit putih dari beberapa bahagian dunia dengan alasan bahawa mereka tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam Akta Imigresen 1924 negara tersebut yang secara khusus menyasarkan orang Jepun. Pada masa yang sama di Australia, polisi "White Australia Policy" menghalang kemasukan orang bukan kulit putih ke Australia.

Pada tahun 1907, pemerintah Brazil dan Jepun telah menandatangani perjanjian yang membenarkan migrasi orang Jepun ke Brazil. Ini sebagiannya adalah disebabkan oleh penurunan imigrasi orang ke Brazil dan kekurangan tenaga kerja baru di kebun kopi.

kapal imigran jepun

Kumpulan pendatang Jepun pertama seramai 790 orang yang kebanyakannya petani telah datang ke Brazil pada tahun 1908. Kebanyakan mereka ini yang awalnya bekerja di ladang-ladang kopi akhirnya berjaya membeli tanah dan mengusahakan penanaman biji kopi mereka sendir.

Dalam tujuh tahun pertama, 3,434 buah keluarga Jepun (14,983 orang) telah datang ke Brazil. Permulaan Perang Dunil Pertama pada tahun 1914 mencetuskan ledakan migrasi Jepun ke Brazil. Antara tahun 1917 dan 1940 lebih daripada 164,000 orang Jepun datang ke Brazil, 75% dari mereka pergi ke São Paulo di mana kebanyakan ladang kopi berada. 

Pendatang dari Jepun ini berjaya memenuhi peluang pekerjaan itu tetapi akhirnya ramai yang menyedari mereka boleh memperoleh lebih banyak pendapatan dengan mengusahakan tanah mereka sendiri.

Tidak seperti di tanah air mereka, di mana pihak berkuasa Jepun melarang bahasa Okinawan dipertuturkan berikutan penguasaan ke atas pulau-pulau itu, orang Okinawan yang tinggal di Brazil bebas untuk berbicara bahasa mereka dan merayakan budaya mereka.

Generasi Jepun pada masa kini

imigran jepun brazil

Selama beberapa dekad, orang Jepun di Brazil dilihat sebagai masyarakat yang tidak mahu berasimilasi dengan masyarakat tempatan. Para pendatang Jepun dilayan hanya sebagai tenaga kerja murahan yang bekerja di ladang kopi. 

Satu ketika dahulu, kerajaan Brazil juga menyebarkan fahaman bahawa rakyatnya harus menghindari daripada menerima pengaruh budaya Jepun dalam hidup mereka. Namun, lama-kelamaan konsep yang meluas bahawa orang Jepun membawa pengaruh negatif bagi Brazil telah berubah dalam beberapa dekad berikutnya.

Hari ini, terdapat kira-kira 1.5 juta orang Jepun di Brazil yang tinggal di São Paulo, menjadikannya tumpuan individu keturunan Jepun terbesar di luar Jepun. Masyarakat Jepun di São Paulo ini banyak tertumpu di Liberdade, di mana harga rumah adalah yang paling murah.

Kredit:

  1. Culture Trip
  2. BBC News
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)