Pengaruh yang dimiliki Facebook dalam mempengaruhi arus dan aliran netizen di seluruh dunia, tidak boleh dinafikan cukup kuat.
Facebook mempunyai statistik kukuh dari segi penggunaan harian, menjadi platform media sosial paling popular selain dibantu penguasaan mereka terhadap dua lagi platform popular iaitu Whatsapp dan Instagram.
Namun, dengan kuasa datang tanggungjawab yang lebih besar untuk Facebook memastikan platform mereka tidak disalahgunakan; oleh pengguna dan pengurusan Facebook sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah sebenarnya realiti disebalik persoalan ini? Pada 24 September 2021, Wall Street Journal (WSJ) telah melaporkan apa yang mereka klasifikasikan 'The Facebook Files,' dan kita mungkin akan berasa kurang selesa dengan apa yang dilaporkan berlaku di Facebook.
1. Instagram diakui berbahaya kepada mentaliti gadis dan wanita
Antara isu yang didedahkan dalam siasatan WSJ adalah berkenaan data yang diperolehi Facebook sendiri, berkenaan kesan penggunaan Instagram kepada wanita, khasnya golongan remaja.
Dalam data yang telah dibincang dalam pengurusan Facebook serta berjaya dibocorkan, berdasarkan kajian Facebook sendiri mendapati penggunaan Instagram di kalangan gadis remaja terbukti menyebabkan rasa rendah diri dan kemurungan kepada pengguna mereka, ekoran kegagalan gadis-gadis itu menuruti imej 'bintang Instagram' mereka.
32% daripada remaja wanita dan 14% remaja lelaki pengguna Instagram melaporkan perkara sama.
Apa yang menakutkan, pendedahan ini bercanggah dengan pengumuman Facebook pada bulan Mei tahun 2021 selepas mereka mengumumkan perancangan untuk membangunkan Instagram khas untuk individu bawah 13 tahun (yang kini telah ditarik balik atau dihentikan sementara).
Jurucakap Instagram, Adam Mosseri dalam pengumuman tersebut membalas kritikan tentang rancangan tersebut - menyifatkan kesan negatif yang wujud kepada pengguna Instagram, khasnya remaja hanyalah dalam kadar sangat rendah dan tidak perlu dibimbangi ibu bapa yang risau kesan penggunaaan aplikasi tersebut kepada anak-anak mereka.
2. Facebook sedang merancang untuk menguasai pasaran individu bawah umur
Berdepan saingan sengit aplikasi seperti Tik-Tok dan Snapchat yang berjaya menguasai kadar penggunaan individu muda, Facebook nyata tidak duduk diam.
Laporan WSJ telah mendedahkan bagaimana kebimbangan ini mula menyebabkan Facebook memfokuskan usaha besar-besaran berfokuskan golongan bawah umur, bagi menangani masalah penurunan jumlah pengguna baru. Dalam tempoh 2 tahun, pengguna Facebook daripada kelompok remaja menurun sebanyak 19% dan angka ini dijangkakan meningkat kepada 45% dalam tahun 2023.
Aplikasi 'Messenger Kids' diletakkan sebagai fokus utama dalam membantu membawa pengguna baru ke dalam ekosistem mereka.
Namun kebimbangan yang timbul adalah berkenaan bukti yang ditemui dalam maklumat dalaman Facebook, yang turut menjadikan golongan 0 ke 4 tahun sebagai salah satu sasaran mereka - sedangkan secara undang-undang, pengguna Facebook perlulah melepasi usia 13 tahun untuk dibenarkan melayari aplikasi tersebut.
3. Algoritma Facebook diakui Facebook membuatkan orang mudah marah
Sekitar tahun 2018, Facebook telah menambahbaik algoritma sistem penyebaran informasi mereka,diharapkan dapat mengubah Facebook agar menjadi platform yang lebih sihat untuk pengguna.
Malangnya, perubahan itu didapati telah menyebabkan kadar penyebaran berita palsu dan negatif berbentuk sensasi menjadi lebih mudah.
Algoritma baru itu meletakkan kepentingan kepada perkongsian yang hangat dan tular walaupun berintonasi negatif, memperbanyakkan interaksi buruk di antara pengguna serta mengutamakan kandungan yang mempunyai 'perang netizen' yang lebih tinggi.
Dalam memo dalaman yang diperolehi WSJ, terdapat usaha dalaman kumpulan saintis data Facebook untuk memperbaiki masalah ini sekitar tahun 2020.
Bagaimanapun, cadangan itu tidak mendapat kelulusan pengurusan tertinggi Facebook, yang merasakan kadar interaksi lebih tinggi diperolehi perlu dikekalkan - walaupun kajian dalaman mereka sendiri mendapati interaksi tersebut hanya membuatkan pengguna mereka lebih mudah memberikan reaksi marah-marah tidak tentu hala.
4. Facebook memberikan keistimewaan kepada golongan kenamaan
Walaupun mempunyai billion pengguna, terdapat anggaran 5.8 juta pengguna dan pemilik akaun Facebook yang diberikan keistimewaan berbeza.
Dalam sistem yang dilabelkan sebagai 'XCheck' atau 'cross-check' ini, 5.8 juta akaun yang dikategorikan sebagai akaun berpengaruh, popular atau berisiko jika ditapis, mempunyai kelebihan di mana perkongsian mereka dibenarkan lepas - tanpa perlu melalui sistem tapisan Facebook.
Antara nama-nama besar yang dikategorikan dalam kumpulan ini adalah bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan bintang bola sepak Brazil, Neymar. Dalam kes melibatkan Neymar, satu perkongsian bintang bola sepak itu melibatkan seorang wanita telah menimbulkan kontroversi besar.
Wanita tersebut yang menuduh Neymar telah merogolnya, akhirnya dimalukan dalam Facebook melalui perkongsian pemain itu, apabila dia memuat naik nama dan gambar wanita itu dalam keadaan memalukan. Perkongsian tersebut dilayari lebih 56 juta pengguna Facebook, mengakibatkan wanita tersebut diganggu dan diugut.
Hanya selepas sehari perkongsian itu, barulah apa yang telah dimuatnaik dipadamkan. Memo dalaman Facebook menyifatkan apa yang berlaku sebagai 'balasan pornografi balas dendam.'
Dalam laporan WSJ, ada dinyatakan tidak ada sistem khas digunakan dalam menentukan akaun yang diberikan keistimewaan ini. Semuanya bergantung kepada budi bicara pasukan Facebook dalam memilih dan membenarkan akaun individu dianggap layak.
5. Terima kasih Frances Haugen - pembocor rahsia Facebook
Banyak maklumat dalaman yang dilaporkan oleh WSJ diperolehi daripada seorang wanita bernama Frances Haugen.
Haugen adalah bekas pegawai di Facebook yang telah menamatkan perkhidmatannya pada bulan Mei tahun 2021 selepas lebih 2 tahun berkhidmat, ekoran rasa kecewa beliau terhadap kegagalan Facebook memperbaiki semua kelemahan dalaman mereka.
Menurut beliau, realitinya Facebook tahu kesan buruk penggunaan platform mereka kepada masyarakat dunia namun enggan mengubah apa yang dirasakan perlu bagi memastikan pengguna agar terus melekat dengan skrin.
Haugen juga menyifatkan Facebook lebih gemar memfokuskan usaha mereka kepada persoalan 'bagaimana nak tambah bilangan pengguna' setiap masa, berbanding menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna mereka dari segi mental.
Semasa di Facebook, Haugen memainkan peranan dalam Divisyen Integriti Facebook, memfokuskan kepada isu dan masalah yang dihadapi algoritma platform tersebut dalam mentafsir kempen-kempen pilihanraya di seluruh dunia.
Ketika ini, Haugen mendapat perlindungan daripada kerajaan Amerika Syarikat bagi membolehkan beliau melakukan testimoni terhadap semua dakwaan beliau, di hadapan kongres Amerika Syarikat. Menurut beliau, agenda Facebook sebagai sebuah platform sangat fokus kepada kaedah menjana keuntungan tanpa mengambil kira etika dan keselamatan pengguna mereka sendiri.
Haugen juga mensasarkan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sebagai terlalu berkuasa dalam Facebook - seorang diri mampu menguasai 58% pola undian dalam menentukan sebarang keputusan atau perubahan dasar dalam Facebook.