Pernahkah anda memuat turun data peribadi anda daripada Facebook?

Anda perlu mencubanya kerana ia akan memberikan anda satu kompilasi seluruh akaun Facebook anda sejak mula dalam satu bentuk fail web (html.) yang tersusun rapi dan ringkas.

Bagaimanapun, proses memuat turun ini memakan masa sedikit kerana anda perlu memohon data anda dikompilasikan terlebih dahulu, sebelum anda mendapat pemberitahuan menerusi e-mel yang data anda telah siap untuk dimuat turun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi admin, admin perlu menunggu lebih setengah hari sebelum dapat notifikasi daripada Facebook menyatakan data admin sudah sedia untuk dimuat turun. Data yang akan dimuat turun terkandung dalam satu fail .zip yang kemas dan saiznya pula, bergantung kepada tempoh anda di Facebook serta aktifkah anda menggunakannya.

Ini bermaksud, sekiranya anda seorang pengguna Facebook yang rajin memuat naik video, besar kemungkinan saiz fail yang anda akan perlu muat turun mampu mencapai ke saiz yang lebih besar. Bagi admin yang tidak banyak memuat naik apa-apa, saiz fail admin hanya 115MB.

Apa yang akan anda muat turun dalam fail itu?

1. Profil anda

Profil anda mengandungi kesemua maklumat yang pernah anda kongsikan dengan FB, daripada tarikh pertama kali anda menyertai FB sehinggalah kesemua minat, laman serta kumpulan dalam FB yang anda ikuti.

2. Kesemua status dan aktiviti anda

Bagi admin yang gemar menulis tentang kisah cinta admin sehingga kini yang kerap mendapat sambutan hangat dan 'like' sehingga 10 like, timeline admin penuh dengan tulisan. Dalam senarai ini juga ditunjukkan pada tarikh bilakah anda bersetuju untuk berkawan dengan individu lain dalam FB. Fakta menarik tentang admin - admin menyertai FB pada Oktober 2006 tetapi status pertama admin hanya ditulis pada Ogos 2009.

Persoalan yang paling penting. Bila anda tekan punat delete pada foto atau gambar anda, adakah Facebook benar-benar sudah delete gambar/foto anda di dalam server mereka?

3. Semua foto anda

Dalam banyak-banyak benda, ini admin rasa sangat berguna kerana bila kita muat turun ni banyak menjimatkan masa kita. Sebagai seorang yang popular, admin kerap ditagged oleh rakan-rakan, jadi dengan memuat turun fail-fail gambar ini, admin sudah ada koleksi lengkap semua gambar admin yang dimuat naik individu-individu lain.

4. Semua video anda

Sebagai pengguna FB, pasti anda pernah disajikan dengan video yang dihasilkan oleh FB sendiri untuk meraikan ulangtahun persahabatan anda dalam FB. Setelah memuat turun data admin, admin kini dapat menyimpan semua video yang telah terhasil dan kini membuktikan ramai yang sayang admin.

5. Senarai kawan dan 'bekas kawan'

Ini senarai paling menyayat hati admin. Senarai ini terbahagi kepada beberapa bahagian - kawan, orang lain yang nak jadi kawan, orang lain yang admin tolak sebagai kawan serta akaun-akaun FB yang pernah jadi kawan admin, tapi admin buang atas sebab-sebab tertentu. Bila lihat balik senarai yang ada, jelas sekali admin kadangkala mampu bersikap tak berhati perut. Selain itu senarai ini juga memaparkan semua akaun individu yang mengikut kita dan juga individu yang kita ikut.

6. Semua mesej yang telah diterima

Sebelum Messenger diperkenalkan, admin banyak juga menggunakan FB untuk berkomunikasi dengan kawan-kawan admin. Panjang juga senarai yang ada dan admin pun baru perasan semua perbualan dalam kumpulan pun dimasukkan sekali. Bila tengok senarai ni, admin teringat kembali zaman admin masih tidak matang kerana banyak betul perbualan admin dulu berkisar kepada teknik nak mengorat wanita dan juga permainan video semata.

7. Iklan-iklan yang anda pernah klik atau langgan

Di bawah tab 'Ads', akan disenaraikan semua jenis minat anda bagi digunakan untuk tujuan memfokuskan iklan yang sesuai pada anda, Selain itu ada juga tersenarai semua iklan yang pernah anda klik. Namun bahagian paling penting di sini sebenarnya adalah di bawah sekali di mana FB akan menyenaraikan kesemua pengiklan yang menyimpan maklumat peribadi anda dengan tajuk 'Advertiser's with your contact info.' Admin akui, admin agak berhati-hati dalam hal ini jadi hanya ada tiga saja yang tersenarai - Spotify, Uber Eats dan Lazada. Anda pula bagaimana?

8. Semua aplikasi memalukan yang pernah kita guna

Dalam tab 'Applications' tersenarai semua aplikasi FB yang pernah admin gunakan dan selepas menliti senarai tersebut, terbukti admin banyak membuang masa dengan kuiz-kuiz serta aplikasi tukar wajah yang kerap kali dikongsikan dalam FB. Banyak juga yang admin pernah gunakan dan ini memang membuatkan admin berasa agak malu dengan diri sendiri.

9. Data panggilan dan emel

Yang ni bahagian yang paling membuatkan admin terkejut. Selepas membuka tab ini, admin mendapati kesemua nombor rakan-rakan, bukan setakat pengguna FB malahan mereka yang tak ada FB pun beserta emel mereka tersenarai cantik dalam laman ini. Nama-nama yang disenaraikan menggunakan nama yang telah admin letakkan dalam buku telefon admin. Ini bermaksud, admin pernah memberikan kebenaran kepada FB untuk menyimpan senarai nama-nama yang terkandung dalam telefon Android admin, siap dengan nama organisasi mereka bekerja.

Apa yang admin paling takutkan, dalam senarai telefon admin, ada beberapa nombor kekasih lama yang admin cuba sembunyikan daripada pengetahuan beberapa orang isteri admin. Setelah mengetahui nombor telefon mereka kini berada dalam simpanan FB, admin ada rasa tak sedap badan sikitlah.

Lagi satu kegusaran, kebanyakan maklumat dalam buku telefon admin, admin letakkan nama organisasi mereka sebagai rujukan - ini membolehkan FB mengetahui dengan mudah maklumat organisasi pekerjaan semua kawan-kawan dan kenalan admin.


Walaupun artikel ini ditulis dengan nada bergurau, tetapi mesejnya serius. Facebook banyak menyimpan maklumat kita apatah lagi sekiranya anda memberikan akses sepenuhnya kepada FB untuk menelaah isi telefon kita. Bagi admin, admin tidak memberikan akses penuh kepada FB namun bagi beberapa individu lain seperti yang telah mereka laporkan sendiri, setelah memuat turun maklumat mereka - mereka mendapati FB bukan sahaja menyimpan semua yang telah admin senaraikan di atas, FB juga didapati menyimpan rekod panggilan telefon serta rekod SMS mereka.

Adakah anda juga mengalami nasib serupa? Untuk mengenalpasti apa maklumat yang FB simpan berkenaan anda selama ini, anda boleh memuat turun fail maklumat anda, namun anda memerlukan sebuah komputer untuk melakukannya. Ada pihak mengatakan anda boleh membuatnya di mobil dengan membuka Facebook menggunakan mod desktop tetapi admin tak ada lah mencubanya.

menu general account settings facebook

Buka Facebook melalui komputer dan pergi ke bahagian 'Settings.' Pada bahagian 'General' dan 'General Account Settings' anda akan mendapati satu teks kecil bertulis 'Donwload a copy' of your Facebook data.'

Tekan hiperlink tersebut dan ikut arahan seterusnya. Tunggu emel pengesahan yang data anda sudah sedia dimuat turun tidak lama selepas itu. Selamat berjaya menelaah kembali masa lampau anda.

Rujukan

Yahoo Finance

Gadgets 360




Hakcipta iluminasi.com (2017)