Indonesia akan merasmikan ibu kota baru negara republik tersebut iaitu kota Nusantara, pada 17 Ogos 2024, sempena Hari Kemerdekaan negara itu.
Nusantara akan menggantikan Jakarta sebagai ibu negara, mengambil alih kedudukan ibu negara lama yang telah dipegang bandar tersebut sejak kemerdekaan negara itu pada tahun 1945.
Kenapa Jakarta perlu digantikan? Berbeza dengan kita yang memindahkan pusat pentadbiran daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya atas sebab keperluan perancangan bandar yang lebih baik, Nusantara pula perlu ditubuhkan kerana masalah Jakarta yang sedang tenggelam.
BESARKAN TEKS A- A+
Anda boleh baca artikel kami berkenaan isu ini terlebih dahulu.
Nusantara - pemacu kemajuan Pulau Borneo?
Tapak Nusantara dipilih terletak di bahagian pantai timur pulau Borneo, dalam wilayah Kalimantan Timur dijangka meliputi kawasan seluas 2,560 kmĀ² dikelilingi oleh landskap yang berbukit, hutan dan mempunyai kawasan teluk semula jadi.
Menurut The Star, sebuah konsortium Indonesia telah bekerjasama dengan kerajaan Indonesia untuk melabur hampir RM148.5 billion sebagai kos membangunkan Nusantara.
Dalam laporan sama, juga ada diceritakan tentang usaha besar-besaran kerajaan Indonesia untuk mencipta insentif kepada pelabur swasta untuk membantu memindahkan operasi mereka daripada ibu kota Jakarta yang kini diketahui sesak dan sangat padat ke pulau Borneo.
IPS News, sebuah media tempatan Indonsia melaporkan bahawa Nusantara dirancang sebagai sebuah bandar moden yang mengamalkan sistem perancangan bandar yang rapi, direkabentuk berlandaskan konsep yang memelihara alam sekitar serta mempunyai fasiliti awam yang berkelas dunia.
Bandar baru ini dirancang sebagai bandar pintar dan hijau, menggunakan prinsip kelestarian alam sekitar dan akan menampilkan infrastruktur dan sistem pengangkutan mesra alam. Bagi menghubungkan Nusantara dengan rangkaian telekomunikasi, bandar ini juga akan dilengkapi dengan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan Internet of Things (IoT).
Apa status Nusantara ketika ini?
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi telahpun selamat menghabiskan malam pertama beliau menginap di Istana Garuda, kompleks rasmi kediaman Presiden Indonesia di Nusantara pada 30 Julai 2024.
Bagaimanapun pembinaan Nusantara ketika ini sedang berdepan beberapa kesulitan. Dilaporkan proses pembinaan yang dirangka bergerak lebih perlahan berbanding sepatutnya. Proses pengambilan tanah untuk dimajukan juga sedang berdepan bermacam jenis kekangan.
Apa yang lebih merumitkan, usaha Indonesia untuk menarik pelaburan luar masuk juga belum mencapai sasaran yang ditetapkan khususnya berkaitan peralihan kuasa Presiden yang bakal berlaku bulan Oktober tahun 2024.
Tanggungjawab Jokowi membangunkan Nusantara bakal berakhir pada bulan 10 selepas penggal beliau sebagai Presiden tamat dan bakal digalas Prabowo Subianto.
Belum jelas adakah Prabowo mempunyai visi yang sama tentang projek bertaraf mega ini. Bagi Jokowi, beliau melihat pembangunan Nusantara tidak boleh diukur dalam tempoh singkat sebaliknya harus diterima akan mengambil masa berdekad-dekad lamanya.
Isu tersebut dikatakan menjadi penghalang utama lebih banyak pelaburan masuk ke situ, walaupun sudah banyak infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, internet dan lebuhraya telah berjaya disiapkan.
Pengorbanan demi masa depan negara
Pembinaan Nusantara dijangka mencipta peluang pekerjaan untuk ribuan orang, yang diharap membantu mengurangkan kadar pengangguran di sana.
Untuk mencapai sepenuhnya matlamat, projek ini dijangka memerlukan tenaga kerja yang besar untuk pembinaan dan pembangunan, yang diharapkan dapat menarik minat usahawan dan pelabur dari seluruh dunia membuka perniagaan di sana.
Tidak dapat dinafikan, di kalangan warga Indonesia ramai yang menyuarakan kekecewaan dan bantahan terhadap pemindahan Jakarta ke Nusantara.
Seperti yang sudah kami kongsikan di atas, pemindahan ibu kota Indonesia sudah perlu dilakukan kerana Jakarta telah menghadapi pelbagai cabaran infrastruktur yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, pencemaran dan banjir. Kualiti hidup masyarakat di Jakarta tidak dapat diperbaiki seandainya situasi ini berterusan.
Nusantara dilihat sebagai satu permulaan baru bagi kerajaan dan rakyat Indonesia, yang dilihat berpotensi menjadikan Indonesia salah sebuah kuasa ekonomi Asia.