Apa yang ada pada sesuatu nama? Itulah yang sering menimbulkan persoalan kepada orang ramai, apabila sesuatu istilah dipilih untuk menamakan sesuatu elemen dalam masyarakat.
Kita sering menyebut dan mengaplikasikan istilah 'Nusantara' dalam kehidupan kita, merujuk kepada rantau kita, budaya kita dan juga pernah dijadikan kategori genre dalam pertandingan penciptaan lagu popular kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Indonesia pula melangkah lebih jauh, baru saja bersetuju untuk menggunakan nama 'Nusantara' sebagai nama baru ibu negara mereka - setelah parlimen negara itu bersetuju dengan pemilihan tersebut.
Kenapa Nusantara terpilih?
Jika anda pembaca setia Iluminasi, sudah pasti anda mengetahui berkenaan masalah yang sedang dihadapi oleh ibu negara kini Indonesia, iaitu Jakarta - yang sedang berdepan ancaman boleh tenggelam disebabkan kelemahan struktur tanah.
Pada 18 Januari 2022, parlimen Indonesia bersetuju secara rasmi dengan rancangan mega untuk membuka sebuah bandar baru bagi menggantikan Jakarta, sebagai ibu negara baru Indonesia.
Terletak di Kepulauan Borneo, khususnya kawasan di antara Penjam Paser dan Kutai Kartanegara, Kalimantan - kawasan seluas 180,000 hektar telah digazetkan sebagai tapak asas 'Nusantara', ketika ini didiami lebih 900,000 orang penduduk.
Rancangan Indonesia memang besar sekali skalanya. Nusantara dirancang dengan bajet RM135.96 billion, bakal menempatkan keseluruhan pusat pentadbiran Indonesia selain menempatkan lebih 1.5 juta orang penjawat awam.
Projek Nusantara pula dijangkakan akan mengambil kira-kira 10 tahun untuk dibangunkan fasa-fasa utamanya, menjadikan Indonesia sebagai negara Asia Tenggara terbaru menjalankan usaha memindahkan ibu negara - selepas Myanmar.
Kita tak kira ya, kerana Putrajaya hanyalah pusat pentadbiran dan Kuala Lumpur masih kekal sebagai ibu negara.
Nusantara dalam sejarah lama Indonesia
Istilah 'Nusantara' walaupun cukup dikenali sebagai istilah am, mempunyai misteri yang tersendiri sehinggakan ramai di antara kita sukar untuk benar-benar mampu menjelaskan maknanya.
Berdasarkan kajian sejarah yang telah dijalankan, 'Nusantara' dibentuk daripada gabungan dua istilah iaitu 'nusa' yang bermaksud 'pulau' dan 'antara'. Dalam erti kata lain nusantara boleh juga membawa makna 'antara pulau.'
Antara teks-teks rasmi zaman lampau yang menggunakan istilah ini, melibatkan akujanji Perdana Menteri kerajaan Majapahit, Patih Gajah Mada kepada ketuanya Ken Angrok pada tahun 1334.
Dalam teks tersebut yang terkandung dalam dokumen lama Jawa Paranton, Patih Gajah Mada menamakan beberapa buah kerajaan dalam 'rantau Nusantara' sebagai antara kerajaan yang perlu ditundukkan, bagi meluaskan lagi kuasa pemerintahan Ken Angrok.
Selain itu, satu lagi koleksi dokumen popular dalam ilmu persuratan Melayu dinamakan Surat Beriluminasi Raja Nusantara, dipercayai diterbitkan sekitar penghujung abad ke 18. Saja kami sebut perkara ini secara ringkas, kerana ada nama 'Iluminasi' di dalamnya.
Apa yang kita tahu, penggunaan istilah ini meluas, tetapi maknanya boleh dibeza-bezakan, tidak tetap hanya kepada satu makna semata-mata serta longgar daripada segi hukum penggunaannya. Oleh kerana itulah banyak pendapat ahli kaji sejarah menyifatkan 'nusantara' adalah satu istilah yang boleh mencerminkan konsep.
'Nusantara' sebagai idea lama negara gergasi rantau kita
Dalam sejarah yang juga melibatkan individu dari negara kita, beberapa orang tokoh politik era pre-kemerdekaan Indonesia dan Malaysia telah cuba menyatukan kedua-dua negara dalam konsep kenegaraan yang dinamakan sebagai negara Nusantara, hasil gabungan kembali Indonesia dan Tanah Melayu.
Selain nama 'Nusantara', wujud juga cadangan untuk negara itu dinamakan sebagai 'Melayu Raya' atau 'Indonesia Raya.'
Antara nama-nama yang menggerakkan usaha ini adalah tokoh muda terkenal negara kita Ibrahim Yaacob dan Mohammad Hatta, serta Sukarno yang akhirnya naik menjadi Presiden pertama Republik Indonesia.
Konsep yang dibawakan kumpulan anak muda ini dimaktubkan dalam satu persidangan yang diadakan di Taiping, Perak pada tarikh di antara 12 atau 13 Ogos 1945 - beberapa hari sebelum Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia daripada Belanda.
Ibrahim Yaacob merupakan antara individu paling lantang mahu menyatukan lebih 65 juta penduduk kedua-dua buah negara di bawah satu panji iaitu 'panji Melayu', mengajak agar masyarakat ketika itu bersatu menggunakan hanya satu konsep bangsa, satu bahasa dan satu negara.
Namun idea untuk mewujudkan negara Nusantara ini akhirnya ditamatkan pada dekad 1960-an, selepas Sabah dan Sarawak memilih untuk diintegrasikan ke dalam Persekutuan Malaysia, membina tembok di antara dua masyarakat yang dulunya hidup bersama.
Adakah penamaan ibu negara baru Indonesia sebagai 'Nusantara' akan memulakan satu perubahan berbeza dari segi geopolitik serantau Malaysia dan Indonesia, membangkitkan kembali idea-idea asal penyatuan masyarakat kita keduanya?
Sama-samalah kita nantikan.
Rujukan
Nusantara: History of a Concept
The Japanese Occupation of Malaya, 1941-45: Ibrahim Yaacob and the Struggle for Indonesia Raya