Setiap bangsa dan etnik di dunia ini mempunyai budaya unik yang hanya diamalkan bangsa atau etnik tersebut sahaja. Sebagai contoh, etnik Kayan Lahwi yang hidup di Myanmar terkenal kerana wanita-wanitanya mempunyai leher yang panjang akibat budaya pemakaian gegelung pada leher yang diperbuat daripada tembaga.

Gegelung ini akan dipakai sejak daripada kecil dan regangan yang dihasilkannya akan memanjangkan leher wanita tersebut apabila mereka semakin membesar. Namun, seperti mana-mana budaya lain juga, kebanyakan budaya ini lambat-laun akan pupus dan ditelan zaman apabila masyarakatnya mula menjalani kehidupan moden dan golongan muda tidak lagi mahu mengamalkan budaya tradisional mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara salah satu budaya yang dijangka pupus tidak lama lagi adalah budaya melukis tatu pada muka yang diamalkan oleh wanita daripada etnik Lai Tu Chin yang berasal dari Myanmar.

Pengharaman budaya melukis tatu oleh junta Myanmar

tatu muka

Apabila pihak junta tentera mengambil alih kekuasaan Myanmar pada tahun 1960-an, ianya adalah permulaan buruk buat etnik minoriti seperti Lai Tu Chin ini. Cara pemerintahan ketenteraan dan diktator ini menyebabkan ramai daripada etnik ini telah diseksa dan dipaksa menjadi tenaga buruh paksa. 

Perkara ini ada dimuatkan dalam laporan oleh organisasi Human Rights Watch yang dikeluarkan pada tahun 2009. Menurut laporan ini, penduduk berada dalam kesengsaraan dan kesimpatan hidup. Mereka dijadikan buruh paksa, ditangkap sewenang-wenangnya, diseksa dan mengalami penindasan agama dan kebebasan hidup.

tentera myanmar

Selain itu, pihak pemerintah juga telah bertindak memperkenalkan undang-undang yang mengharamkan budaya melukis tatu di muka ini pada tahun 1976. Sebab pengharamannya tidak dapat dipastikan tetapi ramai beranggapan ianya bertujuan untuk menunjukkan kekuasaan pemerintah pada rakyat Myanmar.

Pengharaman ini sekaligus bermakna budaya ini lambat-laun akan pupus pada masa akan datang. Oleh itu, wanita-wanita golongan muda daripada etnik ini pada masa kini tidak lagi dilihat memiliki tatu pada wajah mereka.

Kenali Hmäe Sün Näe Ti Cengkhü Nu

lai tu chin

Hmäe Sün Näe Ti Cengkhü Nu merupakan gelaran bagi wanita yang memiliki tatu di wajah mereka ini. Jika dilihat, setiap tatu yang dilukis pada wanita ini memiliki corak dan rekabentuk yang sama iaitu seakan-akan bentuk sarang labah-labah.

Tatu ini dilukis menggunakan dakwat yang dihasilkan daripada bahan-bahan semulajadi antaranya jelaga dari penutup masakan. Penggunaan bahan-bahan semulajadi ini juga akan menjadikan tatu ini akan pudar apabila semakin menginjak usia. Namun, ianya tidak akan hilang selama-lamanya.

Selain itu, dakwat yang digunakan juga tidak terlalu pekat seperti warna dakwat tatu moden. Oleh itu, apabila sudah tua, jika dilihat daripada jauh tatu-tatu ini hanya kelihatan seperti kedut wajah pada muka. Coraknya hanya jelas kelihatan apabila dilihat daripada dekat.

Proses mendokumentasikan budaya yang semakin pupus ini

etnik lai tu chin

Pengharaman budaya melukis tatu pada wajah ini pada tahun 1976 menyaksikan hanya golongan wanita tua sahaja yang memiliki tatu pada wajah mereka. Dalam erti kata lain, apabila kesemua mereka mati kelak, budaya unik ini akan turut mati bersama-sama mereka.

Menyedari budaya ini semakin pupus, Dylan Goldby, seorang jurugambar profesional dari Australia yang kini bekerja di Seoul telah mengambil keputusan untuk mendokumentasikan budaya dan cara hidup etnik ini. Ternyata ianya bukanlah perkara yang mudah memandangkan mereka gemar menyorokkan budaya ini daripada menjadi tarikan pelancong luar.

etnik myanmar

Dengan bantuan ahli antropologi dan individu yang berkemahiran bertutur dalam bahasa etnik ini, akhirnya beliau berjaya juga mengadakan pertemuan pertama dengan etnik ini pada Jun 2015. Ketiadaan tenaga elektrik dan lokasi yang jauh terpencil jelas menjadi cabaran buatnya.

Walau bagaimanapun, bahasa merupakan masalah terbesar baginya memandangkan setiap kawasan perkampungan etnik ini turut mempunyai dialek dan cara sebutan yang berbeza. Malah, etnik ini juga tidak mempunyai sistem tulisan sebaliknya bahasa yang dibelajar adalah melalui oral semata-mata.

Buku mengenai projek dokumentasi mengenai etnik dan budaya etnik ini telahpun diterbitkan dan dijual. Sekiranya anda berminat, boleh dapat daripada laman web DylanGoldby.com dengan harga $30 senaskhah. Setiap hasil jualan daripada buku ini akan didermakan untuk pembangunan pembelajaran dan sumber bekalan air bersih kepada etnik ini.

tatu di muka lai tu chin myanmar

Kredit:

  1. Slate
  2. South China Morning Post
  3. Huffington Post



Hakcipta iluminasi.com (2017)