Nasib yang menimpa orang Rohingya, seringkali diistilahkan sebagai satu bentuk penghapusan etnik.

Bagaimanapun, secara rasmi kerajaan Myanmar di bawah pentadbiran Presiden Aung San Suu Kyi menolak dakwaan itu. Mereka memilih untuk meletakkan apa yang berlaku kepada etnik Rohingya sebagai satu bentuk jenayah perang.

Apakah sebenarnya perbezaan yang wujud di antara penghapusan etnik, jenayah perang dan satu lagi kategori iaitu jenayah terhadap kemanusiaan? Kenapa Myanmar merasakan apa yang telah berlaku adalah jenayah perang?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Definisi jenayah perang

jenayah perang tentera

'Jenayah perang' secara definisinya merupakan pelanggaran undang-undang ke atas warganegara sesebuah negara atau anggota tentera, di mana pelakunya melakukan perbuatan salah -  dinilai bergantung kepada tindakan individu terbabit.

Antara perbuatan yang dikategorikan sebagai bentuk-bentuk jenayah perang adalah pembunuhan, menyebabkan kesengsaraan pada individu lain, kecederaan pada tubuh mangsa, rogol, sengaja melakukan serangan ke atas komuniti masyarakat, merampas harta benda yang menjadi keperluan mangsa terlibat.

jenayah perang bosnia

'Mangsa' dikategorikan sebagai individu yang dilindungi, terlibat atau tidak terlibat dalam peperangan dan termasuklah juga kumpulan pelarian perang.

Mana-mana pihak yang menjadikan pelarian atau tahanan perang sebagai petugas bagi menjayakan agenda pihak mereka, juga dianggap melakukan jenayah perang.

Negara anggota PBB termasuklah negara kita telah pun menandatangani Konvensyen Geneva 1949 bagi mematuhi semua protokol dan ketetapan berkaitan akta jenayah perang.

Dalam sejarah, jenayah perang telah melalui banyak perbicaraan melibatkan negara dan kumpulan tertentu. Antara kes jenayah perang yang telah dibicarakan adalah perang Bosnia melibatkan tentera Serbia sebagai pelaku, perang Iraq dan yang terbaru melibatkan perang di negara Syria.

Jenayah terhadap kemanusiaan

perhambaan orang asal

Pada awalnya, istilah 'jenayah terhadap kemanusiaan' lebih banyak digunakan bagi mewakili tindakan keras yang dilakukan terhadap kumpulan-kumpulan hamba.

Khasnya komuniti hamba Afrika yang berhadapan dengan golongan penjajah Eropah, seperti apa yang dilakukan ke atas warga Congo oleh Raja Leopold II, pemerintah Belgium.

Lama-kelamaan istilah itu mula digunakan bagi merangkumi lebih banyak perbuatan jenayah yang dilakukan oleh satu kumpulan secara sistematik; merangkumi bukan saja perhambaan malahan pembunuhan, penyeksaan, penculikan, apartheid, rogol dan beberapa perbuatan jenayah lain.

Apa yang membezakan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang, adalah situasi ketika perbuatan itu berlaku.

manusia rantai hamba

Jenayah terhadap kemanusiaan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa perlunya pengisytiharan perang, memfokuskan kepada kumpulan individu mangsa dalam kelompok yang ramai.

Sementara itu jenayah perang pula dilakukan semasa perang terjadi, atas perbuatan individu itu sendiri yang sengaja melakukannya ke atas mangsa.

Kes melibatkan pemimpin kumpulan gerila LRA yang diketuai oleh Joseph Kony seringkali disebut sebagai contoh jenayah terhadap kemanusiaan, ekoran aktivitinya menculik dan membunuh rakyat Uganda didorong oleh usaha beliau mengambil alih kerajaan.

Walaupun dikeluarkan waran penangkapan untuk dibicarakan di Mahkamah Antarabangsa, Kony berjaya melarikan diri sehingga kini.

Bagaimanapun, pengaruhnya dikatakan sudah jauh merudum dan hanya disokong oleh kumpulan kecil pejuang yang masih setia dengannya.

Apakah itu penghapusan etnik?

genocide rwanda 1994

Berbeza dengan kedua-dua kategori jenayah yang disenaraikan, 'penghapusan etnik' pula mempunyai makna yang lebih khusus dan spesifik.

Diperjelaskan dalam artikel 2 Konvensyen Jenayah Dunia, penghapusan etnik hanya akan dianggap berlaku apabila sesuatu kumpulan dengan niat - sengaja menyebabkan kemusnahan, kerosakan dan kematian mensasarkan sebahagian atau keseluruhan kumpulan yang mempunyai identiti nasional, etnik, kaum dan agama yang tertentu.

Pihak-pihak yang dianggap terlibat dengan penghapusan etnik bukan saja melibatkan mereka yang secara langsung melakukan jenayah tersebut semata-mata.

Sebaliknya turut merangkumi individu atau kumpulan yang berkonspirasi melakukannya, mengarah, merancang atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam jenayah tersebut.

rwanda genocide penghapusan etnik

Kes penghapusan etnik yang popular berjaya dibicarakan adalah insiden penghapusan etnik di Rwanda.

Didalangi puak majoriti Hutu yang menyerang etnik Tutsi - rasa benci itu bermula daripada tindakan penjajah yang menyerahkan kuasa kepada kumpulan minoriti tersebut tersebut sejak merdeka.

Dianggarkan 800,000 orang meninggal dunia dan 2 juta etnik Tutsi terpaksa melarikan diri sebagai pelarian perang dalam insiden yang berlangsung sejak 1990 sehingga tahun 1994.

Dalam perbicaraan kes ini di Mahkamah Antarabangsa, 96 orang didapati bersalah. 4 orang berjaya melarikan diri daripada hukuman.

Perbicaraan besar ini melibatkan 19 orang hakim, bermula dengan pembentangan kes pada tahun 2004 dan hanya diisytiharkan berakhir pada penghujung 2015.

Apakah yang akan berlaku pada kerajaan Myanmar?

penghapusan etnik rohingya

Pada 11 November 2019, kerajaan Gambia memulakan laporan kes ke atas kerajaan Myanmar atas dakwaan membenarkan penghapusan etnik ke atas etnik Rohingya di negara mereka.

Kerajaan Gambia yang dibantu dana oleh OIC turut sama mendapat bantuan firma guaman Amerika Syarikat serta dua orang profesor undang-undang dari University College London dan McGill University.

Myanmar yang akan mempertahankan diri daripada dakwaan, diwakili oleh Canselor negara mereka Aung San Suu Kyi serta pasukan pembelaan.

Kerajaan Myanmar sudah mempersiapkan hujah pembelaan mereka lebih awal, menubuhkan suruhanjaya siasatan sejak tahun 2017 yang berjaya melaporkan bukti bahawa apa yang berlaku kepada Rohingya bukanlah penghapusan etnik - sebaliknya adalah jenayah-jenayah perang yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

mahkamah antarabangsa myanmar rohingya gambia

Daripada perspektif kerajaan Myanmar, mereka perlu mengisytiharkan perang ke atas gerakan pemberontak Rohingya yang semakin kerap melakukan aktiviti keganasan.

Kerajaan Myanmar merasakan apa yang telah berlaku ke atas individu-individu etnik Rohingya bukanlah sebahagian daripada arahan rasmi yang dikeluarkan kerajaan, sebaliknya dilakukan oleh individu yang mengambil kesempatan atas apa yang sedang terjadi.

Pendapat kerajaan Myanmar bagaimanapun disanggah oleh perwakilan banyak negara lain, menganggap kerajaan Myanmar seakan mahu lepas tangan.

Myanmar dikritik tidak mahu bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan oleh tentera mereka sendiri serta cuba mengalihkan kesalahan ke atas bahu pejuang pemberontak Rohingya.

Kami harap dengan artikel ringkas ini, anda dapat memahami perbezaan di antara ketiga-tiga kategori jenayah yang boleh dilakukan serta punca utama mengapa Myanmar memilih untuk menamakan apa yang berlaku, sebagai jenayah perang - bukan insiden penghapusan etnik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)