Apa itu Materialisme?

Materialisme merupakan satu sifat yang tergolong dalam kehidupan masyarakat masa kini yang mengutamakan keinginan untuk mengejar hal kebendaan. Sedar atau tidak, sebenarnya materialisme ini semakin terserap ke dalam sanubari masyarakat dunia yang sedang terkejar-kejar untuk mencari kesenangan dunia dengan kebendaan yang ada disekeliling mereka. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Maka, terwujudlah "budaya materialisme" di mana ia semakin mendominasi global. Lebih membimbangkan lagi apabila budaya ini telah membawa impak negatif yang terlalu dasyat kepada persekitaran. Memanglah kita sebagai individu ingin jalani hidup dengan selesa bukan? Tambahan pula, pada zaman serba moden ini terlalu banyak cabaran dari segi ekonomi dan lain-lain yang membuatkan ramai orang bekerja keras untuk hidup dengan selesa.

Akan tetapi secara tidak langsung apabila terlalu mempamerkan kemewahan hidup kepada orang luar dapat memberi satu sikap yang negatif. Renung-renungkan apa yang berlaku pada dunia hari ini, semuanya berkait rapat dengan budaya materialisme yang semakin kerap diamalkan oleh masyarakat kita sekarang.

Punca terjadinya budaya Materialisme?

Hal in kerana masyarakat Malaysia kini menjadi terlalu obses dengan kebendaan atau materialistik. Kita boleh lihat sendiri dari segi penilaian kita terhadap seseorang yang biasanya dibuat melalui kemewahan seseorang itu seperti jenis kereta apa yang dipakainya, rumah bagaimana yang didiaminya serta di mana, selain jenama pakaian apa yang dipakainya. Bak kata orang, 'yang kaya disanjung dan yang miskin dihina'.

Ramai anak muda sekarang yang menjalani gaya hidup mewah seperti berbelanja di tempat-tempat eksklusif dengan mempamerkan kad kredit di sana sini. Kemudian, post di laman media sosial untuk mendapatkan pujian dan like yang banyak. Secara tidak langsung, ramai yang mula bersikap sombong dengan mempamerkan kemewahan mereka kepada orang ramai. 

Apa yang jelas sekarang adalah kejayaan seseorang itu banyak diukur dari aspek kebendaan. Seseorang itu akan disanjung tinggi dan dihormati hanya kerana kemewahannya. Tidak kisah bagaimana dan dengan apa cara dia mendapatkan kekayaannya. Apa yang menjadi keutamaannya adalah mempunyai kehidupan yang selesa agar dapat ditunjukkan kepada orang sekeliling. 

Sebagai contoh, isu seorang jutawan yang selalu mendapat kecaman hebat dari netizen kerana beliau sering menunjukkan kekayaannya di laman media sosial. Wajarkah dibuat begitu? Hidup hanya untuk bertikam lidah sesama sendiri? 

Impak negatif kepada masyarakat?

impak negatif materialisme dalam masyarakat 1

Oleh disebabkan dunia teknologi yang semakin berkembang maju, maka laman media sosial seperti Intagram dan Facebook misalnya dijadikan sebagai satu platform untuk berkongsi aktiviti dengan rakan-rakan mahupun orang luar. Jadi, ramai yang gemar menunjuk-nunjuk kemewahan hidup mereka di situ.

Akibatnya semua akan berlumba-lumba untuk kaya. Kita sendiri boleh lihat bagaimana setiap kali musim perayaan disambut setiap tahun, di mana sanak saudara berkumpul di kampung merupakan masa yang sangat sesuai untuk mereka saling menunjuk-nunjuk dan mempamerkan kebendaan seperti kereta baharu. 

Okay, memang kita dapat lihat semua kemewahan mereka ini tetapi kenyataannya ramai antara mereka yang hidup berhutang sana sini semata-mata ingin memuaskan nafsu kehendak mereka sahaja. Hutang yang lama pun belum habis, sudah membuat hutang baru pula.

impak negatif materialisme dalam masyarakat 2

Lebih buruk lagi apabila ada yang sanggup berhutang dengan 'ah long'. Sedarkah anda bahawa ramai anak muda yang sudah hidup muflis di awal 20an? Sedar atau tidak, ada antara mereka yang berhutang hanya untuk mengadakan majlis perkahwinan yang grand?

Itu belum termasuk kes penipuan (scam) atau skim cepat kaya (MLM). Ramai yang mudah ditipu disebabkan ingin cepat kaya. Sanggup berhabis beribu-ribu ringgit untuk pelaburan bisnes yang tidak wujud. Mengapa hal ini boleh terjadi? Saban hari makin kerap terjadi isu penipuan ini tetapi masih tidak ambil peduli. Janji cepat kaya. Kemudian, merana kan? 

Di samping itu, memandangkan kebendaan kini menjadi kayu ukur kejayaan, maka ketakwaan dan ketaatan kepada Allah seolah-olah dipandang sepi. Akibatnya, yang kaya menjadi angkuh, takbur dan sombong kerana mereka dipandang tinggi oleh masyarakat.

Sebaliknya, mereka yang serba kekurangan dan miskin dipandang hina, dicemuh dan dipinggirkan sehinggakan ada yang tidak menjemput mereka kerana 'takut' mencacatkan majlis. Sedangkan dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW, baginda selalu dekat dengan golongan miskin. Walaupun Rasulullah SAW seorang pemimpin negara, tetapi baginda dan anak-anaknya tidak kaya dan tidak berharta.

Malangnya, masyarakat kini lebih mengharapkan penghargaan daripada manusia, bukannya keredhaan Allah. Mereka asyik memikirkan apa yang orang kata sahaja. Pemikiran "biar papa asal bergaya" menjadikan seseorang itu obses untuk hidup berbelanja lebih dari kemampuan diri sendiri yang akhirnya memakan diri sendiri.

Bahagiakah kehidupan yang sebegini? 

tekanan mental kerana obses dengan budaya materialisme

Apa yang pasti, sudah ramai yang mengalami tekanan mental kerana masalah kewangan. Mereka tertekan kerana memikirkan hutang keliling pinggang yang perlu diselesaikan dan bagaimana mencari wang lebih. Lalu, ada yang terpaksa berkorban masa dengan bekerja sambilan di waktu malam. Namun, ada juga yang membunuh diri kerana tidak tahan dengan bebanan hidup berhutang.

melakukan jenayah kerana obses dengan budaya materialisme

Dalam keadaan ini, mungkin ada yang tergamak mengambil jalan pintas dan salah seperti merompak, mencuri, mengambil rasuah, mengambil yang bukan hak dan sebagainya. Hal ini kerana mereka sangat terdesak untuk hidup dalam kemewahan.

Sikap materialisme ini juga boleh menimbulkan perasaan dengki antara satu sama lain. Perasaan dengki yang tidak dapat dibendung mungkin akan menyebabkan seseorang itu bertindak keterlaluan termasuk mengamalkan ilmu hitam untuk menjatuhkan seseorang. 

Itu tidak termasuk dengan isu kos sara hidup tinggi lagi serta masyarakat yang terlalu mementingkan kebendaan, kita khuatir masyarakat Malaysia akan terperangkap dalam suatu lingkaran gejala sosial yang tidak berkesudahan. Situasi sebeginilah yang menemani generasi muda dalam proses pembesaran mereka hingga merasakan budaya sebegini merupakan perkara utama yang perlu ada dalam kehidupan.

Okay, memang tidak salah untuk memilih kerja atau membina impian tetapi apabila mereka dewasa kelak, apa yang diajar oleh orang tua mereka akan diaplikasikan, malah dengan lebih teruk apabila budaya itu disalahgunakan. Kuasa yang ada ditangan mereka pula akan digunakan sewenang-wenangnya. Apa yang lebih menakutkan adalah mereka akan melakukan sesuatu kesalahan untuk memenuhi tuntutan kehidupan materialisme mereka itu.

Kesimpulannya, berbaliklah kepada nilai-nilai yang diajar oleh agama Islam. Bersederhana itu lebih baik kan? Artikel ini sekadar peringatan kita bersama. Ya, tidak guna pun untuk hidup bermegah-megah dengan kemewahan jika hidup kita tidak diredhai Allah. Buanglah sifat riak, hasad dengki semua itu supaya hidup lebih tenang. In shaa Allah. 

Rujukan :

  1. Utusan
  2. Budaya Materialisme
  3. Muflis



Hakcipta iluminasi.com (2017)