Digitalisasi. Proses ini pada awal permulaannya dulu menimbulkan banyak kontroversi, khasnya kepada mereka yang masih berpegang kepada 'cara lama.'

Namun perubahan yang dibawa oleh arus digital membawa kepada banyak faedah memudahkan pengurusan serta mempercepatkan perjalanan sesuatu perkara.

Sedar tak sedar, sudah semakin banyak elemen dalam hidup kita yang dulu boleh kita pegang - kini lebih kerap wujud dalam bentuk digital. Berikut adalah lima contoh barangan atau benda penting satu ketika dulu, yang kini sudah semakin jarang kita ada dalam dunia realiti kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Media fizikal filem dan muzik

koleksi dvd filem yang tidak lagi digunakan

Sebagai seorang pengumpul DVD tegar satu masa dulu (DVD ori ya!) membeli DVD memberikan satu kepuasan pada penulis. Samalah seperti generasi yang pernah merasai pengalaman membeli CD atau kaset.

Ada sesuatu yang memuaskan apabila kita membuka bungkusan media yang kita baru beli, membaca risalah atau buku kecil yang terkandung di dalamnya. Kotak kaset, CD dan DVD disusun dengan kemas tersedia untuk diakses.

Kini media berbentuk fizikal sudah semakin pupus, dipercepatkan dengan sistem strim filem dan muzik. Bukan itu saja, penggunaan memori USB juga semakin lama semakin berkurangan pengaruhnya disebabkan oleh kemampuan internet yang semakin pesat dan memudahkan.

Entah bila kali terakhir penulis gunakan cakera DVD pada komputer penulis, entahlah. Risikonya satu saja dengan kemudahan ini - tiada internet, kita hilang akses kepada semua media.

2. Gambar bercetak

koleksi album gambar

Bagi generasi sebelum-sebelum, pengurusan gambar merupakan satu hobi dan urusan yang penting. Album-album gambar bersusun rapat dalam almari, dipelihara. Negatif-negatif dari gulungan filem pula tersimpan elok bagi memastikan salinan asal gambar tidak dimakan anai-anai misalnya.

Kini kita lebih selesa menyimpan gambar dalam bentuk digital, yang besar kemungkinan tidak kita cetakpun sepanjang hidup kita. Nak mengimbau memori, buka saja komputer atau telefon, paparkan saja pada skrin atau televisyen untuk tontonan semua.

Ada cubaan pihak-pihak pengeluar mengeluarkan produk bingkai gambar digital khas, di mana gambar digital boleh dipapar secara berkala dalam sesuatu masa namun teknologi ini nampaknya gagal mendapat sambutan massa dunia.

Adakah anda atau ada kenalan anda yang masih mencetak gambar? 

3. Buku, majalah dan akhbar

perpustakaan semakin sunyi tanpa pengunjung

Di antara kelima-lima benda yang disenaraikan dalam artikel ini - buku nampaknya masih bertahan penggunaannya, berbanding dengan saudara-maranya yang lain seperti akhbar dan majalah.

Buku masih kekal menjadi format utama dalam semua aspek kehidupan, walaupun sudah wujud teknologi matang yang mampu menggantikan buku. Penulis juga sudah biasa membaca novel digital dengan menggunakan tablet namun 'feel' nya tidak sama.

Bila baca buku ni, kita perlu bau kertas tu ada. Kalau tak ada, tak sah.

Mungkin buku boleh bertahan lagi 2 ke 3 dekad ekoran keperluannya. Dalam masa sama semakin banyak perpustakaan digital telah dibuka dan penggunaannya juga sudah mula menelusuri semua peringkat pembaca.

Pejuang buku pasti akan mahu buku terus menjadi wadah utama namun kesan faedah digitalisasi di mana sebuah perpustakaan boleh wujud keseluruhannya hanya dalam bentuk maya, menjimatkan ruang rumah serta memudahkan pengurusan kita - adalah faedah yang sukar disangkal sesiapa.

4. Buku akaun

buku akaun kini tidak lagi relevan

Apakah buku akaun terakhir anda yang ditutup penggunaannya?

Bagi penulis, buku akaun Tabung Haji. Sedih juga bila kita diberitahu buku akaun tidak lagi digunakan dan semua rekod urusniaga hanya boleh disemak melalui kaedah digital.

Untuk kanak-kanak generasi terdahulu yang sejak kecil ada akaun bank, buku akaun merupakan satu elemen yang membantu mendorong kita. Dapat melihat jumlah simpanan duit raya kita dicetak (atau ditulis tangan oleh petugas bank) serta melihat amaun yang ada meningkat tahun ke tahun, membuatkan hati rasa puas.

Bila buku dah penuh, buku lama akan dilupuskan pihak bank menyebabkan buku baru dikeluarkan. Pegawai bank yang bertugas pula akan menggariskan tiap-tiap muka surat buku akaun lama bagi menandakan penggunaannya ditamatkan.

Kalau 10 orang datang tukar buku hari itu, banyak juga muka surat dia perlu gariskan. Mesti dia sangat berterima kasih dengan buku akaun digital.

5. Wang ringgit

wang ringgit digantikan wang digital

Penulis tidak tahu tentang anda - tetapi sudah jarang sekali penulis membayar sesuatu menggunakan wang tunai melainkan di kedai-kedai makan, kedai runcit serta gerai tepi jalan. Lain daripada itu semuanya menggunakan sistem digital.

Semakin hari kita semakin membiasakan diri untuk tidak lagi memegang wang ringgit kita, sebaliknya mula mempercayai angka-angka yang hanya wujud dalam bentuk maya.

Kadang-kadang payah juga bila sistem tergendala dan wang tunai ketika itu tak ada, apatah lagi bila kita dah beratur lama. Terpaksalah diletakkan saja barangan, beredar kita tanpa berjaya membeli apa-apa.

Populariti kad debit berjaya mengadaptasi peredaran wang ringgit digital dalam skala besar, berbeza dengan era sebelum itu di mana hanya majoriti pengguna kad kredit membayar tanpa tunai. Pembukaan banyak aplikasi dompet digital, sistem QR serta sistem transaksi digital lain menyebabkan jarang sekali kita memegang duit yang kita ada.

Di masa depan, besar kemungkinan matawang fizikal akan terhapus. China sudah memperkenalkan matawang Digital Yuan atau e-Renminbi dalam usaha menggantikan matawang kertas di negara mereka. Kita pula bila agaknya? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)