Azrul - "Bro, kenapa kau selalu setuju dengan pandangan agamawan yang lebih ke arah seksis? Kau selalu memuatnaik status yang merendahkan keupayaan wanita."
Kamil - "Maksud kau?"
Azrul - "Kau selalu kata yang wanita memang memerlukan perlindungan lelaki sedangkan wanita juga berkebolehan menjaga diri sendiri."
Kamil - "Dalam Islam sendiri tanggungjawab lelaki adalah pelindung ke atas wanita. Aku cuma tolong sampaikan saja."
BESARKAN TEKS A- A+
Azrul - "Jadi kau setuju kalau kita jadi macam Arab Saudi? Perempuan tidak dibenarkan memandu, keluar seorangan, tidak dibenarkan mengundi?"
Kamil - "Kenapa pula bila orang yang setuju wanita perlu dilindungi, mesti ada orang sebut pasal Arab Saudi yang tiada kaitan dengan kita?"
Azrul - "Mungkin Itu yang dimaksudkan dengan melindungi wanita pada kau?"
Kamil - "Sempitnya pemikiran itu. Tak perlu pun kita ada peraturan seumpama itu dilaksana kat Malaysia. Lagipun, kalau wanita berkebolehan memandu, kenapa kita nak halang pula?"
Azrul - "Jadi kau tak setuju dengan apa yang Arab Saudi lakukan?"
Kamil - "Tak. Kenapa nak kena setuju? Interpretasi Islam terhadap perlindungan wanita ni luas. Bukannya hanya sekadar tiru macam Arab Saudi, hanya kerana Kaabah dididirikan di situ."
Azrul - "So?"
Kamil - "Terpulang kepada si ayah atau suamilah. Mereka boleh wujudkan kawalan ke atas ahli keluarga wanita mereka. Jika dia rasa anak perempuan atau isteri tak layak memandu, dia patut halanglah."
Azrul - "Itulah yang seksis dan sukar diterima. Kenapa pula wanita perlu dapat kebenaran dari pihak ayah atau suami? Kahwin pun perlu dapat kebenaran wali, nak keluar rumah perlu dapat kebenaran, semua nak kena dapat kebenaran. Susah hidup wanita ini jika semuanya perlukan kebenaran."
Kamil - "Ini kerana semua risiko di dunia ni perempuan yang tanggung."
Azrul - "Maksud kau?"
Kamil - "Kau pernah tengok kalau berlaku eksiden antara wanita dengan lelaki, apa yang pertama sekali perempuan tu buat?"
Azrul - "Selalunya, menangis?"
Kamil - "Tau pun. Kenapa dia menangis atau takut nak keluar kereta ke, duduk aje dalam kereta tunggu orang lain datang? Kau rasa wanita tu tunggu siapa datang?"
Azrul - "Husband dia ke...boyfriend, abang, ayah. Kawan-kawan dia ke."
Kamil - "Kenapa wanita tu tak keluar saja?"
Azrul - "Takut apa-apa berlaku pada dia."
Kamil - "Tahun lepas saja, hampir empat ribu kes remaja yang melahirkan anak luar nikah berlaku. Salah siapa?"
Azrul - "Banyak pihak yang perlu bertanggungjawab. Remaja tu sendiri, pasangan dia, mak ayah dia. Kerajaan pun kena bertanggungjawab juga sebab tak wujudkan sukatan pelajaran pendidikan seks di sekolah."
Kamil - "Katalah pendapat kau benar, namun siapa yang tanggung beban sepenuhnya?"
Azrul - "Gadis tu."
Kamil - "Jadi dalam dunia yang dah memang gila, kau rasa apa solusi kita untuk lindungi gadis?"
Azrul - "Didik masyarakat khasnya kaum lelaki tentang melindungi maruah wanita."
Kamil - "Berkesan ke?"
Azrul - "Aku tak pasti."
Kamil - "Sebab itulah Islam ajar supaya semua lelaki dalam sebuah keluarga perlu bertanggungjawab lindungi wanita yang di dalam keluarga mereka."
Azrul - "Apa logiknya?"
Kamil - "Itulah proses pendidikan yang lelaki perlu lalui. Masyarakat tak perlu gesa lelaki hormati wanita lain, masyarakat perlu pupuk lelaki supaya jaga wanita dalam keluarga mereka."
Azrul - "Itu kan seksis? Menampakkan wanita ni lemah? Menampakkan yang perempuan ini perlu dilindungi."
Kamil - "Itulah masalahnya. Kau kontrakan pandangan diri sendiri. Kau percaya lelaki perlu diajar hormati wanita tapi bila lelaki tu dah faham yang dia perlu lindungi wanita, kau kata lelaki yang lindungi wanita seksis pula. Apa yang akan dicapai kalau pusing-pusing kat situ aje?"
Azrul - "Ye lah. Nampak macam wanita ni tak mampu dalam segala benda."
Kamil - "Memang pun dan lelaki pun sama, kerana itu lelaki kena ada wanita disebelah dia. Wanita boleh mengandung, lelaki kena jaga wanita yang mengandung. Wanita pandai jaga anak, lelaki kena bina rumah supaya wanita selesa jaga anak. Tak ke semua tu dalam skop melindungi jugak?"
Azrul - "Jadi, macam mana nak elak orang kata kita seksis?"
Kamil - "Kenapa nak elak pula? Kita menjalankan tanggungjawab kita kerana kita sayang wanita dalam keluarga kita. Biarlah apa orang kata pun. Takkanlah wanita nak kata yang mereka langsung tak perlukan pertolongan kaum lelaki?"
Azrul - "Mentaliti begitulah yang kita tak nak. Kau paksa pandangan kau tu dekat wanita."
Kamil - "Tak. Aku bukan boleh laksanakan pandangan aku kat wanita lain. Aku hanya boleh laksana pandangan aku dekat keluarga aku je. Kenapa nak marah kalau pandangan aku takkan bagi kesan pun kat wanita lain?"
Azrul - "Sebab kau merendahkan keupayaan wanita dalam keluarga kau."
Kamil - "Dah wanita yang akan tanggung semua risiko kalau sesuatu yang buruk jadi kat dia? Takkanlah mereka tak layak nak dapat perlindungan lebih? Apa guna jadi lelaki kalau isteri sendiri rasa dia tak perlu kita lindungi?"