Kes-kes perceraian kerap kali kedengaran berlaku dalam kalangan masyarakat kita sehinggakan semakin ramai yang takut untuk melangsungkan perkahwinan, dek persepsi negatif yang kerap kali timbul.
Perceraian merupakan jalan keluar atau jalan terakhir yang boleh serta dibenarkan dalam Islam, sekiranya mana-mana pasangan merasakan itulah cara terbaik untuk mereka namun perceraian seharusnya tidak dipandang ringan. Sudah banyak kali dilaporkan terlalu ramai pasangan bercerai hanya disebabkan alasan remeh-temeh dan ini merupakan sesuatu yang membimbangkan kita semua.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda cerai sebenarnya mempunyai kategorinya sendiri menurut Islam dan bukan sekadar lafaz 'aku ceraikan dikau' seperti yang selalu kita dapat lihat dalam drama? Berikut adalah lima kategori perceraian yang ada serta sedikit penerangan ringkas tentang jenis cerai tersebut.
1. Talaq
Perceraian secara 'talaq' atau talak ini berlaku apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah atau suami bersetuju untuk berpisah dengan isterinya dengan lafaz. Cerai talak ini adalah cerai yang biasa dapat kita lihat di dalam drama serta dilakukan dengan cara yang sangat dramatiklah.
Sepatutnya, perceraian seperti ini berlaku di mahkamah dengan permohonan dibuat terlebih dahulu agar panduan dan nasihat dapat diberikan. Walaupun begitu, mungkin atas tekanan emosi, lafaz cerai yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah. Adalah menjadi satu kewajipan pada pasangan untuk melaporkan perceraian talak ini di mahkamah sekiranya sudah berlaku, untuk didaftarkan dan direkodkan.
2. Ta'liq
Ta'liq atau taklik pula adalah lafaz perjanjian yang diucapkan oleh suami selepas selesai urusan pernikahan mereka. Lafaz taklik biasanya mengandungi perjanjian sekiranya suami gagal memberi tuntutan nafkah dan menghilangkan diri sekian-sekian bulan, maka talak kali pertama akan jatuh secara automatik atas kegagalan suami memenuhi janjinya.
Harus diberitahu, taklik bukanlah sesuatu yang wajib diikuti walaupun suami telah melanggar lafaznya kerana talak pasangan tadi hanya akan benar-benar jatuh, sekiranya si isteri melakukan tuntutan ke atas lafaz yang telah diucapkannya kepada isteri. Dalam keadaan suami menghilangkan diri tanpa berita melebihi tempoh yang disebutkan dalam lafaz, talak masih belum diaktifkan kerana perceraian secara taklik tidak berlaku secara automatik.
3. Khulu'
Perceraian secara khulu' yang membawa maksud 'melepaskan' ini bererti satu perjanjian yang dibuat di antara pasangan atas permintaan isteri yang ingin dilepaskan. Apakah faktor yang membuatkan isteri memohon cerai khulu' ini? Apa saja faktor yang membuatkan si isteri merasa kurang gembira atau kurang senang dengan suaminya.
Dalam perceraian secara khulu', isteri haruslah menawarkan sesuatu seperti harta atau wang ringgit yang perlu mendapat persetujuan bersama, sebagai pampasan. Sekiranya suami bersetuju untuk menerima pampasan yang ditawarkan, suami perlulah melafazkan talak bagi menyempurnakan perceraian secara khulu' itu. Pasangan yang bercerai secara khulu' tidak lagi boleh rujuk kembali.
4. Fasakh
Perceraian secara fasakh pula melibatkan penglibatan pihak ketiga iaitu hakim yang akan menentukan status talak. Walaupun kedua-dua pasangan suami atau isteri layak melakukan tuntutan fasakh, kebiasaannya fasakh dilakukan oleh pihak isteri atas sebab-sebab yang dirasakan perlu perceraian itu dilakukan.
Pihak hakim akan melakukan penilaian, dengan mengambil kira kisah kedua-dua pihak sebelum meluluskan perceraian tersebut. Kebiasaannya, perceraian secara fasakh ini akan dibenarkan apabila situasi perkahwinan itu sekiranya diteruskan, hanya akan mendatangkan lebih banyak mudarat pada pasangan wanita tersebut. Bagi melindungi wanita itu, pihak hakim akan memisahkan pasangan tersebut menggunakan budi bicara beliau.
5. Li'an
Perceraian secara li'an bermula dengan tuduhan daripada pihak suami yang menafikan atau menidakkan anak yang dikandung atau sudah dilahirkan isterinya, sebagai anaknya. Ini berkemungkinan besar berpunca daripada sangkaan suami yang isterinya telah pun melakukan hubungan seks dengan individu lain sehinggakan mempunyai kandungan.
'Li'an' membawa makna kutukan atau menghukum, jadi perceraian li'an berlaku disebabkan suami mendakwa isterinya telah berlaku curang. Sekiranya kedua-dua pihak tidak menemui kebenaran tentang dakwaan, dengan suami kekal mendakwa isterinya serta isteri terus menafikan tuduhan - mereka berdua perlu melalui upacara li'an di mana kedua-duanya perlu mengangkat sumpah li'an di mahkamah.
Setelah semuanya selesai, kedua-duanya akan dipisahkan tanpa boleh merujuk semula perkahwinan mereka selama-lamanya. Anak yang didakwa bukan hasil hubungan suami isteri tadi pula akan dinasabkan kepada ibunya tanpa ada lagi hubungan dengan suami atau bapanya.