Kredit foto: Instagram Mira Filzah
Aktres Mira Filzah kekal dengan pendiriannya untuk menutup mulut rentetan spekulasi yang bertebaran luas selepas dia membuat pengakuan sedang mengenali hati budi seseorang.
Menurut pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu, dia hanya berlapang dada menerima andaian yang dibuat pihak luar membabitkan identiti jejaka yang dimaksudkan.
“Saya sedar, selagi perkara ini disimpan, semakin banyak spekulasi yang akan timbul. Namun, saya tidak akan berganjak daripada pendirian untuk tidak mendedahkan identiti jejaka itu selagi belum ada kepastian.
“Saya perlu hormat permintaan kedua-dua keluarga. Siapa yang tahu, tahulah... Sekiranya ada yang nampak kami di tempat umum, terpulang untuk mereka membuat andaian.
“Tiada apa yang saya sembunyikan, apatah lagi membiarkan perkara ini menjadi teka-teki. Saya hanya menghormati permintaan keluarga,” katanya yang memilih untuk enggan melatah.
Terdahulu, terdapat sumber mendakwa lelaki yang bertakhta di hatinya kini merupakan anak kepada seorang Ahli Parlimen.
Khabar itu dicanang susulan pengakuan dibuatnya mengatakan dirinya sedang mengenali hati budi seseorang yang bukan daripada kalangan penggiat industri hiburan.
Dalam pada itu, Mira yang enggan mengulas lanjut, menyifatkan dirinya kini tidak bersifat terbuka dalam bercerita soal masa depan.
Kredit foto: Instagram Mira Filzah
“Belum masanya untuk saya bercakap mengenai perkara itu. Bukan nak berahsia, tetapi apa sahaja kemungkinan boleh berlaku pada masa akan datang.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, setiap pasangan yang bercinta pasti mengharapkan hubungan mereka melangkah ke alam perkahwinan. Saya juga mengharapkan perkara sama,” katanya.
Sumber berita: 'Siapa dia... Biarlah rahsia'