Kredit foto: Instagram Kamal Adli & Emma Maembong
Diuji dengan kemelut cinta yang didakwa kerana pembabitan orang ketiga, hubungan pasangan Kamal Adli dan Emma Maembong mula menampakkan perkembangan positif.
Tampil meluahkan perasaan di laman Instagram, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 31, mendedahkan suka duka yang dilaluinya bersama Emma sepanjang empat tahun perkenalan mereka.
Kamal berkata, dia berterima kasih kepada kekasihnya itu yang menghadiahkan telefon pintar terbaharu iPhone X serta sanggup berkunjung ke Melaka meskipun dalam keadaan tidak sihat.
"1,2,3 dan 4 tahun kenal wanita ini... macam-macamlah dia lalu dan saya lalui.
"Orang nak jatuhkan, orang nak langgar, semua kami dah kena. Tapi apa yang kami rasa biarlah kami yang simpan. Cukup anda semua tahu kami senyum, tak perlu tahu bila kami menangis.
"Bahagian terbaik ialah dia tak pernah lupa nak menghargai momen. Orang kutuk ke, apa ke, buat pekak saja. Allah kan ada! Dia lagi tahu.
"Macam saya cakap minta doa yang baik-baik sahaja, tak nak duit pun. Untuk yang membenci, nilailah, hukumlah. Allah kan ada.
"Baiklah, maaf banyak 'potpet'. Terima kasih banyak atas hadiah ini! Ikhlas itu awak, buruk itu saya. Terima kasih sampai Melaka walaupun tak sihat," katanya dalam kenyataan yang dibuat di laman Instagram.
Kredit foto: Instagram Kamal Adli
Menerusi ruangan komen, netizen mendoakan yang terbaik buat pasangan ini dan meminta mereka segera berumah tangga.
"Okey dah tu kembali balik. 'Jom nikah cepat' cakap kat Emma," tulis pemilik akaun @zaza_zariffin.
"Jangan tunggu lama-lama Kamal, cepat-cepat kahwin lagipun dah lama kawan. Terus nikah tak payah tunang," gesa @samsuna4720.
"Sangat manis pasangan ini, cepat-cepatlah kahwin. Nak tunggu apa lagi?" cetus @norra_yukiko.
Terdahulu, hubungan Kamal dan Emma bergolak kerana dikatakan menerima gangguan orang ketiga, aktres Zahirah Macwilson.
Namun Zahirah menafikan spekulasi itu dengan mendakwa dia telah diperangkap Kamal.