Kredit foto: kaisyahscloset.com & karangkraf.com

Tiada 'jodoh' pasangan pelakon Kamal Adli dan Emma Maembong untuk digandingkan bersama dalam drama Jangan Padam Rindu.

Ini susulan salah faham yang timbul antara Kamal dan produksi drama itu, Suhan Movies sehingga namanya digugurkan dan diganti pelakon Keith Foo.

Aktor itu akui kecewa kerana tidak dapat beraksi bersama teman baiknya dalam karya adaptasi daripada novel itu.

"Ia bermula dengan masalah susunan jadual hingga berlaku salah faham dengan pihak produksi Suhan. Ketika mendapat tawaran terbabit, pada masa sama saya juga menerima undangan berlakon filem aksi.

"Saya ada memohon budi bicara produksi Suhan supaya menyusun semula jadual penggambaran kerana filem berkenaan awalnya dijangka dimulakan rakamannya pada pertengahan bulan ini.

"Begitupun, tidak mengapa jika permintaan itu tak dapat dipenuhi kerana memang keutamaan saya adalah lebih kepada drama terbabit. Bagaimanapun, permintaan saya tidak dipenuhi dan akhirnya nama saya digugurkan," katanya menurut laporan portal Berita Harian Online.

Lantaran itu, dia juga dikatakan seperti tamak merebut tawaran kerja.

Namun dalam realiti sebenar segalanya berlaku angkara salah faham.

Kamal berkata, dia redha dan menganggap ia bukan rezeki.

"Nak dijadikan cerita, penggambaran filem pula dianjak ke hujung Oktober.

"Apa yang berlaku itu hanyalah salah faham. Apabila sudah jadi begini, saya anggap ia bukan rezeki," jelasnya.

Susulan itu, Kamal menyedari kekecewaan yang juga ditanggung para peminat yang merindukan gandingan mereka.

Penerbitan drama ini sepatutnya menjadi kerjasama ketiga Kamal dan Emma di kaca televisyen selepas Syurga Tanpa Cinta dan Jodoh Sebelah Pintu.

"Saya memang tertunggu-tunggu untuk berlakon dengan Emma. Tapi apakan daya," katanya.

Mengenai perkembangan terkini, aktor itu bakal terlibat dalam program Superspontan, projek Karya 12 berjudul Jongkong arahan Feroz Kadir dan penggambaran travelog, Curi Curi Cuti.

Malah dia sedang dalam sesi latihan sebagai persediaan ke set penggambaran filem aksi Escape.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)