Kredit foto: Instagram Emma Maembong
Kehadiran Emma Maembong dalam pertandingan akhir Super Spontan Superstar 2017 dianggap aktor Kamal Adli sebagai petanda baik dalam menjernihkan kekeruhan hubungan mereka.
Kamal dalam kenyataan terbarunya melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan ketibaan aktres cantik itu.
"Saya tahu dia masih marah dan kami dalam proses memperbaiki hubungan.
"Saya faham perasaannya apabila ada orang mendakwa teman lelakinya terhegeh-hegeh dengan perempuan lain.
"Saya minta agar semua pihak jangan salahkan Emma. Dia ada hak untuk rasa begitu selepas isu ini menjadi semakin rumit. Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka kepada Emma dan dia tidak bersalah dalam hal ini," katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Dalam pada itu, Kamal menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya tidak serius dalam perhubungan hingga menjadi punca tercetusnya kontroversi itu.
"Kalau saya nak main-main, mungkin saya akan berganti teman wanita setiap tahun, tetapi kenapa perhubungan saya dengan Emma hampir memasuki tahun keempat," soalnya.
Malah aktor berusia 31 tahun itu sudah menyimpan hasrat untuk berkahwin, namun atas sebab tertentu yang tidak dapat dinyatakan, rancangan itu tertangguh.
"Saya memang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Duit untuk kahwin juga sudah ada dan keluarga bersetuju dengan hasrat kami. Tetapi masih ada perkara yang menyebabkan saya perlu menangguhkan hasrat terbabit. Perkara ini sukar saya jelaskan ketika ini," ujarnya.
Sementara itu, Kamal meluahkan rasa terkilan dengan aktres Zahirah Macwilson yang menuduh dia sebagai lelaki penipu seperti yang dimuat naik aktres berkenaan di laman Instagram baru-baru ini.
"Sepanjang memberi kenyataan kepada media, saya tidak pernah menyebut nama Zahirah. Saya bukan nak cari kesalahan Zahirah tetapi apa saya beritahu sebelum ini adalah untuk membetulkan cerita sebenar kerana kesannya adalah kepada hubungan saya dan Emma manakala dia dan Zul Ariffin masih seperti biasa.
"Kalau nak tunjuk bukti memang banyak tetapi tidak perlu saya buat begitu kerana ia akan menyebabkan isu ini berpanjangan manakala tujuan saya hendak tamatkannya. Lagipun ia tidak menampakkan saya matang menangani isu ini," dedahnya.
Tambah Kamal, Zahirah seperti ingin memburuk-burukkan namanya dengan kenyataan yang dikeluarkan di Instagram, walhal isu yang terjadi antara mereka sudah lama berakhir dan tiada apa yang perlu diungkitkan.
"Dia lupa bahawa saya sudah lama dalam industri seni sedangkan dia baru setahun jagung.
"Apa yang membuatkan saya lebih kecewa terhadapnya adalah sehari sebelum dia memuat naik perbualan WhatsApp di Instagram, dia meminta Emma untuk sama-sama menyerang saya bagi menampakkan saya bersalah. Emma sendiri memberitahu saya rancangan Zahirah dan Emma sedar ada benda yang tidak kena. Saya tidak faham mengapa dia perlu merosakkan hubungan kami.
"Saya harap dia berhenti memberi kenyataan yang tidak masuk akal. Pertemuan sebanyak tiga kali dengan dia dan Zul Ariffin sudah cukup menjelaskan bahawa kami tidak pernah mempunyai hubungan dan tiada apa yang perlu diperbesarkan," tegasnya.
Sumber: Harian Metro