Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia
Niat asalnya hanyalah ingin meluahkan komen jujur, namun dibalas oleh riak wajah kurang selesa sesetengah peserta.
Tegas penyanyi Ziana Zain, kehadirannya sebagai juri jemputan AF Megastar sudahpun disempurnakan sebaik mungkin.
Bukan sahaja memberikan input demi mendidik mereka, malah dia turut bercakap dalam bahasa yang baik.
Saya menjalankan tugas dan sudah menyusun ayat sebaik mungkin ketika mahu menegur. Saya faham perasan apabila dikritik, tetapi seikhlasnya, apa yang saya nyatakan adalah demi kebaikan. Saya perlu jujur dalam memberikan kritikan. Bagi saya, semua itu lumrah jika mahu berjaya. Kalau tidak boleh terima, saya ucapkan semoga berjaya.
Sumber: BH Online
Ziana mengulas tentang sikap acuh tak acuh sesetengah peserta Konsert AF Megastar Homecoming ketika dikritik selepas persembahan.
Tambah Ziana, sikap positif perlu ada untuk terus maju ke hadapan. Malah dirinya sendiri pernah menjadi mangsa hentaman seawal pembabitan dalam dunia seni.
Apa yang dilakukan penyanyi lagu Madah Berhelah itu adalah dengan menerima seadanya kritikan sebagai guru yang mengajar dan memberi pengalaman.
Sudahnya penyanyi itu kini mampu berbangga dengan pencapaian yang terus kekal releven setelah hampir tiga dekad.
Jelas Ziana lagi, jika peserta enggan bersifat terbuka dengan komen negatif, maka kerugian adalah berpihak kepada diri mereka dan bukanlah dirinya.
Terdahulu, Ziana mengadili pertandingan AF Megastar sebagai juri undangan untuk dua konsert pertama. Dua lagi juri tetap program itu adalah pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat.