Oleh pada 29 Apr 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Anuar Zain & Instagram Ziana Zain

Penyanyi Anuar Zain enggan masuk campur isu yang melanda perkahwinan kakaknya, Ziana Zain, dan suami, Armin Zaharin Ahmad Zamri meskipun dalam masa sama mengetahui perihal sebenar yang berlaku.

Anuar, 47, menyifatkan dirinya tidak layak untuk bercakap tentang konflik yang melanda pasangan suami isteri itu, walaupun tetap memberikan sokongan penuh buat Ziana atas semangat kekeluargaan.

"Sebenarnya, saya tidak boleh komen apa-apa kerana perkara ini sudah menjadi kes mahkamah. Saya takut prejudis.

"Tetapi, sebagai adik saya sentiasa menyokong kakak saya dan apa juga keputusan dia. Keluarga tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya dan keluarga menyokong apa saja keputusan yang dibuat Ziana, tetapi saya tetap hormat Armin sebagai abang ipar walau apa sekalipun yang berlaku selepas ini," katanya kepada portal BH Online.

Penyanyi Andainya Takdir itu membuat kenyataan tersebut usai konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu kota, malam tadi.

Sambil memegang pendirian untuk tidak menuding jari menyalahkan sesiapa, Anuar berkata, dia tetap berdiri teguh sebagai menyatakan sokongan fizikal dan mental buat Ziana.

Namun begitu, Anuar memohon agar netizen berhenti mengasak kakaknya dengan pelbagai spekulasi negatif yang kelak memburukkan lagi keadaan.

Penyanyi bernada tinggi ini mahu Ziana diberi ruang dalam mengatasi kemelut yang dihadapinya.

anuar zain bersuara isu perkahwinan ziana zain 2

Kredit foto: Instagram Anuar Zain

"Orang luar tidak tahu apa yang berlaku. Jadi, saya minta netizen di luar sana tidak komen apa-apa, takut nanti suatu hari perkara itu berbalik kepada diri.

"Jangan sesekali pandai-pandai komen sebab takut nanti terkena batang hidung sendiri.

"Doakan yang baik-baik untuk mereka berdua kerana apapun kesudahannya, kami sekeluarga terima. Alhamdulillah, kakak saya gembira sekarang dan keluarga sangat menyokong dia," katanya.

Isu rumah tangga penyanyi bersuara lantang itu hangat menjadi bualan selepas Armin didakwa awal Mac lalu atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka dalam kejadian yang berlaku pada 25 Februari lalu.

Difahamkan, pasangan suami isteri ini sudah tidak tinggal sebumbung, manakala Ziana dikatakan memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada awal April lalu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)