Anda perlu bekerja lebih masa dan sering kali terpaksa mengorbankan masa hujung minggu. Anda tidak tahu bilakah anda akan mendapat bayaran berikutnya. Anda tidak ada rakan sejawat yang boleh menghiburkan anda apabila situasi menjadi sukar.
Bunyinya seolah-olah satu kehidupan yang menyeksakan bagi golongan yang bekerja sendiri, bukan? Hampir kesemua aspek dilihat tidak begitu stabil. Namun, tahukah anda, kini sudah terbukti yang golongan ini adalah jauh lebih gembira dan membahagiakan berbanding mereka yang bekerja sepenuh masa?
BESARKAN TEKS A- A+
Satu kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli psikologi dari University of Sheffield dan University of Exeter menunjukkan orang yang bekerja sendiri lebih menyukai cabaran yang dihadapi semasa bekerja dan lebih menyayangi kerjaya mereka berbanding mereka yang kerja makan gaji di mana-mana organisasi.
Menggunakan borang soal selidik dalam talian yang perlu dijawab secara sukarela, Profesor Peter Warr dan Ilke Inceoglu menjalankan tinjauan itu kepada 4,855 orang dewasa yang bekerja di United Kingdom, Amerika Syarikat dan New Zealand berkaitan segala aspek yang mereka paling hargai tentang kerjaya masing-masing serta aspek yang paling tidak digemari.
Responden kebanyakannya terdiri daripada kakitangan dalam sektor perdagangan runcit, kesihatan, perkhidmatan komputer dan pendidikan. Selain itu, tujuh peratus daripada responden bekerja dengan jabatan kerajaan.
Selepas menganalisis corak jawapan, kajian yang yang diterbitkan dalam jurnal Work, Employment and Society itu mendapati bahawa orang yang bekerja sendiri mempunyai kepuasan kerjaya yang lebih tinggi berbanding kakitangan bukan pengurus di mana-mana organisasi walaupun darjah kepuasan di organisasi akan meningkat seiring dengan kenaikan pangkat.
Pengurus di semua peringkat dan responden yang bekerja sendiri berada pada paras yang sama jika dilihatdari aspek kepuasan bekerja. Walau bagaimanapun, setelah menjawab soalan berkaitan tenaga seperti "Kerja saya membuatkan saya berasa bertenaga"; dan pencerapan, seperti "Saya selalu terbawa-bawa dengan tugas yang saya sedang siapkan," para penyelidik itu mendapati tahap keterlibatan orang yang bekerja sendiri boleh disamakan dengan pegawai paling tinggi dalam organisasi.
Profesional yang bekerja sendiri ini sukakan autonomi yang mereka miliki. Mereka mempunyai kebebasan untuk berinovasi, mengetengahkan idea, mempengaruhi orang lain dan bersaing dengan orang atau syarikat lain.
Sudah tentu mereka yang menjalankan perniagaan sendiri tidak mempunyai banyak masa untuk bersosial dan mendapatkan sumber yang membantu seperti mereka yang bekerja makan gaji. Namun, kedua-dua golongan bekerja sendiri dan makan gaji bersetuju yang faktor penyokong seperti persekitaran yang membantu, jaminan kerjaya, hubungan sosial boleh membantu memudahkan kerja yang sukar.
Apa-apapun, kajian itu menunjukkan golongan yang bekerja sendiri lebih menghargai tiga faktor utama cabaran dalam pekerjaan iaitu kebergantungan diri, persekitaran yang kompetitif dan tugas yang mencabar. Menurut Warr, masokisme profesional ini berpunca daripada perasaan bermotivasi dan keinginan atas tuntutan kerja yang dipilih sendiri.
Disebabkan mereka menggunakan kepakaran sendiri, mereka tidak kisah bekerja lebih masa dan sentiasa berpuas hati apabila berjaya mencapai standard yang diinginkan.
Tidak kiralah kerja apa pun yang anda lakukan sama ada bekerja sendiri atau makan gaji, yang penting anda suka dan bahagia dengan apa yang anda lakukan. Kalau bergaji lima digit tapi asyik tertekan dan murung setiap hari, apalah gunanya, kan?
Rujukan:
1. Exeter