Oleh pada 04 Feb 2018 kategori

Sumber foto: The Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen mengekalkan kemenangan Liga Super selepas menewaskan Kedah 2-1 menerusi perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi, lalu menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

Meskipun ketinggalan 0-1 oleh jaringan awal Pablo Palares pada minit ke-15, pasukan tuan rumah itu mempamerkan semangat perlawanan yang hebat dan bangun melalui jaringan Luciano Figueroa serta Marcos Antonio.

Lebih berharga, kejuaraan ini membenarkan skuad bimbingan Ulisses Morais itu membalas dendam setelah tewas kepada Kedah melalui penentuan sepakan penalti pada perlawanan Sumbangsih tahun lepas.

Sebelum ini, kesalahan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi menghantar bola kepada Da Silva memberi laluan kepada Kedah mendapat gol pembukaan.

Namun, JDT yang terus mengasak kubu pelawat berhasil menyerikan kedudukan pada minit ke-28 setelah Figueroa menanduk bola melepasi jangkauan Mohd. Ifwat Akmal setelah memperoleh hantaran Safiq Rahim.

Separuh masa kedua menunjukkan tuan rumah mempertahankan rentak serangan pantas, tetapi Mohd. Ifwat berhasil menidakkan beberapa percubaan JDT.

Usaha gigih JDT akhirnya berbaloi apabila pada minit ke-58 Antonio berhasil melengkapkan hantaran kemas Corbin Ong bagi memperoleh gol kejuaraan. 

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)