JDT! JDT! JDT! Sebagai bukan orang Johor, tidak dapat dinafikan sumbangan kelab bola sepak Johor Darul Takzim atau JDT kepada liga bola sepak negara memang tidak dapat dinafikan.
Walaupun dijinakkan KL City FC dalam persaingan Piala Malaysia yang menyebabkan wujud perang mulut dalam media sosial, status JDT sebagai pasukan utama liga Malaysia belum nampak tergugat.
BESARKAN TEKS A- A+
JDT boleh mendabik dada dengan pencapaian mereka walaupun sering dikutuk peminat sukan bola sepak kita. Kenapa JDT walaupun sudah bergelar kelab elit masih menjadi bahan cacian penyokong bola sepak kita?
1. Contoh 'management' yang tersusun
Sebagai neutral, penulis tidak segan memuji perubahan yang dilakukan oleh pengurusan bola sepak negeri Johor hampir satu dekad lalu, apabila mereka menyatukan pelbagai kelab dan persatuan bola sepak Johor di bawah satu payung.
Era tersebut memang agak mengelirukan mengikuti skuad Johor, kerana Johor diwakili dua pasukan berbeza diubah kepada fokus lebih jitu, dengan sasaran-sasaran untuk bersaing pada peringkat antarabangsa kedengaran.
Ramai mentertawakan 'angan-angan' Johor ketika itu.
Tetapi sejarah telah menunjukkan JDT menjadi kelab yang berjaya memenangi Piala AFC dalam tempoh 2 tahun selepas rombakan besar-besaran itu.
Satu perbezaan yang ketara dalam pengurusan JDT berbanding kelab lain, adalah kurangnya pengaruh politik.
JDT yang diketuai TMJ mempunyai kestabilan berbanding sesetengah negeri lain, yang organisasinya akan bertukar setiap kali berlakunya perubahan kerajaan negeri.
Ini mengakibatkan MB/KM yang baru dilantik, mula lantik kawan-kawan dia ke dalam jawatan akibat tekanan politik.
2. Borong semua pemain handal kelab lain
Satu perkara yang sering dibangkitkan pengkritik JDT (kerana kerap berlaku) adalah 'tabiat' kelab tersebut memikat tonggak pasukan lain untuk diserap masuk ke dalam skuad mereka.
Nama seperti Matthew Davies, Akhyar Rashid, Sumareh, Shafiq Ahmad dan Nazmi Faiz merupakan antara nama yang berjaya dipancing - walaupun JDT sudah mempunyai pemain lain sedia ada yang setara.
Ada yang berjaya memecah masuk kesebelasan utama, ada juga yang akhirnya jadi pemanas bangku simpanan JDT.
Adakah tindakan memancing ini salah? Tidak. Urusan jual beli pemain berlaku secara terbuka. Pemain juga untung gaji meningkat.
Bagaimanapun sekiranya berterusan berlaku, sukar untuk status JDT sebagai pasukan elit dalam liga dicabar; ini sesuatu yang kurang sihat juga untuk perkembangan liga.
3. Membuktikan duit perlu untuk berkembang
Sebagai pengikut liga bola sepak negara sejak dekad 90-an, penulis seringkali membayangkan bilakah masanya kualiti bola sepak negara kita mampu dipertingkatkan.
JDT hadir dengan kaedah pengurusan bola sepak yang tidak kedekut untuk mengeluarkan dana, bagi membantu perkembangan kelab.
Apa yang dilakukan jauh berbeza berbanding budaya pengurusan persatuan bola sepak kita sebelum itu, yang seakan-akan takut nak keluar duit - sampai gaji pemain pun ada kalanya tak dibayar.
Dengan suntikan dana yang kami yakin besar, JDT menjadi acuan kepada perubahan operasi sistem kelab bola sepak Malaysia serta membuktikan pelaburan bola sepak tempatan boleh memberikan pulangan yang sepadan.
Ini membolehkan JDT...
4. ....Membuat penanda aras baru pemasaran bola sepak negara
Kami suka melihat bagaimana penjenamaan JDT berlaku. Semuanya tampak profesional dari aspek sukannya.
Daripada imej kelab sehinggalah kepada jersi yang dipakai pemain, semuanya terancang bukan sekadar tangkap muat, ibarat ada petugas berpengalaman luas yang ditugaskan khas untuk menentukan 'wajah' JDT kepada orang ramai.
Budaya yang diperkenalkan JDT inilah pada penulis, yang benar-benar memberikan impak paling besar kepada wajah liga bola sepak kita.
Pasti masih ramai ingat lagi bagaimana kucar-kacirnya standard profesionalisme liga bola sepak kita daripada aspek jenama satu masa dulu.
Pengurusan kelab seakan tidak kreatif dalam mencari sumber kewangan, lebih banyak berharap kepada peruntukan FAM selain daripada penaja yang ditampal di dada.
Kerjasama di antara JDT dengan nama-nama seperti UNICEF, Nike dan Hublot membuka peluang lebih besar pengukuhan JDT sebagai sebuah jenama.
Selain bola sepak sebagai 'core' utama di bawah label JDT, label itu juga sedang diperkembangkan untuk meliputi sukan-sukan lain seperti tinju dan hoki ais yang kami yakin akan terus membantu pemasaran label mereka.
5. Permainan taktikal berkualiti tinggi dengan kos yang sukar digambarkan
Kemunculan JDT pada musim 2013 memberikan nafas baru kepada bola sepak kita.
Percaturan taktikal ala Eropah yang sebelum itu kita hanya boleh lihat di kaca TV, mula dipersembahkan dalam liga kita.
Memang sukar untuk kita mengakui hakikatnya, JDT bukan saja mengubah budaya bola sepak kita dari aspek pemasaran bahkan turut memperbaharui aspek taktikal dan mentaliti pasukan-pasukan dalam liga kita.
Semua itu disebabkan oleh keberanian pengurusan JDT mendapatkan pemain-pemain yang sebelum itu di luar kemampuan pengurusan kelab kita.
Adakah permainan yang kemas dan menarik berkait dengan nilai perbelanjaan sesebuah kelab? Jarang kelab yang melabur besar kurang berjaya.
7 pemain paling bernilai dalam liga Malaysia adalah pemain JDT membuktikan kuasa kewangan JDT tidak sama seperti kelab-kelab lain. Tetapi perlukah ini dilihat sesuatu yang negatif?
Sukan bola sepak dunia sudah semakin komersial. Lebih besar dilabur, lebih besar pulangannya.
Melihat bagaimana terkedepannya JDT dalam bermacam aspek pembangunan sebuah kelab berbanding kelab-kelab lain, kami ramalkan penguasaan JDT dalam liga kita masih akan kekal untuk beberapa ketika.
Persoalannya di sini - adakah kelab-kelab lain mempunyai dana, peruntukan, sumber dan kemampuan untuk melakukan apa yang JDT sedang lakukan?
Tak nampak lagi kan? Jadi terpaksalah kita hiburkan hati dengan kejayaan-kejayaan kecil, seperti meraikan kekalahan JDT walaupun pasukan kita prestasinya entah apa-apa.