Oleh pada 31 Jan 2018 kategori

Sumber foto: blogammar.com

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kelihatan menggunakan pendekatan berjaga-jaga semasa melayani kunjungan Kedah semasa aksi Piala Sumbangsih yang turut merupakan perlawanan pembukaan bagi saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu ini.

Pengendali JDT, Ulisses Morais ternyata berpuas hati dengan pencapaian kesemua pemainnya yang segera membuang jauh-jauh ketewasan 2-5 kepada Muangthong United FC semasa aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini.

Menurutnya, pemain memberi perhatian maksimum menerusi sesi latihan bagi menentang skuad kendalian Ramon Marcote.

“Persiapan menentang Kedah berjalan lancar dan juga kami memperbaiki apa jua kesilapan ketika menentang Muangthong malah barisan pemain juga memahami kehendak taktikal yang diterapkan. Satu perlawanan berintensiti tinggi apabila berdepan Kedah nanti dan kami jangkakan ia perlawanan sukar memandangkan pasukan lawan memiliki barisan pemain terbaik malah ia aksi pertama dalam saingan liga selain memburu kejuaraan Piala Sumbangsih kerana kedua-dua pasukan inginkan kemenangan.

“Apapun kelebihan memihak JDT kerana beraksi di depan penyokong sendiri dan saya berharap penyokong menjadi pemangkin untuk kami beraksi cemerlang kerana mereka adalah pemain ke-12 JDT tetapi kami juga harus tidak boleh leka dan perlu berwaspada dengan ancaman skuad Lang Merah,” jelasnya panjang lebar.

Morais turut menerangkan strategi permainan pantas anak didik Marcote yang suka beraksi dengan bola umpanan pendek dan menyerang di posisi sayap kiri dan kanan, serta sering menguasai bola di bahagian tengah perlu diperhatikan dan dihalang.

Katanya lagi, selama latihan menjelang pertemuan dengan Kedah, perhatian lebih menjurus kepada memberi fokus menerusi gerakan pantas dan lebih memperkemaskan posisi pertahanan, tengah dan serangan demi menjanjikan dominasi sewaktu beraksi di atas padang.

“Kami tahu Kedah dibimbing jurulatih baharu dan mungkin tampil dengan corak permainan berbeza namun kami akan membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan pasukan itu. Kemungkinan juga Marcos Antonio akan kembali beraksi untuk memperkuatkan benteng pertahanan selepas dia menunjukkan perkembangan positif sepanjang latihan selepas kami tidak menurunkannya ketika aksi kelayakan ACL, baru-baru ini ,” ujar Morais.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)