Kredit foto: last.fm
Gitaris kumpulan rock 90-an, Ekamatra, Md. Nurulazman Saliholdin @ Salihaldin dihukum penjara empat tahun dan sebatan satu kali oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 29 Januari 2013.
Beliau dituduh merompak seorang pembantu rumah Indonesia dalam kejadian yang berlaku pada tiga bulan sebelumnya.
Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu terhadap Md. Nurulazman, 39, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh penangkapan dibuat iaitu pada 13 November 2012.
Dia didakwa dengan seorang lagi individu yang masih bebas, merompak mangsa dikenali sebagai Intan menggunakan senjata sebilah parang.
Tertuduh mengaku mencuri tiga utas jam tangan, sebuah telefon bimbit, sebuah kamera berjenama Panasonic dan barangan kemas dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang di sebuah banglo dua tingkat di No. 24, Jalan UP 3/3, Ukay Perdana, Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2012.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab. Radin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh sebelum ini membuat rayuan agar mahkamah meringankan hukumannya dengan alasan perlu menanggung empat orang anak berumur antara 13 hingga 21 tahun, serta menjaga ibunya yang tua.
Kredit foto: Wikipedia
"Saya menyesal dengan perbuatan ini dan akan menjadikannya sebagai satu pengajaran. Saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi," katanya.
Ibu dan anak-anak tertuduh, juga kelihatan berada di galeri awam.
Mengikut fakta kes, dua orang lelaki menceroboh masuk sebuah rumah melalui pintu belakang, seterusnya mengikat mangsa yang juga pembantu rumah, sebelum mengambil barangan berharga.
Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka berjaya diberkas polis, dua minggu kemudian.
Sebelum ini, tertuduh pernah dipenjara dua tahun dari tarikh ditangkap oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah masuk rumah.
Sumber berita: Utusan Online