Kredit foto: Facebook Aizad Rosli
Bekas suami pelakon, Balkisyh Semundur Khan iaitu Mohamad Aizad Rosli mempertikaikan tindakan wanita itu yang cuba memisahkannya dengan kedua anak mereka, Nur Qalesya, 9, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 4.
"Tolong jangan pisahkan saya dengan anak-anak.
"Saya tak faham kenapa Balkisyh tidak benarkan saya tengok anak-anak sedangkan mahkamah sudah benarkan.
"Saya rindukan momen bermain dengan mereka, pergi menonton filem dan makan aiskrim bersama.
"Jika tak mahu saya bawa pulang ke rumah, dapat berjumpa sekejap dan peluk mereka pun saya bersyukur," kata Aizad kepada BH Online.
Aizad mendakwa sudah hampir setahun tidak berjumpa anak-anaknya.
Sebelum ini, Balkisyh menjadi topik perbualan hangat selepas video pergaduhannya dengan bekas suami menjadi tular.
Rakaman itu memperlihatkan Balkisyh yang dikenali menerusi karakter komedi Atul dalam siri drama Mak Cun itu menendang lelaki berkenaan di kawasan awam susulan pertengkaran antara mereka.
Sementara itu, Aizat yang diminta mengulas punca dia menyebarkan rakaman pergaduhan itu, bagaimanapun berkata, dia menyedari ia perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana bakal membawa malu kepada Balkisyh serta keluarga, termasuk dirinya.
Namun, dek kerana kerinduan yang teramat terhadap anak-anak, Aizat beranggapan ia sebagai cara terbaik untuk mendapatkan kembali peluang bertemu Qalesya dan Qaisyh.
Kredit foto: Instagram Balkisyh
"Memang benar, salah saya memuatnaik video itu di Facebook (FB) hingga tular.
"Tetapi, saya seorang manusia, ketika itu saya terlampau marah dan rindu pada anak-anak. Saya yang meminta rakan merakam video ketika kami berbalah pada pertemuan, Jumaat lalu," katanya.
Menurut Aizat, kunjungannya ke sekolah semata-mata ingin membawa anaknya berjumpa dengan ibunya di kampung, yang dikatakan merindui kanak-kanak itu.
"Saya datang dengan surat mahkamah dan menyangka boleh bawa anak-anak pulang ke kampung berjumpa ibu yang merindui mereka... Dapatlah kami makan durian bersama-sama.
"Namun, lain pula jadinya apabila Balkisyh bertindak kasar dengan saya. Kalau bencikan saya, tolonglah jangan libatkan anak-anak.
"Buat masa ini, saya menanti agar Balkisyh terbuka hati menemukan saya dengan anak-anak," katanya.
Malah ada ketikanya, dakwa Aizat, dia hanya mencuri peluang melihat anak-anak dari kejauhan.
"Bayangkan, sampaikan saya perlu 'curi-curi' tengok anak-anak saya ketika Balkisyh tidak bersama mereka. Ada masanya juga, saya hanya mampu tengok mereka dari jauh," katanya.
Pasangan itu memutuskan ikatan suami isteri sejak September lalu.