Kredit foto: Instagram Balkisyh & Facebook Aizad Rosli
Aktres Balkisyh Semundur Khan menegaskan tindakannya menendang bekas suami, Mohd Aizad Rosli adalah atas faktor keselamatan apabila menyedari dirinya dan anak-anak terancam.
Kepada BH Online, Balkisyh mendakwa, Aizad yang hadir bersama rakan-rakan telah mengganggu sesi persekolahan anak mereka, apatah lagi membuat rakaman video sewaktu kejadian hingga menimbulkan ketakutan.
Kredit foto: Instagram Balkisyh
"Apa yang anda rasa apabila melihat anak berlari dan menjerit-jerit ketakutan, serta diganggu ketika waktu sekolah?
"Sebelum ini, Mahkamah Syariah benarkan dia mengambil anak ketika hari cuti, bermula Sabtu selepas jam 12 tengah hari dan dipulangkan Ahad sebelum jam 6 petang," katanya.
Sebelum ini, laman sembang gempar dengan video rakaman dimuat naik Aizad yang menyaksikan adegan pertengkaran antara dirinya dan Balkisyh di kawasan awam, sebelum menjadi tular.
Video itu antara lain memperlihatkan lelaki itu memegang dokumen dipercayai surat perintah mahkamah, memohon kebenaran Balkisyh untuk mengambil kedua anak mereka.
Namun permintaan Aizad sama sekali tidak dilayan Balkisyh sehingga selepas beberapa ketika mereka bertegang urat, pelakon yang dikenali dengan watak Atul itu menendang lelaki berkenaan.
Dalam pada itu, Balkisyh berkata, dia kecewa kerana tindakan bekas suaminya itu seakan tidak menghormati perintah yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.
Mereka dilarang membuat sebarang kenyataan provokasi, ugutan atau rakaman video di media sosial bagi tujuan mengaibkan.
"Kalau diperhatikan di FB bekas suami, banyak perkara dilakukannya untuk mengaibkan saya. Mungkin dia mahu meraih simpati dan berpuas hati apabila orang menyalahkan saya," katanya.