Pendedahan terbaharu isteri kepada Da'i Farhan, Dr. Erin mengenai kisah cintanya dengan pendakwah sensasi itu bertentangan dengan apa yang pernah digambarkannya kepada portal Gempak sebelum ini.
Erin berkata, Farhan sebenarnya telah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari isterinya, Fatin Nurul Ain sebelum mereka bertolak mengerjakan umrah pada Oktober lalu.
"Saya menerima pinangan Ustaz kerana saya diberitahu bahawa sudah dapat persetujuan dari isterinya. Demi Allah kami tidak pernah berniat untuk menyembunyikan pernikahan kami.
"Ustaz telah submit fail permohonon poligami pada 10/10. Ustaz juga berulang alik ke Kedah jumpa ayah saya untuk mengisi segala borang yang diperlukan untuk permohonan pernikahan.
"Ustaz memang ada trip ke Makkah pada 13 Oktober jadi saya buat keputusan untuk pergi umrah sekali dan terpaksa ambil pakej VVIP bilik seorang.
"Setiba je di Makkah Ustaz terus mencadangkan untuk kami nikah terus, saya pun setuju," dedah Erin dalam kiriman Instagram yang dimuat naik pada Selasa.
Baca: Biodata Pendakwah Da'i Farhan
Cerita pemilik nama penuh Noorainul Naqim Mohd Radzi, 40, itu lagi, perkongsian hidupnya bersama Farhan bagaimanapun diuji selepas dua bulan hidup bersama.
"Selama 2 bulan hidup kami sangat harmoni. Ustaz akan tidur bergilir-gilir rumah saya dan rumah madu selang sehari.
"Saya ingat semuanya okey dan aman damai," katanya.
Penularan berita perkahwinan mereka mengundang perkara yang tidak diingini, apabila ada komplot yang mahu memporak-perandakan rumah tangga yang dibina.
"Selepas viral, saya dan Ustaz dimaki maha hebat oleh semua orang.
"Orang yang memviralkan kisah kami adalah kawan baik madu saya sendiri. Sudah tentu ini menjejaskan hubungan kami bertiga.
"Dia pernah ajak saya berjumpa tetapi Ustaz tak izinkan.
"Saya nak bagitahu, walaupun selepas kisah kami viral Ustaz tetap tak ada terfikir untuk bercerai dengan madu saya. Walaupun dihina dimaki kami cuba sabar tapi kami hanya manusia biasa.
"Kami juga diuji dengan perasaan marah bila kami tahu ada cubaan dari beberapa individu untuk mencari segala aib saya dengan tujuan memburukkan saya kepada semua.
"Bagaimana kami tahu komplot jahat ini adalah dari telefon madu saya sendiri. Ustaz berjaya merampasnya dan ada banyak mesej perbualan benda ini.
"Berlaku campur tangan orang luar yang menghasut lebih-lebih mentua Ustaz sendiri yang memaksa untuk menceraikan anak mereka," katanya.
Terdahulu, Erin mengesahkan dirinya diceraikan Farhan pada 27 April lalu atas permintaannya sendiri.
Difahamkan, keputusan diambil selepas masing-masing bersetuju dengan mengambil kira kebaikan semua pihak termasuk bekas madunya, Fatin Nurul Ain.
Sumber berita: Da'i Farhan & Dr. Erin Rancang Nikah Sebelum Ke Makkah, Isteri Pertama Pasang Komplot... Mana Fakta Mana Auta?