Kredit foto: Instagram Fatin Nurul Ain
Bekas isteri pertama Da'i Farhan, Fatin Nurul Ain mendedahkan status terkini hubungannya dengan pendakwah sensasi itu.
Fatin berkata, mereka belum lagi mengadakan sebarang perbincangan dalam usaha merujuk, apatah lagi dia menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu ke bahu keluarganya.
"Tiada apa-apa perbincangan berkenaan hal rujuk kembali antara saya dengan bekas suami.
"Selepas dari berpisah, saya sepenuhnya menggunakan ahli keluarga sebagai orang tengah.
"Sekiranya ada apa-apa perhubungan atau perbincangan yang ingin bekas suami lakukan bukannya terus dengan saya.
"Pendirian ahli keluarga saya itulah pendirian saya," dedahnya menerusi laman sosial peribadinya.
Terdahulu, isteri muda Da'i Farhan, Dr. Erin mengesahkan telah bercerai dengan pendakwah selebriti itu pada 27 April lalu.
Difahamkan, keputusan diambil atas permintaannya sendiri selepas sama-sama bersetuju dengan turut sama mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk bekas madunya.
Dalam pada itu, Fatin berkata, setakat ini ahli keluarganya masih menyokong dia mengekalkan status dirinya memandangkan mereka turut sama membantu kehidupannya bersama anak-anak.
Kredit foto: Instagram Fatin Nurul Ain
"Ahli keluarga saya masih berpendirian untuk saya istiqamah dengan kehidupan sekarang kerana ahli keluarga sentiasa menyokong dan membantu saya dan anak-anak," katanya.
Fatin bagaimanapun berkata, keluarganya tidak pernah meletakkan sebarang syarat jika Farhan berniat untuk merujuk semula.
"Ahli keluarga saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat untuk rujuk kembali kerana ahli keluarga teguh dengan pendirian biarlah saya dan anak-anak hidup bersama ahli keluarga," katanya.
Dengan penjelasan itu, Fatin berharap ia dapat meleraikan sebarang persoalan yang timbul dalam kalangan netizen berhubung isu status perkahwinannya.
Di kesempatan sama, Fatin meminta agar semua pihak lebih memberi fokus kepada ibadah dan amalan masing-masing memandangkan kita masih lagi berada dalam bulan suci Ramadan.
Untuk info, Farhan dan Erin mendirikan rumah tangga pada Oktober lalu, sebelum Farhan bertindak menceraikan isteri pertamanya, Fatin yang sedang sarat hamil iaitu sebulan berikutnya, menerusi aplikasi laman sembang Whatsapp.
Erin mendakwa, perkahwinannya yang tular telah membuka ruang kepada banyak pihak untuk bersuara, termasuk ada yang membuat komplot untuk memporak-perandakan rumah tangganya.
Sumber berita: Da'i Farhan & Bekas Isteri Pertama Belum Rujuk Balik - "Tiada Syarat, Pendirian Keluarga Pendirian Saya"