Kredit foto: Instagram @ayuputeh & Instagram @pu_rizz
Sebelum ini beberapa selebriti lelaki terpalit isu foto tidak senonoh.
Antaranya Syafiq Kyle, Aiman Tino, Ismail Izzani, Amar Alfian, Riz Amin dan Idris Khan.
Terkini, pendakwah muda meningkat naik, PU (Pencetus Ummah) Riz turut terheret sama apabila foto 'panas' dikatakan dirinya menjadi tular di laman Twitter.
Bagaimanapun, Riz atau nama lengkapnya, Muhammad Haris Ismail menafikan spekulasi berkenaan, lantas membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, Selangor pada pagi Selasa.
Malah Riz mendakwa, dia turut menerima mesej berbaur ugutan pada malam Isnin daripada seorang individu yang menuntut sejumlah wang disyaki mempunyai kaitan dengan penyebaran foto terbabit.
Terkini, penerbit filem Datuk Ayu Puteh yang juga pemilik produksi Pencil Pictures dan Records tampil memberikan kenyataan berhubung isu membabitkan pendakwah yang juga pelakon baharu itu.
Ayu berpendapat, tuduhan seperti itu seakan ingin menjatuhkan nama Riz yang baru sahaja menjejakkan kaki dalam bidang lakonan.
Ayu turut mengulas hubungan rapat antara Riz dan anaknya, pelakon Wanna Ali.
Kredit foto: Instagram @ayuputeh
Kepada Mstar, Ayu berkata, "Saya tahu Riz berkawan dengan Wanna dan saya tak ada masalah tentang hal itu. Cumanya apabila heboh mengenai penyebaran foto itu, kami semua terkejut.
"Riz ada berlakon dalam filem terbitan syarikat kami berjudul Ada Apa Dengan Dosa dan sepanjang mengenalinya tak mungkin dia buat begitu. Saya percaya foto itu telah diedit dan bukannya foto sebenar.
"Individu yang menyebarkan imej lucah itu ada niat jahat dan cuba untuk menjatuhkan karier Riz. Biasalah, fitnah itu berada di mana-mana!
"Sepanjang dia shooting dengan kami dia sangat jaga adab dan batas pergaulan dengan wanita.
"Sebab itu saya tak percaya apabila tersebar foto lucah begitu kerana mengenalinya dia tak akan buat benda-benda mengarut.
"Malah, sebelum ini dia pernah meminta maaf berkali-kali kepada Wanna hanya kerana tersentuh tangan semasa penggambaran.
"Kontroversi atau gosip itu asam garam sebagai anak seni dan saya harap Riz tidak mudah mengalah atau putus asa apabila berdepan isu panas begini.
"Saya yakin dia mampu pergi jauh dan boleh berdakwah kepada masyarakat melalui lakonan. Insya-Allah semoga kebenaran akan terbukti dan Riz akan jadi lebih kuat".
Dalam pada itu, Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh juga merestui hubungan Wanna dan Riz jika pasangan itu benar-benar serius menjalinkan hubungan cinta.
Sumber berita: Mstar