Oleh pada 06 Jul 2017 kategori

Menjual barang makanan merupakan salah satu cabang perniagaan yang dikatakan paling mudah untuk dimulakan. Ini kerana modal untuk memulakannya agak kecil dan kita sering disuapkan dengan pernyataan "semua manusia perlu makan".

Secara langsung, pernyataan ini membuatkan orang berfikir yang bidang ini mempunyai prospek pelanggan yang ramai dan membawa keuntungan dalam masa yang pantas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apabila berlakunya krisis ekonomi, kita selalunya akan nampak gerai-gerai kecil menjual makanan seperti goreng pisang, nasi lemak, kuih muih dan sebagainya muncul di merata-rata tempat. Beberapa bulan kemudian, boleh dikatakan semua gerai ini akan hilang dari pandangan. Entah apa yang berlaku kepada mereka.

Adakah benar perniagaan makanan seperti ini adalah sesuatu yang mudah dijalankan? Jika ianya mudah, mengapa kebanyakannya tidak bertahan lama dan terpaksa bungkus? Berikut adalah beberapa cabaran yang dihadapi oleh peniaga makanan yang mungkin akan mengubah pandangan anda yang beranggapan bahawa bidang ini menawarkan "untung senang".

Margin keuntungan yang terhad

Untuk makanan yang mudah dibuat seperti nasi lemak, nasi ayam dan sewaktu dengannya, harga jualannya tidak boleh dinaikkan sesuka hati dan ianya tertakluk kepada harga produk yang sama di kawasan sekeliling.

Contohnya, harga RM 1.50 untuk sebungkus nasi lemak biasa mungkin berpatutan di Kuala Lumpur, tetapi di kawasan luar bandar, ianya sudah dirasakan agak mahal.

Perlu diingat yang kos untuk menghasilkan sebungkus nasi lemak tidak banyak berbeza kalau dibandingkan antara bandar dan luar bandar. Harga bahan mentah seperti beras dan santan lebih kurang sahaja harganya di mana-mana.

nasi lemak yang menggiurkan

Ini menjadikan margin keuntungan untuk produk seperti ini menjadi sangat kecil. Untuk mendapatkan untung yang secukupnya untuk membolehkan perniagaan tadi berterusan, peniaga perlu membuat dan menjual dalam kuantiti yang banyak. Ini merupakan suatu risiko yang sangat jelas.

Sekiranya produk banyak terjual, maka banyaklah untungnya. Sekiranya produk terjual sedikit sahaja, maka peniaga terpaksa menanggung kerugian kerana produk seperti ini mempunyai jangka hayat yang sangat pendek.

Kerugian satu hari mungkin akan "memakan" keuntungan yang dibuat di hari-hari sebelumnya. Kerugian seperti ini yang berlaku berulang kali pastinya akan meruntuhkan semangat peniaga untuk meneruskan perniagaan.

Saingan yang terlampau ramai

Disebabkan kos untuk memulakan perniagaan ini sangat rendah, maka ramai orang lain juga boleh menjalankannya. Cukup sahaja dengan bermodalkan sebuah meja lipat dan sekaki payung besar, kita sudah boleh berniaga. Tetapi jangan lupa yang orang lain juga pastinya boleh.

nasi lemak anak dara

Ramai mungkin beranggapan yang mempunyai resepi turun temurun atau ramuan top secret bakal menjamin kejayaan perniagaan mereka, tetapi mereka lupa yang orang lain juga mempunyai senjata rahsia masing-masing.

spiderman nasi lemak

Samada sedap atau tidak sedap, sambutan hangat atau sambutan hambar, ianya sebenarnya bergantung kepada citarasa pelanggan. Setiap orang pastinya mempunyai kegemaran yang tidak sama dengan orang lain.

Kos operasi yang sebenarnya tinggi 

Pada peringkat awal, berniaga seperti ini kelihatan mudah. Apabila perniagaan tadi dibesarkan, kos operasinya akan meningkat berkali ganda.

Sebagai contoh, sekiranya seorang peniaga biasa menghasilkan 100 bungkus nasi lemak setiap hari, dan kemudiannya ingin meningkatkan kuantiti pengeluarannya kepada 200 bungkus, beliau pasti memerlukan tambahan pekerja.

Beliau juga mungkin perlu menjual nasi lemak tadi di tempat yang lain lain untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan. Secara langsung, beliau perlu mendapatkan lebih banyak untung untuk menampung kos gaji pekerja dan kos pengangkutan pergi balik tempat jualannya.

gerai tepi jalan

Sekiranya margin keuntungan untuk satu bungkus nasi lemaknya 50 sen, peningkatan pengeluaran sebanyak 100 bungkus hanya akan membawa keuntungan tambahan sebanyak RM 50.

Sekiranya peningkatan pengeluaran adalah sebanyak 200 bungkus, peningkatan keuntungan adalah RM 100. Setelah ditolak gaji pekerja dan kos pengangkutan, anda rasa berbaloi atau tidak? Itu belum lagi dikira kos-kos lain seperti sewa tapak, komisyen kepada gerai lain yang tolong jual dan juga peningkatan dalam kos utiliti seperti air dan elektrik.

nasi lemak payung

Walaupun perniagaan seperti ini mudah untuk dimulakan, ianya agak sukar untuk berkembang. Ia memerlukan masa yang agak lama dan usaha yang berterusan untuk berkembang dan tak ramai orang yang diberi kesabaran untuk mengharungi perjalanan yang meletihkan ini.

Kos bahan mentah yang tinggi dan ada tempoh hayat

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, kos bahan mentah adalah lebih kurang sahajaa samada di bandar atau di luar bandar. Untuk mendapatkan harga yang lebih murah, pastinya peniaga perlu membeli secara borong. Untuk bahan kering dan tahan lama, ianya tidaklah menjadi masalah.

pasar borong

Tetapi, untuk bahan yang mudah rosak atau perlu dalam keadaan segar seperti kelapa, santan, ayam, ikan dan udang, peniaga perlu berhati-hati dan pandai merancang pembelian.

Sekiranya membeli terlalu banyak, stok mungkin akan rosak atau hilang kesegarannya semasa dalam simpanan. Sekiranya membeli terlalu sedikit, terpaksa pula membayar dengan harga yang mahal. Ini merupakan dilema yang perlu dihadapi dan memberi kesan kepada untung rugi peniaga tadi.

Mudah atau tidak? Bergantung...

Ini merupakan serba sedikit cabaran yang perlu dihadapi oleh peniaga yang ingin cuba menceburkan diri dalam sektor ini. Ianya tidaklah semudah yang disangka kerana setiap sektor pasti ada cabarannya yang tersendiri. Tidak salah untuk mencuba. Yang penting, sentiasa kenal pasti setiap masalah yang muncul dan kemudiannya cari jalan penyelesaian yang terbaik.

Senang cakap, tiada perniagaan yang senang buat duit. Semuanya memerlukan usaha dan komitmen yang berterusan sekiranya mahu berjaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)