Sebagai sebuah masyarakat yang menuju negara maju, pasti kita tidak mahu meneruskan budaya pembelian barangan cetak rompak yang nampaknya semakin lama semakin susut. Kempen demi kempen yang dijalankan sedikit sebanyak telah membuka mata orang ramai berkenaan penggunaan produk cetak rompak, khasnya perisian komputer yang kini nampaknya kurang dijual seperti zaman kegemilangan "lanun-lanun" ini dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, masih ada banyak produk yang sebenarnya tidak menghormati hak harta intelek sesebuah syarikat yang masih dijual secara terbuka dan berleluasa. Sebagai salah seorang ahli masyarakat, saya hendak mengajak anda semua supaya memboikot produk-produk ini agar kita dapat sama-sama menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghormati hak cipta harta intelek yang telah dibangunkan, tak kiralah oleh syarikat dari luar atau dalam negara.
1. Baju tidur satu pasang RM25
Baju-baju ini banyak dijual dimerata-rata tempat dengan cetakan kartun animasi Malaysia seperti Upin-Ipin dan Boboiboy, Korea seperti Robocar Poly dan Super Wings serta animasi barat seperti Frozen yang dijual secara terbuka. Harganya pula agak mahal dan sebenarnya tidak berbaloi untuk dibeli kerana kualiti kain yang rendah serta jahitan yang mudah terkoyak.
2. Kek bercetak kartun
Tidak ramai yang perasan apa yang dilakukan oleh kedai-kedai kek ini mencetak gambar kartun pilihan pelanggan merupakan satu jenayah komersial. Tanpa mendapatkan lesen untuk mencetak atau menggunakan watak, kek-kek ini dijual dimerata-rata tempat. Yang menyedihkan, pengusaha kebanyakannya memberikan alasan cetakan bergantung kepada permintaan orang ramai.
3. USB Drive berisi kartun
Ini adalah antara peniaga yang paling patut ditangkap kerana mereka ini memang benar-benar buat untung atas angin. Dengan memuat turun episod-episod kartun dari internet lalu dimuat naik ke dalam kad memori USB dengan harga sekitar RM50-RM70 sebuah, bergantung kepada kandungan, ini adalah satu bentuk pencerobohan harta intelek yang cukup besar dan cukup berani dibuat oleh masyarakat kita.
4. LEGO Palsu
Entah mengapa jualan LEGO palsu di negara kita bercambah macam cendawan. Dah lah diambil paten rekaan LEGO sebiji-sebiji, kemudian digabungkan pula dengan watak-watak animasi yang pasti tidak dibayar lesen penggunaannya. Produk ini nampak mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana ibu bapa cenderung untuk tidak mahu membelikan LEGO sebenar untuk anak-anak mereka yang agak mahal. Walaupun begitu, berdasarkan tinjauan, harga LEGO palsu ini pun boleh tahan tingginya sehingga mampu mencecah ratusan ringgit. Kualitinya pula tidaklah sebaik LEGO asal, sambungannya lemah dan mudah tertanggal.
5. Almari berkartun
Yang ini, dari dulu sampai sekarang ada. Nak gambar apa? Upin-Ipin, Boboiboy, Ultraman, Iron Man, Frozen, semuanya ada tetapi tidak pernah ada sebarang tindakan dilakukan mungkin kerana kuantiti jualannnya yang kecil. Begitupun, selalunya rekaan yang dicetak di atas permukaan almari tidaklah berkualiti dan ada kalanya pecah-pecah kualiti gambarnya. Harganya pun boleh dikatakan mahal. Untuk jangka masa panjang, besar kemungkinan anak-anak anda pula pasti malu dengan almari mereka ketika mereka dah meningkat remaja.
Itulah dia lima contoh produk yang dijual merata-rata yang sebenarnya melanggar pelbagai undang-undang hak cipta negara kita. Walaupun tidak ada tindakan diambil ke atas mereka ini kerana besar kemungkinan agak sukar untuk ditentukan siapa pengeluar asal produk tersebut (kecuali kek) kita sebagai masyarakat sepatutnya tidak menyokong produk-produk ini kerana ini sebenarnya menunjukkan kita tidak menghargai seni kreativiti yang mampu ditonjolkan oleh pengkarya negara kita.
Saya tidaklah meminta anda terus memboikot kerana kadangkala ada keperluan kepada anda, tetapi kalau boleh cubalah elakkan dari membeli produk-produk ini kerana kita tidak tahu siapa pengeluarnya.