Bagi yang tidak tahu, di kawasan hutan lebat Amazon, terdapat sebuah bandar besar yang dihuni kira-kira 450,000 orang penduduk. Menariknya, bandar ini tidak boleh diakses melalui lebuh raya. Pengangkutan pilihan adalah penerbangan udara sementara akses melalui laluan air mengambil masa seminggu lamanya!

Dikenali dengan nama Iquitos, ia adalah sebuah bandar pelabuhan penting di Amazon dan bandar hutan terbesar Peru. Bandar ini terletak di lembah Amazon di kawasan pertemuan Sungai Nanay dan Sungai Itaya, kira-kira 3,700 km hulu dari Lautan Atlantik dan 1,030 km utara timur laut Lima.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lokasi yang unik

bandar terpencil iquitos

Bandar ini dikelilingi oleh sungai di satu sisi dan hutan hujan amazon tebal di satu lagi sisanya. Oleh itu, satu-satunya cara untuk sampai ke Iquitos adalah sama ada dengan mengambil penerbangan kesana atau perjalanan dengan menggunakan bot yang mengambil masa seminggu lamanya melalui sepanjang sungai Amazon yang panas dan lembap.

Kawasan ini telah didiami telah selama beribu-ribu tahun oleh penduduk pribumi dan para pemburu nomad. Mereka ini biasanya biasanya tinggal dalam tempoh yang singkat dan membina penempatan sementara berdekatan dengan sungai-sungai, sebelum para mubaligh Kristian dari Eropah tiba dan mebina penempatan penduduk setempat di sekitar sungai Nanay, Amazonas dan Itaya.

Namun, terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai perkara ini. Ada pendapat yang mengatakan bandar ini diasaskan oleh mubaligh Kristian pada abad ke-18 dan ada satu lagi pendapat lain yang mendakwa bahawa bandar ini sebenarnya hanya diasaskan hanya satu abad kemudian selepas kedatangan mubaligh Kristian  ini.

Faktor tanaman getah

pendudukan iquitos

Sekiranya banyak kawasan baru diterokai hasil daripada aktiviti perlombongan, berlainan pula ceritanya dengan bandar Iquitos ini. Bandar ini mula menarik kemasukan jumlah peneroka secara besar-besaran pada permulaan abad ke 19 apabila tanaman getah mula diterokai.

Beribu-ribu pendatang dari seluruh dunia telah datang berhijrah ke sini dimana kebanyakannya golongan lelaki muda muda yang berharap dapat memajukan hidup dan membina kekayaan mereka dalam sektor tanaman getah.

Kemajuan industri pembuatan kenderaan dan industri berkaitan telah meningkatkan permintaan terhadap getah secara mendadak. Hal ini menyebabkan orang ramai berlumba-lumba mencari peluang dalam sektor tanaman getah sama ada terlibat secara langsung dengan penanaman getah atau menjadi pedagang bagi menjual stok getah.

Kebanyakan lelaki Eropah yang berhijrah kesini telah berkahwin dengan wanita pribumi dan tinggal di Peru sepanjang hidup mereka, lalu menubuhkan keluarga campuran etnik. Para pendatang ini juga membawa bersama mereka gaya pakaian, muzik, seni bina dan unsur-unsur kebudayaan Eropah ke Iquitos.

Bandar ini menjadi kaya dan pesat membangun melalui industri penanaman getah sepanjang tempoh permintaan yang tinggi dan mendadak terhadap getah.

Iquitos pada masa kini

iquitos masa kini

Selepas tahun 1912, pengeluaran getah jatuh secara drastik dan kemasukan orang luar ke bandar ini semakin merosot. Malah, aktiviti ekonomi mula berkembang perlahan selepas itu. Kediaman-kediaman mewah mula ditinggalkan kerana ada sebahagian penduduk yang mengambil keputusan untuk berpindah keluar daripada bandar ini.

Walaupun tidak dapat diakses melalui jalan raya, itu tidak bermakna bandar ini tidak mempunyai jaringan jalan rayanya yang tersendiri. Motorsikal dan motocarros, iaitu motorsikal yang dilengkapi dengan kabin kecil penumpang di bahagian belakang, boleh dilihat digunakan secara meluas disini.

Bandar ini juga dikatakan popular bagi pelancong luar. Pada tahun 2012 sahaja, dikatakan bandar ini telah menerima 250,000 orang pelancong daripada luar. Bagi kebanyakan pengunjung, daya tarikan kawasan ini adalah kewujudan hutan hujan Amazon yang mengelilingi bandar ini yang didakwa memberikan ketenangan kepada mereka.

iquitos peru

Bagi penduduk tempatan, mereka mahukan jalan raya dibina bagi menghubungkan bandar ini dengan bandar lain yang berhampiran. Sewaktu kempen pilihan raya Presiden pada tahun 2016, Presiden Peru ketika itu Pedro Pablo Kuczynski telah membuat manifesto untuk membina jalan raya menghubungkan kawasan ini dengan Saramiriza.

Pembinaan jaringan jalan raya ini dipercayai akan dapat merancakkan pertumbuhan bandar ini. Beliau telah berjanji untuk memastikan jalan raya tersesebut dibina sebelum beliau bersara pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, tidak diketahui apakah status sebenar projek ini sehingga kini.

Kredit:

  1. Britannica  Encyclopaedia
  2. Wikipedia
  3. Culture Trip
  4. Al-Jazeera



Hakcipta iluminasi.com (2017)