Ada seorang pembaca bertanyakan soalan pada kami. Soalannya mudah sahaja;"kenapa kapal terbang perlu terbang mengikut jarak yang lebih jauh, sedangkan ada ketikanya destinasi berada tak jauh daripada lokasi berlepas?" Lebih kurang begitulah soalannya.

Terima kasih kerana bertanyakan soalan ini. Mari kita tengok kenapa kapal terbang tak boleh terbang dalam satu jarak lurus, bagi memendekkan masa perjalanan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Bumi tidak rata

bumi tidak rata

Untuk memahami kenapa ada ketikanya kapal terbang perlu melalui jarak yang lebih jauh - kita harus ingat yang bumi ini tidak rata, malahan sebenarnya berbentuk bulatan bujur seperti telur.

Membandingkan apa yang kita nampak pada peta sangat berbeza dengan laluan sebenar kapal terbang yang perlu melakukan perjalanan yang laluannya sebenarnya melengkung mengikut bentuk muka bumi.

2. Jaringan isyarat

laluan malaysia airlines

Satu masa dulu, juruterbang menggunakan petunjuk di atas tanah seperti pantai, jalan raya, sungai dan juga jalan keretapi sebagai penunjuk arah. Bagaimanapun, berikutan perkembangan teknologi radio - kini pemandu hanya perlu memandu di tengah-tengah pemancar radio yang ada sebagai panduan perjalanan. Dengan menggunakan sistem ini, wujud satu bentuk lebuhraya di udara yang tak kelihatan dikawal oleh pemancar dan penerima gelombang radio yang menjadi panduan juruterbang.

3. Kesan angin

angin kuat risiko penerbangan

Ada ketikanya keadaan angin memaksa juruterbang menggunakan laluan yang lebih jauh. Ini kerana angin yang kencang mampu memberikan pengaruh yang besar pada masa perjalanan. Bagi memastikan perjalanan lancar, juruterbang akan dimaklumkan tentang keadaan angin dan perlu menukar laluan yang digunakan, sekiranya keadaan tidak mengizinkan walaupun masa perjalanan perlu ditingkatkan.

4. Latihan tentera

kapal terbang tentera

Pada waktu-waktu tertentu, pihak tentera akan menggunakan ruang udara bagi tujuan latihan tak kiralah untuk penerbangan udara atau mungkin juga bagi ujian peluru berpandu. Atas sebab itu, pihak tentera akan memaklumkan pada pengurusan penerbangan bagi membolehkan penutupan ruang udara dilakukan. Hanya selepas penutupan ini ditarik balik, barulah ruang udara dibuka semula untuk kegunaan awam.

5. Kawasan konflik

letupan kapal terbang

Kita sudah sedia maklum apa yang sudah berlaku pada penerbangan MH17 yang ditembak jatuh. Semua syarikat penerbangan tidak digalakkan untuk melakukan penerbangan dalam ruang udara di mana konflik sedang berlaku, sehingga meningkatkan risiko pada kapal terbang. Sekiranya risiko terlalu tinggi, juruterbang akan menggunakan laluan lain untuk sampai ke destinasi.

6. Kesesakan

lapangan terbang dubai many plane

Kita jarang nampak wujudnya kesesakan di udara tetapi bagi mereka yang menyelia penerbangan, isu kesesakan udara merupakan satu perkara yang biasa berlaku. Ada masanya terlalu banyak penerbangan akan menggunakan ruang udara serentak dalam satu masa, mungkin disebabkan permintaan yang tinggi atau ada keperluan. Bagi mengelakkan kelambatan penerbangan, pesawat akan diminta supaya menggunakan laluan lebih jauh supaya ruang yang sesak dapat diminimakan.

7. Kos 'sewa udara' negara lain

kenapa kapal terbang tak lalu lurus

Sesuatu yang jarang kita nampak dan perkatakan adalah berkenaan kos yang dikenakan oleh setiap negara, dalam menggunakan sistem perkhidmatan dan juga ruang udara setiap negara. Sebagai contoh di negara kita, Jabatan Penerbangan Awam mengenakan caj bagi penggunaan ruang udara dan perkhidmatan kawalan udara negara kita kepada mana-mana kapal terbang yang mahu masuk ke negara kita.

Sistem ini yang dinamakan 'overflight fees' atau yuran atas penerbangan, berbeza-beza mengikut negara dan setiap negara mengenakan kadar yang berbeza. Ada negara yang menggunakan saiz pesawat sebagai penentu kadar caj dan ada juga negara yang mengambil kira jarak penggunaan sahaja.

Ada juga negara yang kedudukannya strategik menyewakan ruang udara mereka untuk kegunaan syarikat penerbangan dalam usaha memendekkan waktu perjalanan. Mungkin bagi sesetengah syarikat penerbangan, lebih berbaloi bagi mereka mengikut jalan lebih jauh berbanding kos minyak yang digunakan, jadi perjalanan yang perlu diharungi penumpang jadi lebih panjang.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Why aircraft don’t always fly in straight lines terbitan Eurocontrol, badan pengelola ruang udara Eropah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)