Punca Farid Kamil dikatakan membuat laporan polis seakan terjawab apabila satu sumber mendedahkan kepada portal Kosmo Online bahawa ianya tidak mempunyai kaitan dengan kes jenayah.
Dakwaan itu mengatakan laporan dibuat Farid adalah susulan isu rumah tangga dengan isterinya, Datin Diana Dianelle, 27.
Kata sumber berkenaan, Farid memohon untuk membenarkan adiknya, Anis Anwar Zahari masuk ke kediaman di Casa Tropicana, Damansara bagi tujuan mengambil barang peribadinya di sana.
Menerusi laporan itu, Farid didakwa turut memaklumkan kedua-dua anaknya iaitu Muhammad dan Aurora berada dalam jagaan beliau pada malam laporan dibuat.
“Tujuan Farid membuat laporan polis ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya sebarang tindakannya termasuk membenarkan adiknya memasuki rumah tidak dianggap menceroboh.
“Mengenai anak-anaknya pula, laporan tersebut membuktikan dia tidak melarikan mereka daripada jagaan Diana,” kata sumber berkenaan.
Dikatakan, laporan itu bukan dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara sebagaimana dalam foto kiriman Instagramnya, tetapi di Balai Polis Pantai, Lembah Pantai pada tarikh 18 Januari lalu.
“Farid telah membuat laporan awal di Balai Polis pada 18 Januari lalu, namun kes itu dirujuk ke Balai Polis Damansara kerana berdekatan dengan kediamannya,” kata sumber itu lagi.
Sebelum ini, aktor itu menerusi laman sosial Instagram memaklumkan mahu membela nasib orang teraniaya, meskipun tidak menyatakan maksud sebenar kenyataannya itu.
Rakan selebriti serta peminat memberikan tanda sokongan dengan menekan butang 'tanda suka' dan melaungkan kata-kata semangat di ruangan komen.
Kiriman itu disertakan sekeping foto memperlihatkannya memegang dokumen yang kelihatan seperti kertas laporan polis di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara.
Kredit foto: Instagram Farid Kamil
Sumber berita: Kosmo Online