Kredit foto: Instagram Diana Danielle
Isteri Datuk Farid Kamil, Datin Diana Danielle memberitahu dia enggan ambil peduli akan pandangan orang ramai yang mempertikaikan ketidakhadirannya melawat suami di mahkamah.
Ini kerana dia yakin Farid dapat merasakan kehadirannya di sana.
"Sayangku FK (Farid Kamil). Jangan tanya kenapa anda (netizen) tidak melihat saya. Dia (Farid) 'nampak' saya dan tahu saya ada di sana.
"Dia dapat merasakan tangan saya menggenggam tangannya. Dan semua itu yang lebih bermakna buat saya," tulisnya dalam sebuah kiriman terbaru Instagram malam tadi.
Perkongsian itu antara lain memaparkan puisi pendek tulisan pemuisi dari Florida, Amerika Syarikat, Christopher Poindexter.
Diana membayangkan keutuhan cintanya terhadap Farid menerusi bait-bait kata puisi berkenaan.
"Apa yang benar-benar ku mahu,
Dari mula tumbuhnya tulang-tulang di dalam tubuhku,
Adalah cuma untuk mengenal cinta,
Dan untuk cinta mengenalku," kongsi Diana.
Entri itu dimuatnaik beliau dipercayai untuk menjawab persoalan tentang ketiadaannya memberikan sokongan kepada suami sepanjang dua kali aktor itu dibawa ke mahkamah.
Sebelum ini, Farid terlebih dahulu direman empat hari untuk siasatan lanjut susulan kes serangan terhadap seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 11 Januari lalu.
Kredit foto: Instagram Diana Danielle
Sumber berita: BH Online