Kredit foto: Instagram Fadzil Zahari & Instagram Farid Kamil
Ketiadaan adik kepada pelakon, Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari menemani abangnya pada sidang media diadakan Farid di Shah Alam, baru-baru ini mencetuskan persoalan ramai.
Ini susulan Fadzil sering dilihat bersama-sama dengan Farid dalam berhadapan kontroversi serta menjadi penjamin bagi aktor itu melalui beberapa kes mahkamah sebelum ini.
Justeru, ada yang membuat andaian bahawa Fadzil tidak lagi berhubung dengan aktor tersebut.
Enggan membiarkan gosip terus dihangatkan, apatah lagi melabelkan ia sebagai satu fitnah, Fadzil tampil menafikan spekulasi yang tersebar.
Menjawab pertanyaan itu, Fadzil akui antara dirinya dan Farid tidak timbul sebarang pertelingkahan atau konflik.
Kredit foto: Instagram Fadzil Zahari
“Saya dan Farid masih baik. Mana ada kami gaduh. Tak baik buat fitnah yang bukan-bukan.
“Saya selalu mengingatkan diri bahawa tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan. Saya akan sentiasa menyokong dan berada di sampingnya walau bermacam dugaan harus ditempuhinya,” katanya kepada Harian Metro.
Mengapa tidak lagi menguruskan Farid, Fadzil berkata, tanggungjawab itu sudah dipikul oleh pengurus peribadi bintang Tombiruo itu iaitu Saufee Miftah, selepas beliau dibebaskan daripada tahanan polis
“Ketika dia ditahan di balai polis, saya bersama adik beradik membantu menguruskannya.
“Tetapi selepas dia dibebaskan adalah lebih baik saya tidak mencampuri urusannya kerana dia tahu apa lebih baik.
“Bagaimanapun saya akan menyokong dan akan sentiasa membantunya dari belakang,” katanya.