Kredit foto: Instagram DJ Fuzz
Komposer DJ Fuzz mendedahkan bapanya, Farit Ismeth Emir 'pergi' dalam keadaan yang tenang dan mudah, kira-kira jam 11 pagi tadi, tanpa ditemani anggota keluarga.
Anak penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berkata, beliau sekeluarga sempat menjenguk Allahyarham buat kali terakhir, apabila diminta ke Hospital Assunta, Petaling Jaya pada dua hari lalu.
Kredit foto: Instagram DJ Fuzz
“Selepas mendapati keadaan bapa semakin kritikal, doktor memberi keizinan kepada kami untuk melawatnya di hospital, semalam.
“Keadaan ayah agak membimbangkan tetapi dia masih mengenali kami adik- beradik dan boleh bersembang.
“Itulah kali terakhir kami berjumpa dengannya. Saya dimaklumkan, arwah pergi dengan cukup tenang,” katanya kepada portal BH Online.
Mereka sekeluarga terlebih dahulu akur dengan ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum diberi peluang melawat arwah apabila dipanggil pihak hospital.
Semalam, pemergian Farit di usia 65 tahun akibat kanser menjadi tajuk utama media.
Arwah sebelum ini cukup diingati kerana sering melontarkan kata-kata hikmat, di penghujung siaran berita.
Dalam pada itu, DJ Fuzz berkata, keadaan terkini kesihatan bapanya hanya diketahui sejak beberapa minggu yang lalu.
“Perkara ini berlaku dengan begitu cepat. Tiba-tiba kami sekeluarga dimaklumkan penyakit kanser yang menyerang ayah sudah berada pada tahap empat dan merebak ke organ dalaman.
“Situasi ini berlaku ketika kita baru menjalani PKP. Arwah kemudian mendapat rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya sehingga disahkan meninggal kira-kira jam 11 pagi tadi,” kata deejay dan komposer hip hop itu.
Terikat dengan peraturan PKP, pemilik nama Farzwa De-Attaher Emir ini berkata, mereka menggunakan panggilan video sebagai medium untuk berkomunikasi sewaktu arwah terlantar.
“Kami hanya berbual menerusi panggilan video. Dalam perbualan itu, saya banyak memberi kata-kata semangat dan mendoakan ayah segera sembuh,” katanya.
Difahamkan, jenazah bapanya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, PJS 4, Petaling Jaya selepas Zohor tadi.
“Alhamdulillah, proses pengebumian lancar dan mematuhi arahan yang ditetapkan iaitu membabitkan 10 orang sahaja yang menguruskannya,” katanya.
Baca: Biodata Penyampai Berita, Farit Ismeth Emir
Baca: Biodata Komposer DJ Fuzz
Sumber berita: 'Ayah pergi dengan tenang'