Bagi peminat bola sepak yang menonton Piala Dunia 2022 di Qatar, harga tiket yang dibayar adalah hampir 40% lebih mahal berbanding edisi terdahulu pada tahun 2018 di Rusia.
Untuk Piala Dunia Rusia 2018, para peminat membayar purata RM1,121 untuk satu tiket, berbanding purata mencecah RM1,501 untuk satu tiket Piala Dunia Qatar.
Malah, tiket untuk edisi kali ini adalah yang termahal bagi sejarah Piala Dunia untuk 20 tahun yang terakhir.
BESARKAN TEKS A- A+
Tiket untuk Piala Dunia Jerman 2006 dianggap sebagai yang paling murah, dengan kos purata sekitar RM525 sahaja.
Purata harga tiket perlawanan final yang berlangsung di Olympiastadion di Berlin adalah RM1,161.
Piala Dunia di Qatar adalah yang termahal dalam sejarahnya, di mana pembinaan enam stadium baharu dan pengubahsuaian lengkap dua arena lain di negara ini dikatakan menelan belanja sekitar RM13.25 bilion.
(Stadium Ikonik Lusail lokasi perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022)
Harga untuk setiap tiket bagi setiap peringkat perlawanan di Piala Dunia Qatar adalah seperti di bawah:
Perlawanan | Kategori 1 | Kategori 2 | Kategori 3 | Kategori 4 | Kurang Upaya |
Pembukaan: Qatar vs Ecuador | RM2,730 | RM1,943 | RM1,334 | RM243 | RM243 |
Peringkat kumpulan | RM972 | RM729 | RM305 | RM49 | RM49 |
16 terakhir (kalah mati) | RM1,215 | RM910 | RM424 | RM84 | RM84 |
Suku akhir | RM1,882 | RM1,272 | RM910 | RM362 | RM362 |
Separuh akhir | RM4,223 | RM2,911 | RM1,577 | RM605 | RM605 |
Tempat ketiga & keempat | RM1,882 | RM1,334 | RM910 | RM362 | RM362 |
Akhir | RM7,098 | RM4,430 | RM2,668 | RM910 | RM910 |
Jumlah keseluruhan tempat duduk bagi kesemua 64 perlawanan yang berlangsung di 8 buah stadium sekitar Qatar adalah sebanyak 3,523,229.
Jika kesemua tiket ini terjual, purata perolehan Qatar untuk tiket sahaja bagi Piala Dunia kali ini adalah sekitar RM5,288,366,729 atau lebih mudah, RM5.29 bilion.
Rujukan:
1. First Post
2. Sports Brief
3. Hukoomi
4. 90 Min