Nasi adalah makanan ruji majoriti negara di benua Asia, dengan negara China, India, Indonesia, Bangladesh dan Vietnam menduduki lima tangga teratas paling tinggi penggunaan beras setahun di kalangan negara dunia.

Jika diambil penduduk benua Asia saja, kita merupakan masyarakat terbesar mengamalkan pemakanan beras/nasi sehingga 90% daripada bekalan beras dalam pasaran yang ada diguna dibenua sini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam erti kata lain tanpa beras, majoriti penduduk Asia akan kehilangan sumber makanan utama kita.

Ketika ini akibat peralihan cuaca yang banyak memberi kesan kepada pengeluaran beras, kos beras dikatakan semakin meningkat dan kenaikan ini dijangka kekal untuk tempoh berbulan lamanya khususnya melibatkan beras import.

Tahukah anda di manakah kedudukan Malaysia sekiranya beras dijadikan topik perbincangan?

Adakah Malaysia ada bekalan beras mencukupi?

aktiviti penanaman padi

Adakah negara kita mempunyai bekalan beras tempatan yang mencukupi untuk menampung permintaan, berbanding pengeluaran?

Jawapannya, belum mencukupi.

Ketika artikel ini ditulis, berdasarkan kajian yang dijalankan untuk tempoh 3 tahun kebelakangan ini; bekalan beras yang mampu ditampung pengeluaran secara dalam negara kita hanya berada pada tahap 65% daripada permintaan.

Situasi ini memaksa kita mengimport 35% lebihan bekalan dari negara luar, majoritinya dari India, Vietnam, Pakistan, Thailand dan Kemboja; merangkumi nilai dagangan berjumlah RM2.73 billion.

Berdasarkan rancangan Malaysia ke 12 yang dilancar tahun 2021, negara kita sedang dalam proses menaikkan kadar ini yang diistilahkan sebagai SSL atau self sufficiency level kepada 75% menjelang akhir tahun 2025.

Untuk mencapai hasrat tersebut, kita sudah memulakan pelbagai gerak kerja dan insentif bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan sehingga 20% untuk beberapa tahun akan datang.

Bagaimana situasi di negara Asia Tenggara lain?

isu pengeluaran beras asia tenggara

Jika diukur kadar keterjaminan kita, Malaysia berada dalam kelompok pertengahan di mana jumlah pengeluaran domestik mampu menampung majoriti permintaan dan kita perlu mengimport untuk mencukupkannya.

Beberapa negara Asia Tenggara lain pula duduk dalam keadaan berbeza.

Negara seperti Thailand dan Vietnam selesa, di mana nisbah pengeluaran mereka jauh lebih tinggi berbanding penggunaan dalam negara, membolehkan penduduk dua negara itu mempunyai keterjaminan bekalan beras dikategorikan sangat baik.

Oleh kerana lebihan yang ada itulah, Thailand dan Vietnam menjadi antara negara pengeksport bekalan beras utama.

Bagaimanapun dalam spektrum berbeza, dua jiran kita iaitu Indonesia dan Filipina pula memiliki kadar pengeluaran padi yang gagal menampung permintaan tempatan, mengakibatkan kerajaan kedua-dua negara itu harus mengimport bekalan.

Walaupun demikian jika dinilai kadar pengeluaran negara-negara pengeluar padi Asia Tenggara secara keseluruhan, angka sekarang menunjukkan kestabilan bekalan yang tinggi - memberikan keterjaminan beras itu bukanlah sesuatu yang perlu kita risaukan dalam masa terdekat. 

Asalkan tidak berlaku bencana besar dan negara yang perlu menampung bekalan, sudi mengimport masuk beras dari negara pengeluar utama.

Di negara mana beras harganya paling rendah?

keterjaminan bekalan beras

Untuk anda yang tidak tahu, harga beras putih tempatan di negara kita dikawal melalui harga siling ditetapkan kerajaan. Silingnya ditetapkan pada kadar RM2.60 satu kilogram.

Ini bermakna paling mahal akan akan bayar adalah RM26 untuk paket 10 kg. Beras tempatan ya! Jangan samakan dengan beras import.

Di Filipina di mana bekalan beras tempatan berada pada tahap rendah, harga yang ditetapkan tentulah lebih tinggi pada kadar RM3.37 ke RM3.70 untuk satu kilogram bergantung kepada gred.

Bagi Thailand yang sudah kami perjelaskan merupakan antara pengeluar utama beras di Asia Tenggara, baru saja mengumumkan kenaikan harga siling pada bulan Ogos 2023 daripada 3 baht (RM0.39) kepada 20 baht (RM2.62) untuk setiap satu kilogram. Tinggi kan kenaikannya?

Harga siling baru itu yang berkuatkuasa bermula bulan September 2023, menjadikan harga beras tempatan di Thailand dah tak jauh beza dengan negara kita.

Jiran akrab kita Indonesia lebih awal merombak harga siling beras negara mereka pada bulan Mac tahun ini dan sekali lagi menaikkannya bermula bulan September 2023, menjadikannya pada kadar 10,900 rupiah atau RM3.32 satu kilogram.

Sekiranya anda tertanya-tanya berapakah harga beras di Singapura, di sana tidak ada sistem kawalan harga siling tetapi kerajaan Singapura memperkenalkan sistem kuota import yang ketat dan harga kawalan mengikut pasaran.

Harga beras secara kawalan di Singapura ditetapkan di antara RM3.85 ke RM24.02 mengikut gred setiap 1 kilogram. Ini menjadikan untuk setiap pek 5 kg beras wangi import  Thailand, purata harga jualan di Singapura ketika ini berada pada tahap RM46.98.

Harus kami ingatkan sebelum anda melenting - ini harga untuk pek 5 kilogram. Bukan 10 kilogram. Mahal juga kan?

NEGARAHARGA KAWALAN 1 KILOGRAM
MalaysiaRM2.60 
Filipina RM3.37
ThailandRM2.62
IndonesiaRM3.32
SingapuraRM3.85

Rujukan

Southeast Asia must narrow down the yield gap to continue to be a major rice bowl




Hakcipta iluminasi.com (2017)