Adalah lumrah bagi kanak-kanak yang sedang membesar mempunyai perangai dan ragam masing-masing. Ada yang agak pendiam selebihnya sedikit nakal sehinggakan sukar di kawal.
Bagi setiap kesalahan dan kenakalan pasti ada hukuman yang biasanya dikenakan bagi mengajar mereka dan bukanlah untuk mendera.
BESARKAN TEKS A- A+
Peredaran masa membuatkan hukuman yang dikenakan oleh agak berbeza-beza. Jika dahulu merotan di sekolah merupakan satu perkara biasa namun kini ia tidak boleh lagi dilakukan.
iluminasi.com kongsikan kanak-kanak yang nakal dihukum pada tahun 1850-an.
1. Sengkang
Kesemua jenis alatan dan cara untuk melaksanakan hukuman disimpan di sekolah. Alatan dan cara yang berlainan digunakan untuk mendenda bagi kesalahan yang berbeza.
Antara salah satunya dikenali sebagai sengkang, iaitu hukuman bagi kanak-kanak yang sering bertengkar, melarikan diri setelah melakukan kesalahan ataupun mencuri.
Pesalah akan diarahkan untuk memegang telinga kanan menggunakan tangan kiri dan telinga kiri menggunakan tangan kanan, lalu diarah untuk duduk dan berdiri berulang-ulang kali.
Hukuman ini masih dikenakan oleh ibu bapa atau guru-guru pada hari ini, lebih dikenali sebagai ketuk-ketampi.
2. Hukuman asap pedih mata
Bagi murid-murid yang malas dalam pembelajaran pula, hukuman yang berlainan dikenakan.
Asap akan dihasilkan dengan membakar timbunan serat kelapa kering dan muka pesalah akan dihalakan pada timbunan kelapa yang terbakar.
Kadang-kala, lada kering dimasukkan ke dalam api tersebut membuatkan hukuman tersebut lebih keras.
Bau asap dan rasa yang pedih tersebut adalah yang paling menjengkelkan, menyebabkan mata dan hidung berair dengan begitu banyak.
3. Apit China
Bagi murid-murid yang melakukan kesalahan mencuri atau memukul murid yang lain, hukuman lebih keras dikenakan, menggunakan rotan dan apit china.
Apit china ini diperbuat daripada empat batang rotan, setiap satunya berukuran 15 sentimeter.
Keempat-empat batang rotan tersebut diikat di hujungnya dan kemudian dipasangkan dengan tali di hujung yang satu lagi seperti dalam gambar.
Alat ini berfungsi dengan cara menarik tali tersebut membuatkan jari-jari pesalah yang dimasukkan di antara ruang tersebut tersepit.
4. Kayu palat
Juga terdapat alatan yang dikenali sebagai kayu palat. Kayu palat diperbuat daripada kayu bulat dengan kelebaran kira-kira lebar dada orang dewasa.
Tiga lubang kemudiannya ditebuk padanya dan dipasangkan tali di mana dua lubang di bahagian kanan dan kiri diikat mati kemudian dimasukkan tali selebihnya ke lubang di tentah.
Kayu palat ini digunakan dalam menghukum kanak-kanak yang lari daripada sekolah, memanjat pokok atau memukul rakan-rakan.
Kaki pesalah akan dimasukkan ke dalam kedua-dua gelung tali yang dipintal ke atas dan digunakan untuk memukul tapak kaki.
5. Rantai besi
Rantai besi pula merupakan rantai berukuran 180 sentimeter atau lebih, di mana hujung bahagiannya dipakukan kepada kayu balak.
Hujung rantai satu lagi yang tidak dipakukan dipasang dengan pin kunci dan digunakan untuk menghukum kanak-kanak yang suka berlari-lari, suka bergaduh, serta tidak mendengar arahan ibu bapa dan lambat ke sekolah.
Rantai tersebut dipasangkan di sekeliling pinggang pesalah dan pesalah akan diarahkan untuk memikul blok kayu di atas bahunya mengelilingi sekolah.
Kadang-kadang, rantai akan dibiarkan pada pesalah dan tidak dibenarkan pulang ke rumah, sementara makanan akan dihantar kepadanya.
6. Diikat pada tiang
Bagi mereka yang melakukan kesalahan di dalam kelas, hukuman lain dikenakan. Tali pintal diikat pada pinggang pesalah dan tali tersebut diikat pada tiang.
Pesalah kemudiannya diarahkan untuk terus belajar sehingga selesai. Dia tidak akan dilepaskan sehingga selesai, dan makanan akan dihantarkan oleh ibu bapanya kepadanya.
6. Diikat terapung di udara
Dan bagi kanak-kanak yang lebih nakal dengan kelakuan yang tersangat buruk, kerap bergaduh, lari dari sekolah atau mencuri, hukuman yang lebih dahsyat dikenakan.
Ia dikenali sebagai gantung, di mana kedua-dua tangan pesalah akan diikat dan digantung dengan kakinya tidak menjejak tanah.
Hukuman lain bagi mereka yang nakal dan mencuri adalah membaringkan pesalah di atas lantai lalu dipukul. Bagi yang suka berbohong atau menggunakan kata-kata kesat serta mencaci orang lain, lada atau cili akan dimasukkan ke dalam mulut mereka.
Dahsyat kan hukuman orang-orang dulu?