Setiap tahun pasti ada kes-kes buli dilaporkan melibatkan pelajar sekolah asrama. Lebih mendukacitakan, kini laporannya turut disertai dengan rakaman video kejadian yang berlaku dirakamkan sendiri oleh pelakunya, seolah bangga dia kaki buli.

Tidak tahulah kenapa perbuatan bodoh sebegitu semakin kerap berlaku. Nak kata bodoh, masuk sekolah pandai. Nak kata pandai, buat tindakan bodoh. Bagaimanapun hasil kebodohan itulah masyarakat kita mampu melihat dengan mata sendiri bagaimana rupanya buli di asrama sekolah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap kali timbul satu video buli, perbincangan ahli masyarakat berkenaan kaedah terbaik menangani kes sedemikian akan kedengaran. Realitinya, kejadian buli di sekolah asrama tidak akan terhenti pada pandangan penulis. Kenapa? Ini lima sebab kenapa buli akan terus menjadi norma budaya di sana.

1. Buli adalah masalah sistemik 

adegan filem juvana buli asrama

Kenapa kejadian buli terus berlaku di sekolah asrama? Ini semuanya disebabkan oleh persekitaran asrama itu sendiri yang 'menggalakkan' buli berlaku. Semua masalah buli berlaku secara sistemik dalam struktur sekolah asrama kerana itu adalah hasil perkumuhan sistem sekolah asrama kita. 

Setiap sekolah asrama walaupun mempunyai sistem sosial yang berbeza mengikut kategori seperti jantina, pasti akan wujud kes buli.

Ada sekolah yang mencampurkan pelajar dalam tingkatan/darjah yang berlainan untuk duduk dalam satu bilik. Ada yang mengasingkan bilik untuk hanya menempatkan pelajar dari kategori umur sama. Kedua-duanya tidak menghalang dari buli berlaku bukan? 

Jika sistemnya bercampur, pelajar senior akan membuli pelajar junior. Jika sama tahap, akan ada pelajar sama baya yang membuli rakan seusianya yang lain disamping buli senior junior. Buatlah apa pun kaedahnya, buli tetap akan berlaku. Ini kerana..

2. Hirarki hidup asrama menggalakkan buli

abang besar sekolah asrama

Sistem hirarki tidak rasmi di kalangan pelajar asrama mewujudkan kategori jenis pelajar kepada beberapa kumpulan.

Ada kumpulan yang dikategorikan baik. Ada kumpulan yang dikategorikan nakal. Ada yang layak dikatakan ibarat samseng. Ada juga kumpulan pelajar yang duduk di antara kategori-kategori ini. Ada juga yang terpinggir dari hirarki.

Hirarki semulajadi ini wujud disebabkan persaingan pelajar asrama untuk 'menyelamatkan' diri mereka daripada tekanan hidup dalam asrama. Siapa kata hidup di asrama mudah? Tidak.

Bergantung kepada suasana atau budaya yang dibentuk pihak sekolah ke dalam sistem sosial asrama mereka, akan ada kategori pelajar yang duduk di atas sebagai 'pemerintah' asrama dan dibawah yang duduk sebagai 'orang kebanyakan.'

Hirarki inilah yang menjadi punca utama kenapa buli berlaku dan ia tidak mengambil kira darjat, kedudukan atau latar belakang sebenar pelajar - kerana semua pelajar akan saling berebut mahu duduk dalam hirarki lebih baik.

Kawan makan kawan untuk elak jadi mangsa buli, adalah sesuatu yang biasa bagi budak asrama.

3. Sistem yang memenangkan budaya samseng

buli asrama malaysia

Tanyalah pelajar yang duduk di asrama - adakah kehadiran warden cukup untuk menghentikan kes buli? Ramai akan menjawab tidak memadai.

Kenapa ini terjadi? Ini disebabkan daripada hirarki sesama pelajar yang terbentuk menentukan corak hidup di asrama; biasanya yang akan naik ke atas adalah budak-budak bermentaliti samseng khasnya kalau asrama lelaki.

Samseng akan menjadi ketua kepada asrama, dengan abang-abang pengawas yang baik ni pun akan dengar cakap mereka. Ini semua disebabkan tekanan rakan sebaya untuk memastikan kita ada kawan dalam masyarakat asrama selain dari mengelak untuk tak nak kena pukul.

Siapa baik dengan pelajar yang menguasai asrama, dia untung besar. Siapa tak baik? Siaplah. Salah sikit je pun kena belasah ramai-ramai dengan orang yang tak terlibat pun pada awalnya. 

Budaya samseng dalam asrama ini biasanya akan mewujudkan sistem lesen di kalangan pelajar; apa itu lesen? Lesen buat jahat.

Nak hisap rokok/vape di asrama? Kena dapat lesen 'pemerintah' asrama dulu. Nak keluar malam? Kena ada lesen. Nak 'rumble' atau belasah ramai-ramai seorang pelajar lain yang buat perangai? Pun kena ada lesen dulu. 

Siapa yang mengeluarkan lesen untuk buat benda tak elok dalam asrama, dialah ketua sebenar dalam asrama tu. Bila dah duduk dalam situasi macam tu, pelajar pun...

4. Pelajar asrama amal mentaliti dungu

mangsa buli 1b 1200x842

...Ramailah yang akan jadi bodoh dan dungu.

Majoriti pelajar asrama ni akan buat bodoh saja bila nampak benda tak betul depan mata. Takut nak tegur. Takut kena belasah. Takut nanti dia jadi sasaran 'ketua-ketua' dalam asrama. Takut nanti kawan sendiri pulaukan dia kalau dia belot kawan seusia. 

Kenapa masalah buli di asrama jarang diketahui?

Ini kerana majoriti pelajar yang duduk di asrama datang dari kumpulan penakut inilah. Mereka bijak tapi mereka penakut. Bila dah besar, barulah sibuk nak persoalkan kenapa kes buli berlaku.

Ramai budak asrama takut nak buat benda betul - kerana mereka diletakkan dalam situasi di mana jika mereka buat benda betul, mereka yang akan kena balik. Rujuk balik sistem hirarki yang dah kami sebut. 

Majoriti pelajar di asrama sebenarnya tahu buli itu salah, tetapi kerana takut punya pasal mereka diamkan.

Yang mana sedar, mereka akan meminggirkan diri dari kegiatan buli ni, buat klik sendiri. Yang mana pasang impian mahu duduk dalam hirarki yang menguntungkan dan memudahkan hidup mereka, akan sertai aktiviti buli supaya rasa tak terpinggir.

Biasanya yang ramai dalam video buli tu golongan sebeginilah. Buli orang kerana terikut-ikut, takut nanti dia ditendang ke dalam kumpulan kena buli.

5. Siapa buat baik, dia akan dipulaukan

masalah buli pelajar asrama

Disebabkan tekanan-tekanan sosial disenaraikan di atas inilah, kumpulan yang akan paling dibenci dalam sistem sekolah asrama adalah mereka yang cuba memperbetulkan sistem ini. 

Siapa baik dengan warden dan jadi spy warden, akan dijadikan sasaran untuk dibelasah. Siapa laporkan kejadian tak diingini berlaku kepada cikgu, dialah yang salah. Siapa yang berani buka mulut ceritakan siapa kaki buli pada waktu malam, yang buka mulut tu lah akan dipinggirkan sehingga akhirnya dia keseorangan.

Dalam sekolah asrama ada kumpulan paling tidak disukai digelarkan 'kaki report.' Untuk sekolah aliran sains penuh, mereka ini digelarkan 'kaki retort.' Jika anda tersenyum membaca anekdot itu, pasti anda faham apa yang penulis bangkitkan ini.

Siapa dulu masa sekolah tak suka kaki report, itu menandakan dia kaki buli lah. 

Dari luar, kita nampak asrama khasnya asrama sekolah berprestasi tinggi adalah tempat di mana pelajar-pelajar berpotensi digarap. Tetapi realitinya disebabkan oleh sistem sosial, hirarki dan tekanan yang ada - kehidupan dalam asrama ni sebenarnya membawa tekanan besar kepada penghuninya. 

Secara sistemiknya buli pasti berlaku kerana buli adalah elemen penting dalam menentukan status dan darjat pelajar di asrama yang ada sistem politiknya tersendiri.

Persoalannya, jika ditanyakan berkenaan status atau darjat ni; di asrama ada pembuli, ada yang dibuli dan ada yang hanya mampu duduk di tepi memandang sipi-sipi setiap kali dia nampak buli terjadi.

Begitulah pentingnya buli dalam menentukan hirarki manusia dalam asrama dan kesannya sehingga dewasa akan ketara. 

Memang tak senang nak melahirkan generasi masa depan yang berani tegur kawan yang buat sesuatu yang salah, kerana yang benar-benar berani dalam asrama akan kurang sokongan.

Biasanya yang berani bersuara itu jugalah akhirnya jadi mangsa belasah dan buli pelajar lain yang sedaya upaya mahu terus menguasai hirarki kedudukan di asrama. Yang kena buli biasanya orang lain tak suka. Kumpulan paling ramai yang buat-buat tak nampak kes buli pula hanya mampu tegur sekali-sekala. 

Yang popular dan dianggap figura penting dalam asrama, biasanya si pembulilah - kerana semua perkara hanya berlaku dengan kebenaran mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)