'Bawa toyol' merupakan ungkapan yang diguna bagi menggambarkan tindakan seorang pelajar membawa masuk bantuan; seperti nota kecil untuk menjawab soalan peperiksaan.
Perbuatan sebegini sudah diketahui kerap berlaku, kerana perbuatan ini mudah dikenalpasti dan dibanteras. Pelajar yang perlu memeriksa 'toyol' mereka juga akan berkelakuan ganjil, sering memandang ke bawah memudahkan mereka dikenalpasti pengawas bertugas.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain itu ada juga taktik meletakkan nota di tandas secara sembunyi, yang memerlukan pelajar ke tandas untuk memeriksa nota mereka. Dua cara ini, baik 'bawa toyol' ataupun 'nota dalam tandas' adalah dua kaedah popular.
Tetapi sedarkah anda ada satu kaedah yang lebih licik dan jarang diceritakan, diamalkan pelajar di sekolah Malaysia?
Sistem tiru secara berjemaah
Dalam sekolah di mana kumpulan pelajar yang bakal mengambil peperiksaan mempunyai hubungan akrab antara satu sama lain, mereka boleh mengambil pendekatan meniru secara beramai-ramai yang memang sangat sukar dikesan dan sukar untuk dibuktikan mereka meniru, walaupun tertangkap.
Keberkesanan sistem ini bagaimanapun harus diingatkan hanya terhad kepada sistem soalan objektif. Hendak tak hendak pelajar-pelajar yang ingin meniru masih perlu belajar sendiri untuk menjawab soalan berorientasikan subjektif.
Tetapi sistem yang dikenali sebagai 'sistem anchor' olehkumpulan pelajar yang mengamalkan cara ini, membolehkan pelajar-pelajar mendapat markah baik dalam bahagian objektif, meninggikan lagi kadar peratusan mereka untuk sekurang-kurangnya sure lulus kertas yang diambil.
Kami perlu perjelaskan isu ini terlebih dahulu dalam menerangkan sistem anchor ini, bagi menjawab soalan anda yang bakal timbul.
Bayangkan kelebihan yang ada! Sekiranya kertas objektif merangkumi 40% daripada keseluruhan markah dan pelajar mendapat sekurang-kurangnya 32%, bahagian kertas subjektif tak susah untuk pelajar mendapatkan 10 ke 20% bagi memastikan mereka lulus.
Seandainya purata gred yang ditetapkan turun pada tahun tersebut, lagi senanglah pelajar hendak mendapat gred lebih baik. Dah jelas? Jom kita teruskan.
Siapakah 'anchor'?
Sistem anchor hanya berkesan sekiranya majoriti pelajar yang ada setuju untuk bekerjasama bagi menjayakan skim yang bakal mereka laksanakan.
Kenapa namanya 'anchor'?
'Anchor' adalah gelaran yang diberikan kepada pelajar pandai, diyakini mampu menjawab soalan objektif yang ada dengan baik. 'Anchor' biasanya berbeza-beza mengikut kertas peperiksaan.
Seorang 'anchor' bertanggungjawab untuk memberikan jawapan yang akan dikongsikan ke seluruh dewan peperiksaan. Sama ada pelajar nak atau tidak meniru jawapan 'anchor', terpulanglah kepada etika mereka.
Untuk memulakan isyarat atau 'signal', di mana jawapan akan mula diberikan - kumpulan pelajar biasanya menetapkan waktu bila 'signal' akan mula diberikan. 'Anchor' handalan memerlukan sekitar 30 ke 40 minit untuk menjawab dahulu semua soalan, sebelum dia boleh mula memberikan signal.
Sebagai contoh peperiksaan bermula jam 9.00 pagi, jadi 'anchor' bersetuju tepat jam 9.45 pagi dia akan mula menyebarkan jawapan dengan melakukan satu aksi khas seperti menguap - petunjuk dia bakal bermula.
Jawapan pula akan diberikan dalam bentuk gerakan.
Contohnya sekiranya peperiksaan objektif itu ada pilihan A, B, C dan D - setiap satu pilihan itu akan ditetapkan kepada satu jenis gerakan. A memerlukan anchor menyentuh kepala. B memerlukan anchor menyentuh telinga. C pula anchor akan menyentuh leher dan D sentuhan di bahu.
Pergerakan ini akan bermula daripada jawapan soalan pertama, diteruskan satu per satu sehinggalah ke soalan yang terakhir. Sekiranya ada 40 soalan, 40 kalilah anchor akan sentuh anggota badan yang dah ditetapkan mengikut turutan.
Pelajar yang nak menyalin jawapan, ikut saja jawapan yang diberikan anchor dan tandakan seperti mana signal anchor.
Kewujudan cermin sebagai penyebar jawapan
Satu isu pelajar akan berhadapan adalah kedudukan anchor dalam dewan ditentukan mengikut aturan nama, menyebabkan 'anchor' boleh berada di depan, tengah atau belakang tanpa boleh dialihkan kedudukan mereka dalam dewan.
Untuk itu anchor dipilih hanya dari kumpulan pelajar yang duduk dalam dewan peperiksaan di bahagian depan atau tengah. Jarang pelajar pandai di belakang terpilih. Bagaimanapun, untuk hanya bergantung kepada signal anchor seorang saja tidak mencukupi sekiranya dewan itu besar.
Di sinilah beberapa orang pelajar akan bertindak sebagai 'mirror' atau cermin kepada anchor.
'Mirror' adalah individu yang ditugaskan meniru pergerakan anchor agar jawapan dapat disebarkan secara sama rata ke keseluruhan dewan, ekoran kedudukan mereka yang strategik, mudah dilihat semua pelajar serta dia sendiri ada kesanggupan membantu rakan-rakannya meniru.
Dengan cermin-cermin ini berselerakan dalam dewan, jawapan dari anchor dapat dipancarkan ke sebahagian besar dewan, melainkan kepada kumpulan pelajar yang duduk di depan sekali.
Bagi menyelesaikan masalah pelajar 'kurang bernasib baik' kerana duduk di depan ini - ada banyak pendekatan berbeza diambil kumpulan pelajar. Ada yang menggunakan bahan berkilau seperti cermin pengasah pensil atau jam tangan, bagi membolehkan mereka melihat isyarat mirror - ada juga yang memberanikan diri meninjau-ninjau ke belakang. Ikut nasiblah.
Kami tak mahu ceritakan bab ini secara lanjut, kerana memang banyak kaedah yang diamalkan bergantung kepada situasi dan peralatan dalam dewan itu sendiri.
Kelebihan dan kekurangan sistem anchor dan solusinya
Oleh kerana tidak ada bukti yang mampu menunjukkan kumpulan pelajar meniru, sukar sebenarnya pengawas peperiksaan mampu membuktikan penipuan sedang berlangsung.
Kumpulan pelajar boleh menafikan ada skim udang di sebalik batu seperti dituduh, namun beban pembuktian tetap jatuh kepada pengawas. Berbeza dengan bawa toyol, sistem ini foolproof melainkan ada perubahan dikenakan.
Kami yakin pengawas peperiksaan sedar perkara sebegini memang berlaku namun dek kerana tiada bukti, tanggapan ini terpaksalah didiamkan atau hanya dibincangkan secara tertutup. Bagi kami, skim-skim taktik penipuan sebegini seandainya ada didapati berlaku, perlulah dibanteras.
Caranya mudah untuk ditamatkan. Seandainya pengawas peperiksaan merasakan penipuan berlaku, buat laporan kepada Lembaga Peperiksaan.
Lembaga Peperiksaan boleh mengambil langkah seperti mengubah kedudukan pelajar dalam dewan, tanpa perlu mengikut turutan nama. Mungkin lebih menyusahkan, namun kami yakin ianya efektif. Dua set kertas soalan objektif dengan soalan sama tetapi mengandungi penyusunan soalan berbeza juga boleh menjadi solusi pilihan.
Selain itu pemasangan sistem CCTV yang mampu memantau gelagat pelajar semasa peperiksaan juga haruslah menjadi amalan.
Rakamkan rakaman pelajar sepanjang tempoh peperiksaan. Sekiranya ada di kalangan pengawas peperiksaan merasakan skim tiru sedang berjalan, semak semula rakaman. Senang saja nak cam kerana sistem anchor ini bergerak secara beritma.
Seorang anchor bergerak, semua mirror akan turut melakukan perkara sama selang beberapa saat kemudian.
Pihak sekolah juga boleh membantu Lembaga Peperiksaan mengenalpasti siapakah anchor-anchor berpotensi di kalangan pelajar. Biar pengawas tahu sejak awal di mana dia perlu berdiri selepas 40 ke 45 minit peperiksaan bermula.
Renung saja semua 'calon anchor' yang ada supaya mereka tidak dapat memulakan pemberian signal seperti yang telah diaturkan pelajar. Tetapi harus diingatkan, ada juga kumpulan pelajar bijak - menggunakan sistem dua anchor berbeza dalam satu peperiksaan.
Kami yakin pendedahan ini dapat membantu pengawas peperiksaan mengenalpasti seandainya pelajar cuba menipu, demi mendapatkan keputusan peperiksaan melebihi had kemampuan diri.