Satu elemen pendidikan muzik yang masih kekal sehingga ke hari ini dalam sistem persekolahan kita, adalah penggunaan alat rekorder sebagai instrumen utama pembelajaran muzik.

Instrumen tersebut menjadi salah satu alat utama yang dimiliki semua pelajar sekolah khasnya sekolah rendah serta mengakibatkan banyak pelajar trauma dengan muzik; disebabkan kegagalan kita untuk faham apa ke bendanya yang diajarkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir kenapa rekorder dijadikan peralatan muzik utama subjek pendidikan muzik kita? Kenapa tidak alat tiupan lain seperti seruling atau serunai, jika perlatan tradisional menjadi pilihan?

Mengenali sejarah rekorder

muzik rekorder zaman dahulu

Walaupun penulis diajar untuk memahami asas permainan rekorder, penulis tidak diajar sejarah di sebalik rekorder.

Guru muzik penulis masa sekolah dulu nampak kurang berminat untuk mengajar topik tersebut, hanya menunjukkan "ini rekorder!" kepada seluruh kelas dan "sila beli!". Jadi, mari kita belajar serba sedikit tentang rekorder.

Kenapa namanya 'rekorder' atau perakam?

Nama 'rekorder' diambil daripada perkataan asal 'recordeur' sebuah istilah bahasa Perancis sekitar awal abad ke 14, merujuk kepada individu penyair dan penyajak yang bertugas sebagai 'perakam' kepada kisah-kisah masyarakat zaman tersebut.

Bagi menyampaikan kisah-kisah ini, seorang 'recordeur' yang mempunyai daya ingatan kuat akan bercerita sambil memainkan alat muzik mirip seruling/rekorder untuk menyedapkan jalan cerita.

Populariti  'recordeur' serta alat muzik yang dimainkan, mula disatukan sehinggakan kedua-duanya dilabelkan antara satu sama lain - individu dan peralatan mereka mula dirujuk sebagai satu, tidak dapat dipisahkan.

Peredaran zaman mengubah makna perkataan ini. Orang Inggeris sekitar penghujung abad ke 15 mula menggunakan istilah itu secara eksklusif bagi merujuk kepada peralatan muzik berbentuk paip yang dimainkan secara tiupan.

Sekitar abad ke 16, sejenis peralatan muzik hampir serupa dengan 'rekorder' muncul dinamakan sebagai 'flute douce' diperkenalkan oleh orang Perancis. Ini mewujudkan kekeliruan di antara rekorder dan 'flute' (atau dalam istilah kita - seruling) disebabkan kedua-duanya hampir serupa.

Istilah 'flute' mula popular sehinggakan diangkat untuk menggantikan istilah rekorder walaupun 'rekorder' sebenarnya telahpun digunakan terlebih dahulu bagi merujuk instrumen muzik.

Kekeliruan antara istilah 'seruling' dan 'rekorder'

perbezaan antara istilah flute dan rekorder

Pada abad ke 17, masyarakat Eropah ketika itu melalui zaman yang dikenali sebagai Zaman Baroque di mana perkembangan seni masyarakat mereka berlaku secara pesat dalam segala aspek baik karya lukisan, pementasan, teater, seni ukiran dan banyak lagi - termasuklah seni muzik.

Pada ketika inilah wujud usaha masyarakat Itali untuk mengkategorikan seruling dan rekorder dengan betul, melalui pengenalan istilah 'flauto dolce' diguna bagi merujuk kepada rekorder sementara 'flauto traverso' merujuk kepada seruling.

Populariti seruling semasa zaman ini mula memuncak disebabkan oleh bunyi yang terhasil lebih sesuai untuk persembahan berbentuk orkestra. Seruling juga mula dihasilkan menggunakan besi yang membolehkan bunyi lebih kuat terhasil serta nada lebih lebar notnya dibunyikan, mampu didengari dalam skop lebih luas.

Hasil perubahan era tersebut, rekorder mula mengalami zaman suram sehinggakan jarang sekali digunakan dalam persembahan pada abad ke 19 sehinggalah rekorder mula diperkenalkan sebagai 'alatan muzik pertama' persekolahan oleh sistem pendidikan Jerman pada abad ke 20.

Rekorder kembali melakukan kemunculan

frans bruggen pemuzik rekorder

Ada dua individu yang dikatakan memainkan peranan besar kepada peningkatan semula populariti rekorder. Salah seorang daripada mereka adalah Frans Bruggen, ahli muzik dari Belanda yang menghasilkan muzik indah menggunakan rekorder.

Bruggen terlibat dalam banyak projek-projek muzik yang membukti rekorder ada tempat dalam industri muzik moden, mempopularkan penggunaan rekorder di kalangan pemuzik zaman moden.

Individu kedua yang muncul lebih awal berbanding Bruggen, adalah seorang komposer dan guru dari Jerman bernama Carl Orff (gambar bawah) yang terlibat dalam pembentukan sistem pendidikan kerajaan Jerman semasa era parti Nazi.

Orff diberikan tanggungjawab oleh kerajaan Jerman untuk membangunkan sistem pendidikan muzik pelajar di Jerman.

2012 09 orff keetmann

Kami yakin jika anda peminat filem, anda pernah mendengar karya teragung beliau yang diberi judul 'Carmina Burana.'

Selepas menjalankan kajian, Orff merumuskan hanya beberapa alat muzik sesuai untuk kegunaan sekolah; xylofon, marimbas, glockenspiel, beberapa jenis dram dan bagi alat tiupan - rekorder.

Berbeza dengan teknik meniup seruling yang memerlukan perubahan pada kedudukan bibir dan cara meniup semasa dimainkan, rekorder hanya perlu ditiup satu cara. Teknik jari bagi penghasilan kord atau nota muzik juga lebih mudah diperingkat asas.

Selain itu Orff juga merasakan rekorder saiznya kecil, ringan, murah, tidak perlu penyelenggaraan besar serta mudah dibawa pelajar sekolah.

Sistem pembelajaran yang dibangunkan oleh Orff dinamakan sebagai 'Orff Schulwerk' menjadi panduan terawal sistem pendidikan muzik zaman moden. Sasaran beliau adalah supaya pelajar mampu menyanyi dan memainkan not atau nada yang serupa mereka nyanyikan agar pemahaman mereka terhadap muzik menjadi lebih mudah.

Acuan sukatan pelajaran yang dibangunkan oleh Orff mula diamalkan di negara-negara Eropah lain seterusnya berkembang kepada negara-negara bukan Eropah, berikutan keberkesanannya yang disifatkan mampu membentuk asas muzik yang kukuh dalam kemahiran pelajar.

Kenapa sekolah tak gantikan rekorder dengan seruling?

perbezaan antara seruling dan rekorder

Rekorder harus diakui bukanlah alat muzik yang popular kerana jika ditanyakan kepada anda, siapakah pemuzik yang anda kenali bermain rekorder - besar kemungkinan anda akan terpinga-pinga.

Seruling yang menjadi alternatif kepada rekorder jauh lebih popular, jadi kenapa seruling tidak dipilih untuk sekolah?

Ada banyak sebab kenapa pilihan itu dibuat Orff. Sebab utama adalah postur badan pemain semasa memainkannya. Seruling dimainkan dengan instrumen tersebut dipegang ke sisi, memerlukan pelajar memiringkan badan sedikit yang dikhuatiri akan mengakibatkan masalah sakit pada bahagian leher, bahu dan belakang pelajar.

Rekorder pula mampu dimainkan secara berdiri atau duduk, dengan batang rekorder mampu mengadap guru membolehkan guru melihat pergerakan jari pelajar dengan lebih mudah.

Seperti kami sudah sebutkan terlebih awal, cara meniup rekorder dan seruling juga berbeza di mana seruling memerlukan pelajar mengetahui teknik meniup yang betul serta mengawal bukaan mulut bagi menghalang atau meluaskan ruang udara untuk menghasilkan bunyi yang diperlukan.

Sementara rekorder pula hanya ditiup satu cara sahaja tanpa pelajar perlu risau teknik tiupan, hanya perlu menjaga pernafasan.

Secara jujurnya, penulis mengakui penulis langsung tak faham apa-apa pun berkenaan permainan rekorder walaupun penulis pernah cuba duduk belajar dan bermain alatan tersebu secara bersungguh.

Bunyi yang terhasil oleh tiupan penulis juga nyata tiada bezanya walaupun jari sudah berubah.

Setiap kali tiba waktu muzik sekolah dulu, penulis amat lega sekali apabila guru muzik mengarahkan penulis memainkan peralatan kastenet atau kerincing yang hanya memerlukan penulis faham tanda waktu muzik.

Sehingga kini penulis buta muzik dan walaupun sudah berdekad meninggalkan sekolah rendah, masih mengalami mimpi ngeri dikejar rekorder yang meminta dirinya dimainkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)