Salah satu ujian terbesar bagi manusia pada zaman moden berbanding zaman dahulu ialah apa yang mata melihat. Kini banyak laman web atau akaun media sosial yang menyebarkan gambar atau video lucah, tidak menutup aurat, perbuatan sumbang dan banyak lagi.
Umat Islam juga tidak terlepas daripada zina kecil seperti ini. Tumpuan bukan hanya pada internet sahaja malah televisyen, majalah, buku dan juga pendedahan di luar turut terlibat dalam menyumbang kepada dosa mata yang melihat.
BESARKAN TEKS A- A+
Segala perbuatan manusia ini pasti akan diberi balasan oleh Allah SWT sama ada dalam bentuk bala bencana ataupun seksaan di akhirat.
Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum : Ayat 41
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Islam menyuruh kita agar sentiasa berpesan dalam berbuat baik dan mencegah orang lain daripada berbuat kejahatan. Ia menjadi kewajipan syariah ke atas setiap umat Islam bergantung kepada keadaan dan kemampuannya.
Hukum menggodam laman web
Persoalannya, apakah pula hukum menggodam laman web, Facebook, Wifi dan sebagainya? Jawapan yang diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus agak mudah, "Ianya adalah perbuatan yang salah sekiranya ia merugikan, memudaratkan atau memalukan orang Islam".
Pada masa kini, trend untuk memuat naik status pengguna Facebook yang lain tanpa pengetahuan empunya akaun kerap berlaku. Menurut UAI lagi, hukum perbuatan ini adalah haram di sisi syarak kerana menggunakan hak orang lain tanpa izin.
Begitu juga dengan perbuatan menggodam akaun Facebook orang lain. Hukumnya adalah berdosa dan haram kerana situasi ini akan menyusahkan pihak mangsa.
Godam dengan niat baik
Ada sesetengah penggodam 'white hat' yang bertindak menggodam akaun media sosial, laman web, atau blog dengan niat semata-mata ingin menguji sistem keselamatan sesebuah laman. Mereka kemudian akan memaklumkan kepada pihak berkenaan mengenai kelemahan sistem tersebut. Walau bagaimanapun, perbuatan 'murni' ini juga hukumnya adalah haram menurut Islam.
Namun, lain pula dengan perbuatan menggodam untuk kebaikan seperti yang dilakukan oleh kumpulan hackers 'Anonymous'. Kumpulan penggodam ini memberikan amaran keras kepada pihak Israel bahawa mereka akan menggodam sistem kerajaan itu jika konvoi bantuan Flotilla kepada Gaza dihalang. Menurut Ustaz Azhar Idrus, penggodaman seperti ini dibolehkan.
Selain itu, menggodam akaun Facebook peribadi umat Islam yang tidak menutup aurat dengan niat mengubah tetapan privasi album mereka daripada "public" kepada "only me" supaya orang lain tidak melihat aurat mereka juga diharuskan kerana ia menutup aib orang lain.
Menggodam laman web lucah
Salah satu perkara yang paling merosakkan dan membimbangkan lewat kebelakangan ini ialah lambakan laman web lucah. Hal ini demikian kerana ia sangat mudah dicapai melalui telefon pintar, komputer dan sebagainya. Laman web lucah juga semakin hari semakin banyak dan banyak memberi kemudaratan kepada manusia.
Menurut UAI, menggodam laman web lucah untuk membuat sekatan ke atas sistemnya adalah wajib sekiranya mampu. Ini kerana menyekat laman web lucah secara keseluruhan itu sendiri adalah suatu perkara yang mustahil.
Namun, usaha sedemikian perlulah dilakukan dengan bantuan syarikat komunikasi atau dengan inisiatif kerajaan negara-negara Islam jika sekatan itu ingin dilaksanakan secara menyeluruh.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Hajj : Ayat 41
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan"
Rujukan :
1. Islamqa
2. OpsMuslimah
3. Jawi