Selain bersalam-salaman dan bermaaf-maafan di pagi raya, salah satu aktiviti yang kita jarang skip ialah pergi menziarahi kubur orang tersayang. Meskipun ziarah kubur bukanlah amalan yang diwajibkan dalam islam pada pagi 1 Syawal, tetapi rasa seperti tidak lengkap hari lebaran sekiranya tidak berziarah.
Ziarah Kubur Merupakan Amalan Sunat
Menurut beberapa nas dan pendapat sahih, amalan ziarah kubur adalah sunat dan digalakkan untuk mengingatkan kita pada kematian dan hari akhirat. Walaupun begitu suatu ketika dahulu Rasulullah S.A.W pernah melarang para sahabat untuk ziarah kubur. Tetapi tidak lama kemudian berdasarkan sebuah hadis, Baginda mengizinkan, malah menyuruh para sahabat untuk turut berziarah.
BESARKAN TEKS A- A+
Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah
Hadis Riwayat Muslim
Terdapat juga riwayat hadis sahih lain yang tidak melarang amalan ini, antaranya ialah:
Menurut sebuah hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A berkata
Nabi S.A.W menziarahi kubur ibunya lalu baginda menangis dan orang yang berada disampingnya turut serta menangis. Kemudian baginda bersabda:
Aku meminta izin daripada Tuhanku untuk aku beristighfar bagi pihak ibuku, namun Dia tidak memberikan keizinan kepadaku. Dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia membenarkan ku. Maka ziarahilah kubur, kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian.
Riwayat Muslim
Perbahasan mengenai amalan ziarah kubur pada hari raya atau bulan Ramadan
Meskipun terdapat beberapa hadis yang jelas tidak melarang amalan ini, namun, isu ini masih menjadi perbahasan para ulama. Secara umumnya, terdapat 2 pandangan utama yang telah berjaya dirumuskan daripada perbahasan mereka ini
Pandangan Pertama:
Menziarahi kubur dalam bulan Ramadan serta pagi Syawal hukumnya Makruh, tidak dibenarkan malah tidak digalakkan sebab ia dianggap sebagai bidaah. Sebabnya, tiada nas mahupun hadis yang mengatakan rasul kita pergi ziarah kubur pada hari raya. Sebaliknya, Rasulullah S.A.W melayan tetamu yang berkunjung serta pergi menziarahi rumah para sahabat dan sanak-saudara untuk meraikan hari kemenangan tersebut.
Pandangan Kedua:
Menziarahi kubur dalam bulan Ramadan serta pagi Syawal hukumnya Harus, sebab tiada perintah dan larangan khusus yang jelas mengharamkan amalan ini. Terdapat juga fatwa didalam Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa hari raya merupakan hari yang terbaik untuk menziarahi kubur, serta hukumnya adalah sunat
Tiada dalil pengharaman amalan ini dalam islam
Meskipun tiada dalil pengharaman ziarah kubur dipagi raya, kita harus beringat yang niat kita ketika ziarah itu yang memainkan peranan yang besar dalam menentukan hukum halal atau haram sesuatu perkara. Sekiranya kita secara tidak sengaja menganggap ziarah ini sebagai perkara yang wajib, atau seperti amalan sesetengah orang tua di pantai timur yang mesti menziarahi kubur selepas puasa enam, atau seperti kisah viral raya-raya tahun lepas: sesi live, selfie ataupun segala jenis aktiviti yang sudah lari daripada niat yang betul dihadapan kubur, maka hukum amalan ini bukan lagi harus. Malah lebih menyedihkan, semua ini boleh menimbulkan fitnah serta buah mulut orang pada hari yang mulia.
Satu lagi persoalan yang sering ditanya juga: apakah hukum bagi perempuan untuk ziarah kubur?
Seperti amalan ziarah kubur juga, terdapat pelbagai pendapat dan perbahasan mengenai isu ini. Namun yang menjadi kebiasaan masyarakat kita ialah: hukum bagi wanita untuk menziarahi kubur adalah MAKRUH
Tiada kaitan soal sexist mahupun feminist disini, sebaliknya antara sebab hukumnya makhruh ialah kerana hati wanita yang lembut dan boleh secara tidak sengaja hilang kawalan ketika meratapi pemergian orang yang tersayang. Haram bagi umat Islam untuk meratapi kematian yang melampaui batas.
Sebaliknya, sekiranya kita pergi ziarah kubur sebaik sahaja selesai solat sunat hari raya dengan tujuan untuk menghadiahkan al-fatihah, memperingati kematian dan sebagainya, ianya tidak dilarang sama-sekali.
Amalan sunnah dan adab ketika menziarahi kubur
Selain itu, terdapat juga amalan sunnah yang pernah dilakukan Rasulullah ketika menziarahi kubur. Antaranya ialah:
1. Memahami tujuan sebenar menziarahi kubur
Tujuan sebenar menziarahi kubur, menurut hadis-hadis riwayat At-Tirmizi ialah sebagai muhasabah diri tentang kematian dan hari kebangkitan:
Sesungguhnya ia (iaitu menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada akhirat.
Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Jaa Fi ar-Rukhsah Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 1054, hasan sahih.
Disebutkan tentang syurga dan neraka kepada engkau, tetapi engkau tidak menangis. Lalu engkau menangis untuk hal ini pula? Uthman menjawab: Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sesungguhnya kubur merupakan tempat persinggahan yang pertama daripada tempat-tempat di akhirat.
Seandainya seseorang selamat daripadanya, maka apa yang berlaku selepas itu adalah lebih mudah untuknya. Sesiapa yang tidak terselamat daripadanya, maka apa yang akan berlaku selepas itu lebih teruk daripadanya.
Sunan at-Tirmizi, Kitab az-Zuhd, hadis no: 2240, hasan gharib
2. Sedekah doa kepada si mati.
Daripada Buraidah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengajar sahabat-sahabat apabila mereka keluar untuk pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:
Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan muslim. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian.
Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no: 975.
‘Aisyah radiallahu ‘anha pernah mengekori Nabi sallallahu ‘alaihi wa salam pada waktu malam sehingga tiba di perkuburan Baqi’, ‘Aisyah radiallahu ‘anha menceritakan:
Kemudian aku mengikut jejak baginda sehingga baginda tiba di Baqi’. Baginda berdiri dengan lama kemudian baginda menadah tangannya sebanyak tiga kali.
Apabila kembali ke rumah, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada ‘Aisyah:
“Sesungguhnya Jibril datang kepada aku ketika engkau melihat aku.
Jibril memanggil aku dan aku merahsiakannya daripada engkau. Aku menyahut panggilannya akan tetapi aku merahsiakan hal itu daripada engkau. Jibril tidak masuk menemui engkau kerana ketika itu engkau dalam keadaan tidak berpakaian. Aku pula menyangka engkau telah tidur jadi aku tidak suka untuk mengejutkan engkau kerana aku risau engkau akan berasa takut.
Jibril menyatakan kepada aku:
“Sesungguhnya Tuhan mu menyuruh kamu untuk pergi kepada penghuni Baqi’ dan memohon keampunan untuk mereka.”
‘Aisyah pun bertanya:
“Bagaimana caranya untuk aku mendoakan mereka ya Rasulullah?”
Baginda menjawab: Sebutlah:
“ Kesejahteraan kepada penghuni tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Islam. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan mereka yang akan datang kemudian. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian.”
Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no: 974.
Segala perbuatan kita di tanah perkuburan haruslah melambangkan yang kita sedang mengingati kematian dan berdoa untuk si mati. Jangan lupa, kubur bukanlah tempat berhibur, bergurau senda, berselfie, membuat live di Instagram ataupun Facebook, dan lain-lain.
3. Tidak duduk di atas kubur.
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Duduknya seseorang di atas bara api yang akan membakar pakaiannya dan membakar kulitnya itu lebih baik daripada seseorang duduk di atas kubur.
Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy ‘An al-Julus ‘Ala al-Qabri wa al-Solat ‘Alaihi, hadis no: 971.
4. Tidak solat menghadap kearah kubur.
Daripada Abu Marsad al-Ghanawi radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Janganlah kalian duduk di atas kubur dan janganlah kalian solat ke arahnya.
Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy ‘An al-Julus ‘Ala al-Qabri wa al-Solat ‘Alaihi, hadis no: 972.
Satu-satunya solat yang dibenarkan di kubur ialah solat jenazah kerana kita tidak sempat solat sebelum jenazah ditanam.
5. Tidak memakai kasut.
Daripada Bashir radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah melihat seseorang berjalan di kubur dengan memakai kasut, lalu baginda berkata:
Wahai orang yang memakai kasut. Celaka engkau, bukalah kasut engkau!
Lelaki yang memakai kasut itu melihat (ke arah baginda). Apabila dia menyedari bahawa itu adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, dia terus menanggalkan kasutnya dan mencampakkan kedua-dua kasutnya.”
Sunan Abu Daud, Kitab al-Janaiz, Bab Al-Masyi Fi an-Na’li Baina Al-Qubur, hadis no: 3230, Shaikh Muqbil menyatakan ia sahih, rujuk Al-Sahih Al-Musnad.
Terdapat ulama yang mempunyai pendapat berbeza tentang hukum memakai kasut di kubur. Menurut pandangan mazhab Syafie, tiada masalah untuk memakai kasut. Sebaliknya menurut pandangan mazhab Ahmad memakai kasut hukumnya makruh. Terdapat juga sebahagian ulama menyatakan sebab larangan itu ialah kesombongan; penghormatan kepada si mati; kotoran di kasut dan sebagainya.
Ulama mazhab Syafie pula menyatakan hukum membuang kasut adalah harus berdasarkan hadis berikut:
Daripada Anas radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam
bersabda:
Apabila seorang hamba diletakkan di dalam kubur, maka sahabat-sahabatnya akan pulang sehingga si mati akan mendengar bunyi tapak kasut mereka
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, hadis no://1338.
Kesimpulan
- Tiada dalil mengkhususkan amalan menziarahi kubur si mati.
- Tiada dalil melarang atau mengharamkan khusus untuk amalan ziarah
Wallahualam.
Sumber:
- Masjid jamek kampung Bharu
- Surat Khabar Sinar Harian: 12 Jun 2018.